Hujung minggu yang produktif

Mulai Jumaat hingga Ahad minggu lepas, jadual saya agak ketat. Namun banyak ilmu yang sempat saya kutip.

3 Sept 2004

Dapat jemputan untuk membicarakan buku Mencari Locus Standi (MLS) di Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) di Bandar Seri Putra, Bangi. Majlis tersebut ialah Majlis Pengkisahan Buku. Turut sama dijemput ialah Sdr. Zabidi Mohamad yang menulis buku Tersungkur di Pintu Syurga dan Maunah - The Naked Truth.

Saya menceritakan proses kreatif MLS dan sambutan terhadap novel kecil itu, alhamdulillah, memuaskan. Kesemua naskhah MLS yang saya bawa habis terjual. Ada pula yang tak sempat membeli, terpaksa menempah.


4 Sept 2004

Seperti biasa, pada hari Sabtu, saya mengikuti kelas DSLP di UIA. Sebelah petangnya, sudah berjanji dengan Masliza (Elaira) dan teman-teman dari artakus.net untuk bertemu di Balai Seni Lukis Negara. Rosh, pelukis rasmi, Saga Artakusiad membuka gerai pameran lukisan bersama rakan pelukis. Kami pun tumpang sama. Saya menjual buku-buku Saga Artakusiad (tulisan Ahmad Patria Abdullah) dari Buku 1 - 6 (+ Bunga Arianur). Turut dijual di situ, novel terbaru Ahmad Patria Abdullah, Legenda Numerius, turut dijual.

Seronok bertemu lagi dengan mereka yang memang peminat setia siri ini. Saya sempat membeli beberapa keping poskad yang dilukis Rosh. Memang hidup semua watak lukisannya.

Saya pula sebenarnya mencari tempat untuk bermalam kerana esoknya ada Seminar Merancang Harta Pusaka di UIA juga. Hendak pulang, alang kepalang. Esok perlu datang lagi. Suami pun dah kata, tidur saja di KL nanti letih hendak ulang-alik. Ramai teman yang tinggal berdekatan dengan Gombak pulang ke kampung ataupun ada acara lain.

Akhirnya, Elaira yang menawarkan rumahnya di Kelana Jaya untuk saya bermalam. Terima kasih, Mas. Dapat juga berkenalan dengannya lebih lanjut. Rupa-rupanya dia juga berasal dari Seri Menanti. Kampungnya tidak jauh dari kampung suami saya. Langsung, kami berbual dalam 'bahasa kami'. Seronoknya bukan main. Apatah lagi, kami mempunyai banyak persamaan dan minat juga. Kalau ingin kenal dengan Elaira, ada link untuknya di ruangan kanan weblog saya ini.

Sempat juga saya ke KLCC dan Mid Valley sebelum ke rumahnya. Di KLCC, saya ke Kinokuniya. MLS ada terjual di sana. Buku-buku itu diletakkan dalam kategori "Sastera" dan sebaris dengan buku-buku Faisal Tehrani, A. Samad Said, dan buku-buku sastera lain. Begitu juga di MPH Mid Valley, buku saya turut terjual di sana. Sementara Elaira dan teman-teman lain menonton Puteri Gunung Ledang, saya habiskan masa membeli belah di MPH.

Letakkanlah aku di kedai buku,
kalau mahu membuat saya menunggu.
aku takkan jemu
hingga kita kembali bertemu.

Uiks! Jadi haiku pulak.

5 Sept 2004

Setelah tidur pada jam 2.30 pagi (seronok berbual dengan Elaira), saya bangun dan terus ke UIA.

Pagi minggu di Kuala Lumpur
Warganya masih enak berdengkur

Jalan raya pun lancar dari Kelana Jaya ke UIA Gombak. Sempat sarapan pagi di Taman Melati sebelum terus ke seminar.

Semasa mendaftarkan diri di seminar, bertemu seorang lagi sahabat lama, Akmar. Kini bertugas di ZAR Perunding Pusaka. Sempat berbual panjang sewaktu makan tengah hari.

****

"Malaikat penjaga Firdaus,
Wajahnya tampan dan indah
Dengan pedang yang bernyala
Dia menuding padaku."

~Perjalanan Bu Aminah~

Sementara di Kuala Lumpur, saya menonton teater Perjalanan Bu Aminah karya W.S. Rendra di Lambang Sari, Istana Budaya. Pelakon utamanya, Fauziah Nawi, tentunya kerana teater ini persembahan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani). Kisah Aminah yang mencari adiknya Maria Zaiton di Jayanegara. Banyak konflik hidup yang dipaparkan. Persembahan yang sangat artistik dan penuh teaterikal.


Ulasan

Catatan Popular