Ulang Tahun Nisah Haron & Co.

Sedar tak sedar, firma kecil saya, Nisah Haron & Co. sudah pun berusia 4 tahun pada 1 Mac lepas. Tak pernah mimpi rasanya sebelum ini hendak memiliki firma sendiri. Tetapi ukiran rencana takdir Tuhan ini lebih halus buatan-Nya.

Memiliki firma yang berkonsepkan Small Office Home Office (SOHO) ataupun pejabat di rumah ini memang banyak cabarannya. Namun ia membolehkan saya membahagikan masa sebagai penulis, ibu, isteri, peguam, penjual buku dan sebagainya. Kalau pun boleh dinamakan kelebihan, setiap hari saya boleh bangun dan bertanya pada diri, "Hari ini aku nak jadi apa?"

Cabaran terbesar ialah mendisiplinkan diri.

Ramai orang kata, "Senangnya, pejabat di rumah." Entah apa yang senang tu, saya kurang pasti. Bagi saya yang senang barangkali, saya tidak perlu merempuh kesesakan jalan raya, berkejar ke pejabat dan berkejar pulang. Selain itu, cabarannya Allah dengan Rasul sahaja yang tahu.

Bayangkan dalam masa yang sama, saya perlu sudahkan tugasan (sama ada sebagai penulis ataupun peguam, biasanya kedua-dua ini tidak bercampur aduk) dan dalam masa yang sama, saya juga perlu melayan kerenah anak-anak. Sesekali dapur hendak dijenguk juga. Maaflah, kami tidak punya pembantu rumah. Semua orang buat kerja sendiri.

Dalam pada itu, saya tetap bersyukur kerana anak-anak saya dapat membesar di hadapan mata. Syukur yang tidak terhingga juga pada suami yang benar-benar memahami. Terlalu banyak tugas sebagai suri rumah yang dapat diringankan dengan kehadirannya.

Bila anak-anak sudah biasa dengan kita, cabaran lain pula ialah mereka mudah dapat hampir apa sahaja, walaupun kami tidaklah memanjakan.

Namun seperti apa yang saya ungkapkan, semua itu bukanlah masalah tetapi sebenarnya siri-siri cabaran yang perlu dihadapi.

Ada juga yang bertanya, sebagai peguam bolehkah saya menyandang beberapa jawatan lain seperti yang saya senaraikan di atas?

Biar saya jelaskan. Mana-mana peguam terikat dengan Majlis Peguam Malaysia. Tidak ada peguam yang boleh menjawat lebih daripada 2 jawatan profesional secara serentak. Bertugas secara profesional ertinya dapat pendapatan berkembar (double income). Itu menyalahi peruntukan Majlis Peguam. Misalnya, graduan yang ada double degree - undang-undang dan accountancy. Dia harus memilih sama ada mahu menjadi peguam ataupun akauntan. Tidak boleh kedua-duanya.

Menjadi penulis ada tugas sambilan yang tiada gaji. Yang ada cuma bayaran honorarium ataupun royalti menulis. Itu bukan gaji. Maka ia dibolehkan.

Begitu juga dengan Ujana Ilmu, saya bukan pekerja ataupun pemilik perniagaan ini. Saya cuma penasihatnya [yang tidak bergaji :-) ]. Begitu juga menjadi suri rumah separuh masa, turut tidak bergaji.

Jadi jelas?

Tidak ada konflik di mana-mana.

Terima kasih, dan selamat malam.

Ulasan

Catatan Popular