Erti Cinta Annyss Sophilea

ANNYSS SOPHILEA
(Puisi Akmal untuk Annyss)

Malam terakhir
Gemini bermain di angkasa raya
Lahir seorang Annyss
Lahir seorang Eyrique
Sepasang kembar
Sepasang saudara
Waris takhta setia
Di bumi Alstonia.

Annyss Sophilea
Lambang teguh peribadi
Amanah janji jiwa srikandi
Bukan insan lemah pasrah
Bahkan akar tunjang pertiwi
Disangka lemah tetapi liat
Dilentur mahu dipatah tak dapat.

Kepada siapa harus aku khabarkan
Pertemuan paling indah bersejarah
Seorang gadis berjiwa Alstonia
Merentas jagat raya
Menunai amanah memelihara nusa
Sopan tutur kata
Tegas maruah dipelihara

Persinggahanmu ke laman peribadi
Melukis urna pelangi dalam diri
Menyentuh atmaku yang paling seni
Memetik makna paling hakiki
Menjirus mesra ujana persahabatan ini

Cintamu kasih seorang sahabat
Cintamu setia tanah leluhur
Cintamu rindu saudara serumpun
Cintamu sayang alam terbentang.

Terima kasih, Annyss
Aku mengerti makna pengorbanan
Atas nama persahabatan

Terima kasih, Annyss
Aku menghirup nikmat kesetiaan
Atas nama pembelaan

Terima kasih, sahabat
Engkau pinjamkan erti semangat
Pada perjuangan sepanjang hayat

Hanya namamu yang manis
Kutulis sebaris
Pada warkah cinta
Di bumi Alstonia.


Malam tadi ada Kembara Sastera 2004 di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban. PEN diundang. 6 orang mewakili PEN untuk mendeklamasikan puisi.

Saya bacakan puisi di atas. Ditulis spontan ketika menjual buku di ILIM, Bangi baru-baru ini. Pelajar seronok. Ada yang datang minta tanda tangan selepas itu. Tidak kurang juga yang membeli buku "Impian Tsu-Ryi" kerana saya katakan ada sambungan Annyss Sophilea dalam kumpulan cerpen saya itu.

SN A. Samad Said dan Lim Swee Tin juga. Seperti biasa mereka membaca puisi panjang. Semakin sampai ke penghujung, pelajar sedikit resah kerana tenggelam punca.

Penyair PEN lain : Mahaya Mohd Yassin, Siti Salbiah Zahari, Farah Nabila Noor Anuar, A. Latip Talib dan Rafeah Abd. Rahman.

Esok saya akan ke Batu Kikir. Ada Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan di sana. Saya telah diminta menjadi pembimbing bagi genre cerpen.

Ulasan

Catatan Popular