Dengan Aminah Mokhtar

Usai HSPM semalam di Dewan Bankuet, Menara DBP saya bertemu Aminah Mokhtar yang lebih mesra dengan panggilan Kak Min. Ada urusan antara beliau dan Ujana Ilmu sebenarnya. Buku-buku beliau memang kami edarkan di Ujana Ilmu. Kalau mahu lihat koleksi Aminah Mokhtar, silakan ke laman beliau yang telah kami sedikan di sana. Buku-buku beliau yang kami edarkan adalah Dominasi Tebrau, Semoga Cepat Sembuh, Semakin Dekat 1, Penawar, Diari Seorang Jururawat dan Iman Markisa.

Ke laman Aminah Mokhtar.

Seorang teman penulis, Amiza Khusyri juga dapat menikmati novel Kak Min - Dominasi Tebrau dengan keindahannya. Baca komen Amiza yang berjudul Dominasi Tebrau : Hadiah untuk Wanita Muslim

Peribadi, saya mengagumi Kak Min. Wanita gigih yang berjaya mengatasi segala rintangan yang merentangi perjalanan hidupnya. Kami pulang bersama dan sempat singgah di terataknya. Saya suka cara susun atur rumahnya. Memanglah rumah seorang penulis! Sarat dengan buku-buku yang baik.

Dia banyak membakar semangat saya dengan kata-kata positif. Malah segala yang negatif dalam hidupnya juga berjaya ditukarkan kepada sesuatu yang positif juga.

Pernah satu ketika, seorang kenalan penulis yang menghasilkan sebuah novel ala-ala porno walaupun sebelum ini penulis itu mempunyai nama yang kukuh dalam dunia sastera tanah air. Kak Min betul-betul marah dan kecewa apabila penulis itu menulis karya-karya begitu. Kalau orang lain, pasti akan mengutuk terus penulis tadi, tapi Kak Min punya cara yang tersendiri.

Kak Min tulis sebuah cerpen Dia Bukan Anak Mangsa Perang sebagai satu protes kepada karya penulis itu. Akhirnya, Kak Min menang hadiah menerusi cerpen ini. Wah, tabik saya melihat cara dia mengendalikan situasi.

Apa pun, pertemuan semalam besar ertinya pada saya. Terima kasih, Kak Min kerana sudi menerima saya sebagai tetamu.


Ulasan

Catatan Popular