Hadiah Perkahwinan

I

Cerpen terkini saya tersiar di Dewan Sastera (Disember 2004) - "Impian Tsu-Ryi 2". Bagi yang mengingati cerpen Impian Tsu-Ryi yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Tsu-Ryi 2 sedikit sebanyak menjadi sambungannya tetapi saya menyentuh isu yang berbeza.

Tanpa diduga, puisi saya juga tersiar di Mingguan Malaysia hari ini. Percubaan pertama dalam media perdana. Judulnya "Metamorfosis". Encik Latip Talib menghantar SMS pertama memberitahu saya. Biasanya saya melanggan MM tetapi hari ini akhbar yang dihantar hanya The Star. Terpaksa keluar mendapatkan MM.

"Mencari Locus Standi" akan didiskusikan di Seremban. Sesuatu yang tepat saya kira. Penulisnya berasal dari Negeri Sembilan. Isi novel turut mengambil latar negeri ini. Panelnya Dr. Rosnah Baharuddin (UKM) dan Encik Siri Neng Buah (Pengarah Jabatan Kebudayaan NS). Seorang akan bercakap dari sudut feminisme, seorang lagi dari aspek budaya. Sesuai dengan kedudukan setiap panel, saya kira.

Butirannya ada di panel kanan laman ini, di ruangan Pengumuman. ----- >


II

DSLP semester 1 selesai. Kertas terakhir : Islamic Criminal Procedure I. Tunggu sehingga 6 Januari 2005 untuk keputusan sama ada saya akan mendaftar semula untuk Semester 2 pada 8 Januari nanti.

Selesai peperiksaan bermakna selesai satu lagi 'derita' buat saya. Sebenarnya saya tidak suka exam. Tidak, bukan kerana saya tidak mentelaah. Tetapi exam bermakna saya perlu menulis apa yang saya faham. Masalahnya bukan saya tak faham tapi saya perlu menulis.

Hmmm... Penulis ada masalah menulis?

Proses penulisan itu ada 2 peringkat yang besar / utama. Satu, menjana idea di fikiran. Kedua, menulis atas kertas, menaip dalam komputer dsb.

Tapi masa periksa, kita belum lagi ada kemudahan memilih alat tulis. Semua orang harus menjawab menggunakan pen (sebaik-baiknya hitam). Jika diberi pilihan, saya lebih selesa menaip daripada menulis dengan tangan sewaktu peperiksaan. Tulisan saya tidaklah secantik mana. Masih terpandang-pandang lagi komen guru saya semasa darjah tiga "Improve your writing!"

Saya bukannya tak boleh menulis dengan cantik, tapi saya ingin tulis dengan cepat. Lantas kecantikan membentuk lengkok huruf jadi kompromi. Saya mudah lupa dan fikiran pula bergerak laju. Jari jemari perlu seiring dengan kepantasan fikiran. Segala yang terlintas perlu dicatatkan segera, jika tidak aliran pemikiran akan terhenti di mana-mana ia suka. Nanti lupa pula apa ayat seterusnya. Saya percaya bahawa kalau saya ingin mengambil masa menulis dengan cantik, bermakna saya harus memperlahankan arus fikiran. Itu tak mungkin berlaku.

Namun berbeza halnya dengan menaip. Apatah lagi kalau menaip atas komputer riba. Papan kekuncinya lembut dan sensitif bila disentuh. Saya harus katakan bahawa saya menaip lebih pantas daripada saya menulis dengan tangan. Terima kasih pada ibu bapa saya yang memperkenalkan saya pada mesin taip seawal usia 7 tahun (kalau tak silap). Saya juga selalu 'bermain' dengan mesin taip setiap kali abah menaip sesuatu. Saya akan tunggu giliran dengan sehelai kertas kosong di sisinya. Selepas SPM, saya ambil kursus menaip. Jika sebelum ini saya hanya tahu kedudukan setiap abjad di atas papan kekunci, kini kelajuan menaip bertambah.

Ujian Pitman saya ketika itu (1990) ialah 35 perkataan seminit. Kini dengan kemudahan komputer riba, ia bertambah kepada 55 - 60 perkataan seminit.

Rekod itu tidak boleh dicabar dengan tulisan tangan saya.

Oleh itu, ketika peperiksaan, minda saya terus merangka jawapan dan membina ayat dengan pantas. Sepantas itu juga tangan saya harus mengejar. Lantas tulisan yang pada mulanya cantik menjadi semakin... tak perlulah nak digambarkan bentuk tulisan saya selepas 1 jam menulis bukan. Pen dipegang dengan kuat, pergelangan tangan ditekan ke meja menjadi sangga. Tangan kiri juga menekan meja supaya kertas tidak lari.

Hasilnya, selepas peperiksaan tangan saya sakit dan penat. Otak juga letih kerana dipaksa berfikir terus-terusan selama 3 jam. Kalaulah komputer riba boleh digunakan semasa peperiksaan, tentunya saya hanya letih fikiran tetapi jari tidak sakit.


III

Selepas habis periksa, saya sekeluarga sempat ke PJ. Ada kenduri kahwin seorang kenalan (perempuan). Nak dijadikan cerita, suami pengantin perempuan itu rupanya kawan sekelas saya ketika di SMKA SHMS tahun 1988. Ketika itu saya di tingkatan 3. Tapi kami berpisah sejak itu. Tak tahu ke mana dia melanjutkan pelajaran. Kini dia seorang al-hafiz. Bertuahnya sang isteri. Saya kira kedua-duanya pasangan yang baik - bukankah seorang lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Dalam perjalanan pulang, saya berbual dengan suami. Masih terasa kehangatan cinta kami dan kenangan sewaktu majlis yang serupa ketika kami menjadi pengantinnya. Ketika membuka hadiah perkahwinan kami, boleh dikatakan 80% memberi kami hadiah yang tidak dapat kami gunakan. Sebagai contoh pinggan mangkuk, termasuklah punch bowl, salad bowl, set cawan, set pinggan dll. Saya tak teringat pula yang saya ada kata, saya akan buka kedai makan selepas kami kahwin :)

Kepada yang pernah beri hadiah tu, usahlah berkecil hati. Saya bukanlah mengutuk, tapi sayangnya hadiah-hadiah itu masih lagi ada tersimpan dengan baik dan tidak dapat saya manfaatkan. Pendek kata, hanya boleh dipandang dan dijadikan kenangan semata.
Jadi apa sebenarnya hadiah yang paling sesuai untuk pengantin baru? Ikut bajet poket sendiri.

Kalau mereka bakal berpindah ke rumah yang baru, pinggan dan cawan tu tak perlulah. Mesti ramai yang akan beri. Barangan elektrik seperti seterika, periuk nasi automatik, cerek elektrik dan pengering rambut boleh dikira agak praktikal. Album gambar juga boleh digunakan sehingga ke anak cucu. Biasanya pengantin memerlukan album dan gambar anak pertama selalunya melimpah ruah.

Kalau tak tahu sangat nak beri apa, tentu sahaja beri RM. Paling mudah dan paling praktikal.
Wajibkah memberi hadiah perkahwinan kepada mempelai? Tentu sekali tidak semestinya. Tetapi hadiah itu biasanya daripada saudara-mara dan sahabat taulan yang ingin menjadi sebahagian daripada kenangan hari bahagia pasangan itu. Yang penting ialah keikhlasan dan sudi hadir meraikan hari yang paling bersejarah buat mereka.

Hari ini ada 2 lagi walimah yang perlu dihadiri.

Musim ini musim raya, musim rumah terbuka, musim cuti sekolah, musim kenduri kahwin. Musim menggantung periuk di dapur... :)

Ulasan

Catatan Popular