050505 dan persahabatan

Beberapa blog yang saya kunjungi memilih tarikh ini untuk diabadikan. Memang tarikh ini nampak menarik. Tapi bagi saya, menarik lagi tarikh 20 Mei 2005 nanti. Ia akan menjadi 20052005 seperti mana tarikh hari lahir saya tahun lepas 20042004.

******

Saya gembira dengan pertunangan adik saya baru-baru ini. Ini bermakna, ahli keluarga akan bertambah. Saya yang tidak pernah ada adik beradik perempuan ini agak teruja kerana saya bakal mendapat seorang adik. Secara kebetulan, sama pula umur mereka.

Peribadi, saya memang hargai seorang sahabat perempuan. Sesiapa (perempuan) yang pernah rapat dengan saya tentu sahaja mengerti bahawa saya akan anggap beliau sebagai saudara saya sendiri. Adik dan kakak angkat pun tak kurang.

Pun begitulah, saya amat menghargai persahabatan. Biarpun api dan bara pernah dihulurkan oleh seseorang yang pernah mengaku sahabat, saya tetap menghadiahkan haruman kasturi buat mereka.

Lantas, saya tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada bakal adik ipar saya. Namun, jauh di sudut hati, saya harap dia boleh menjadi sahabat saya setidak-tidaknya. Saya lihat kami mempunyai perbezaan yang agak nyata dalam prinsip dan pendirian. Tetapi itu bukan soalnya dalam menghargai persahabatan. Adakalanya, perbezaan itulah yang lebih menyatukan.

Sesekali teringat juga pada sahabat-sahabat pena yang pernah saya utusi dengan warkah. Namun saya sudah tidak terkejar lagi perhubungan dengan sahabat pena. Tulisan saya pun sudah makin jelek. Saya semakin pantas menaip daripada menggunakan pen. Saya terasa rugi 'kehilangan' sahabat-sahabat pena. Tetapi hakikatnya, dunia semakin pantas. Sedangkan kita yang berhubung dengan telefon bimbit dan e-mel pun belum tentu akan menghubungi seorang sahabat yang pernah rapat dengan kita satu masa dahulu.

Tidak, saya tidak salahkan IT. Saya salahkan diri saya sendiri kerana terpaksa akur dengan realiti bahawa ada banyak keutamaan dalam hidup yang menuntut perhatian. Adakalanya persahabatan itu terpaksa dikesampingkan. Begitu juga sahabat yang ada kita miliki nombor telefon bimbitnya, tetapi belum tentu kita akan menghubunginya hatta untuk bertanya khabar sekalipun. Kita masih lagi mencari sebab untuk menghubungi seseorang.

Hakikatnya begitu, sekarang bukan lagi masa untuk menelefon seseorang secara tiba-tiba. Tuntutan kerja dan suasana sekeliling tidak memungkinkan seseorang itu melayan sahabatnya semesra dulu.

Sesekali saya pernah bertanya pada diri, apakah erti persahabatan dalam zaman serba pantas hari ini?

Ulasan

Catatan Popular