Puisi : Warkah Untuk Tanah Melayu Dari Al-Aqsa

Ini sebuah sajak lama yang telah dideklamasi pada tahun 2010. Namun, sajak ini saya cipta khusus untuk "Konsert Demimu Al-Aqsa". Oleh sebab, saya berhasrat untuk menghantar sajak tersebut ke media cetak, sajak itu tidak pernah saya siarkan di blog ini. Kini sajak ini telah pun diterbitkan dalam dua bahagian di dalam Dewan Sastera dan waktu pengedarannya sudah tamat. Dengan itu, saya turunkan sajak yang telah diterbitkan itu untuk bacaan sesiapa sahaja yang mungkin berminat dan melihat isu Palestin dari sudut yang berlainan.

Semoga bermanfaat.


WARKAH UNTUK TANAH MELAYU DARI AL-AQSA
(Telah dideklamasi sewaktu "Konsert Demimu Al-Aqsa, Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan")

Mengutip manik-manik peristiwa
dari tasbih sejarah yang panjang
Al-Aqsa itu aku
Baitul Muqaddas itu aku
Akulah saksi perjuangan
dengan api semangat yang tak mungkin terpadam
Akulah rebutan aku juga piala
antara bulan, palang dan bintang berpecah enam.

Ini tanah subur yang pernah merdeka
Pohon anggur dan zaitun pernah menari bersama
Airnya jernih dari lembangan bahagia
Ini tanah warisan anbiya’
Dari Ishak, Yaakub, Yusuf yang mulia
Di atas tanah ini aku redha
Salahuddin Al-Ayubi berdiri
Panji-panji berkibar
Bersama laungan Allahu akbar!

Di lembah kemanusiaan insan terleka
Sekeping tanah subur yang pernah merdeka
Hancur luluh anggur, zaitun dan segala yang melata
Darah hitam dan temulang melekat di dinding masa
Yang mengalir hanya air mata derita
Tanah warisan anbiya’ ternoda
Panji-panji terbakar dalam nyala yang berkibar
Di neraka dunia menyimpan nestapa bertebar

Warkah ini untuk putera-puteri Melayu yang memperaku agamanya
Di sini tiada senyuman dan saki-baki bahagia
Andai hari ini kita bertemu
Esok belum tentu
     Setiap saat ialah kematian
     Setiap saat ialah detik terakhir
     Setiap saat adalah perjuangan.


Ketika kamu memicit aksara pada telefon bimbit
     Putera kami menggenggam sebiji batu
     Bersama sepotong doa

Ketika kamu ligat melayan facebook, youtube dan blog
     Putera kami melontar batu yang sama
     Pada tentera dan jentera

Ketika kamu mengalihkan kiblat dari Al-Aqsa ke Mekah
     Kemudian sebulan ke Afrika Selatan
     Putera kami masih terus melontar batu
     Walau tubuhnya hancur dimamah bedilan itu

Ketika bibirmu melepaskan asap
     Rumah kami hangus dan ranap
     Setiap batang yang dihisap
     Sedulang peluru penuh azab

Ketika siasahmu berbeza, parti politik yang tidak sama
     Perpecahan kita penyatuan mereka
     Adakalanya kami mengumpul sangsi
     Masih adakah benih harapan di tanah ini

Anak-anak muslimin,
Setiap kali kau bakar bendera itu
Demonstrasi gagah pada suatu hari bertuah
Pekikan “Allahu Akbar” bergegar
Mengejutkan merpati di pejabat seorang duta
     Pernahkah kau bertanya
     Apakah amanatmu sampai ke tanah ini?
          Injaklah!
          Rabaklah!
     Semua bendera putih berbintang pecah enam
          Pijaklah!
          Koyaklah!
Semua potret Shimon Peres dan Netanyahu
Di sini mereka tertawa cuma bagai di syurga
Maruah mereka bukan tersimpan pada bendera itu

Mereka sudah lama menang, saudaraku
Setiap kali ada aurat yang terbuka dengan rela
Setiap kali saf solatmu berbaris tiada
Setiap kali kamu akur agenda mereka
     Sex – pabila zina jadi angkara
     Song – pabila lagha jadi budaya
     Smoke – pabila haram jadi biasa
     Screen – pabila mata tidak lagi membaca
     Sports – pabila nafsu tidak terjaga

Anak-anak muslimin,
Ada perang yang lebih akbar dari yang di sini
Perjuangan di tempat kamu pendakiannya lebih curam
Membunuh Yahudi di dalam dirimu
Bukan semudah melontar sebiji batu
Musuh kami nyata
Musuhmu seperti tiada
Tetapi sesungguhnya mereka ada
Menanti dengan rahang dosa terbuka di mana-mana.

Mari dengarkan sepiring rahsia
Jamah dan telan
Biar menjadi darah daging dan jati dirimu
Menghadap musuhmu yang halimunan
Lawannya bukanlah dengan bedilan
Menghadap musuhmu yang satu
Lawannya bukan sekadar
     Demonstrasi liar dan
     Bendera yang dibakar

Mereka gusar
     setiap kali kamu memelihara sujud
Mereka gerun
     setiap kali kamu membelai ilmu
Mereka gentar
     setiap kali lidahmu berzikir
Mereka ngeri
     setiap kali ukhwahmu utuh


Masihkah kita mahu duduk di dalam kotak yang berbeza
Kotak agama, kotak sains, kotak politik dan kotak ekonomi
Sedangkan itu juga agenda mereka
Membiarkan kita selesa di dalam kotak tersendiri
Membelai ego, lupa diri dan menuding jari
Menjadi enau melepaskan pucuk sendiri

Ayuh, bersatulah
Kita terbang bergentayangan menjadi merpati kedamaian
Paruhnya kita pinjam dari ababil
Mengambil kerikil-kerikil sijjil
Melontar bersama zikir dan doa

     Sekali sayap itu patah
     Dengan paruh kita pertaruhkan
          Sekali paruh itu patah
          Dengan siku kita tujukan
     Sekali siku ini patah
     Dengan dagu kita bertahan
          Sekali dagu ini patah
          Dengan kuku kita berlawan

Mengutip manik-manik peristiwa
dari tasbih sejarah yang panjang
Al-Aqsa itu aku
Baitul Muqaddas itu aku
Akulah saksi perjuangan
dengan api semangat yang tak pernah terpadam
Akulah rebutan aku juga piala
antara bulan, palang dan bintang berpecah enam.

Warkah terakhir ini
Untuk warga Tanah Melayu
Dari Al-Aqsa yang setia menunggu.

Nukilan,
Nisah Haron
17 Julai 2010


Warkah Untuk Tanah Melayu dari Al-Aqsa (i) telah diterbitkan di dalam 
Dewan Sastera Julai 2011; manakala
Warkah Untuk Tanah Melayu dari Al-Aqsa (ii) telah diterbitkan di dalam
Dewan Sastera November 2011.


 * Nisah Haron menegaskan hak cipta terhadap sajak ini. Sekiranya anda berminat untuk meletakkan di blog, Facebook atau di mana-mana sahaja, sila minta izin sebelum berbuat demikian. Untuk berkongsi puisi ini di laman anda, saya mohon supaya diadakan pautan (link) kembali kepada entri ini. Kerjasama anda amat dihargai.


Ulasan

ninotaziz berkata…
Excellent and emotive write. Congratulations!

Salam,

ninotaziz
Nisah Haji Haron berkata…
Puan Ninoaziz,
Thank you. I personally love your work - "Hikayat". Bought my copy at the KLIBF last month. Thank you for dropping by at my blog.

Nisah Haron
MAZNAH JAMILAH berkata…
Karya yang sangat bermakna buat diri yang sering alpa. Mabruk saudari Nisah Haron yang dirahmati Allah.

Mohon share.

Catatan Popular