Hajat yang tertunai

Majlis gilang gemilang. Pun, saya dan suami terlewat. Sampainya 10 minit sebelum TPM. Itulah malangnya kalau buat majlis hari Jumaat. Waktu singkat, semua orang terkejar-kejar. Ada juga yang datang setelah Dato' Najib tiba.

Kami tiba bersama-sama dengan Makcik Timah Baba yang sengaja saya jemput khas. Hajat saya sebenarnya. Novel Mencari Locus Standi (MLS) terlalu besar maknanya buat saya. Novel sulung. Novel pertama yang tidak dapat saya tunjukkan pada guru, mentor dan pembimbing saya - Allahyarham Dr. Hj Othman Puteh. Sewaktu dia pulang ke rahmatullah, saya masih ada lagi beberapa bab untuk disudahkan. Kala itu, saya semacam putus ilham untuk menyambung novel itu. Nyaris-nyaris ia terbengkalai.

Pemergiannya yang begitu mengejutkan seolah-olah memberi saya satu sentakan. Ada hikmah dan juga satu bentuk motivasi untuk saya sudahkan novel itu. Saya benar-benar kecewa kerana saya terlalu lambat menghabiskannya. Saya tidak sempat menunjukkan pada Allahyarham bahawa anak didiknya ini telah melebarkan sayap ke genre yang baru. Genre yang telah diteroka oleh teman-teman seangkatan, tetapi saya masih lagi selesa dengan cerpen-cerpen sahaja.

Untuk itu, saya tujukan novel saya yang sulung ini pada Allahyarham - guru saya dalam senyap. Dia banyak mengajar saya walaupun saya ini bukan anak didiknya yang formal. Buku-buku tulisan beliau menjadi warisan yang ditinggalkan untuk anak-anak bangsanya. Lantas, siapa lagi orang yang paling baik untuk saya khabarkan berita ini, selain daripada balunya Makcik Timah. Kepadanya, saya serahkan manuskrip asal MLS. (Hanya Makcik Timah, Editor dan seorang dua sahaja yang tahu judul asal MLS)

Ketika itu, saya langsung tidak berfikir tentang hadiah. Bagi saya, menyudahkan manuskrip MLS merupakan satu pencapaian yang tidak dijangka. Dengan keriuhan di dalam rumah tangga saya, Alhamdulillah, saya sempat menghabiskan manuskrip itu sebelum tarikh tutupnya. Bagi saya, saya hanya mahu melihat manuskrip itu terbit. Andainya, saya tewas di Utusan, sudah saya rangka perjalanan seterusnya bagi MLS ke penerbit yang lain. Yang penting, novel itu mesti terbit. Setidak-tidaknya, keluar belanja sendiri dan terbit sendiri seperti yang pernah saya buat pada kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi dulu.

Bila saya diumumkan sebagai pemenang tempat kedua, selain suami sebagai pengiring saya, Makcik Timah merupakan orang pertama yang melintas di fikiran. Dia mesti hadir sama di majlis ini. Dedikasi novel ini untuk Allahyarham. Makcik Timah mesti turut diraikan. Puas juga memujuknya. Dia masih ragu-ragu tentang penerimaan penulis-penulis sastera akan kehadirannya. Ada beberapa pihak yang berkonspirasi dalam memastikan dia dapat hadir ke majlis ini. Alhamdulillah, saya kira dia tidak dikesampingkan pada petang itu. Ramai penulis terutamanya penulis muda yang membesar di bawah didikan Allahyarham datang beramah mesra dengannya.

Saya bahagia. Hajat saya tercapai.

Majlis berjalan lancar. Antara yang hadir itu, hampir semuanya kenalan penulis juga. Sepatah kata Siti Jasmina, macam reunion sekolah. Hampir setiap meja perlu berhenti dan singgah bertanya khabar. Rata-rata dalam akhbar Utusan, gambar-gambar sekitar majlis tersebut tersiar nampaknya, sehari dua ini.

Ulasan

Catatan Popular