Mencari Ilham di Ilham Resort

Sesuai dengan namanya Ilham Resort, Minggu Penulis Remaja 2005 (MPR) diadakan di tempat ini. Saya bawa keluarga ke sana tengah hari semalam. Kami diberi sebuah apartment tiga bilik. Satu bilik untuk wakil urus setia, satu lagi bilik untuk Puan Mahaya sekeluarga dan saya sekeluarga.

Serentak dengan MPR turut berlangsung Khemah Penulisan Kanak-kanak anjuran IBMM-DBP di tempat yang sama, cuma bilik seminarnya berbeza. Peserta MPR ada 29 orang, termasuk beberapa muka yang pernah saya temui atau kenal namanya sahaja seperti Azree Ariffin (pernah beri ceramah penulisan kepadanya di Perpustakaan TTDI), Farah Nabila Noor Anuar (Wakil PEN, johan deklamator NS) dan Khairunnasriah (blogger - Nasa Natrah).

Alhamdulillah, sesi saya berjalan lancar. Turut sama dalam sesi tersebut ialah Zaid Akhtar yang memperkatakan tentang proses kreatif novelnya sendiri. Saya lebih gemar berdiri ketika bercakap kerana barulah saya boleh nampak semua pendengar dari yang hadapan sekali hinggalah yang paling belakang. Mikrofon pula tanpa wayar, hah, apa lagi seronoklah saya berjalan-jalan hingga ke belakang. Sesekali, saya suakan mikrofon itu kepada sesiapa sahaja yang saya suka dengan soalan-soalan tertentu. Terkejut-kejut juga saya kerjakan. Tetapi itu memang disengajakan. Jika tidak sesi 2.30 hingga 4.30 petang itu akan jadi mengantuk, apatah lagi makan pun dah kenyang, bilik pula punya pendingin hawa yang agak kencang sejuknya.

Saya ada kertas kerja @ catatan. Pun, saya tidak merujuk kepada kertas tersebut. Saya bercakap apa sahaja yang terlintas di hati selagi tidak keluar daripada tajuk. Banyak juga soalan yang diajukan, dan semuanya berjaya memberikan perhatian yang cukup untuk sesi ini.
Untuk saya, seronok kerana dapat melihat kesungguhan dalam mata mereka yang bercahaya. Seronok juga dapat bertemu sahabat-sahabat seperjuangan - Zaid Akhtar, Faisal Tehrani, Salina Ibrahim, Zaen Kasturi, Khairul dan juga sahabat-sahabat di DBP - En. Wahab, En. Zulkeply, Malissa dan beberapa nama lagi.

Usai sesi, boleh tahan juga yang membeli buku. Biasalah, kalau saya beri ceramah, Ujana Ilmu mesti ikut sama. Kena masyarakatkan buku walau di manapun saya beri ceramah.
Khabarnya, selepas itu mereka meneruskan sesi bengkel dengan Faisal. Saya pun beri laluan kepada mereka. Anak-anak sudah tak sabar nak ke pantai.

Air mulai surut. Deburannya kian perlahan. Pantai di sini tidak berapa bersih. Berlumpur. Setakat untuk bermain-main di gigi air itu boleh sahaja. Anak-anak saya pun bukannya biasa benar ke pantai. Sudahnya, kami bawa mereka ke kolam renang di resort. Macam itik jumpa air! Hingga hampir 6.30 petang, mereka enggan keluar dari kolam. Setelah dipujuk beberapa kali, barulah mereka mahu. Itupun Along masih menarik-narik saya untuk masuk ke dalam kolam dewasa. Yang nyata, mereka sebenarnya telah kepenatan. Semakin banyaklah ragamnya.

Pada sebelah malam, jam 8.30 sesi bersama-sama Puan Mahaya pula. Beliau bercakap tentang puisi lama dan moden. Seisi kelas diminta bersyair, berlagu, bermestamu. Saya pun terkena tempiasnya apabila membantu beliau menekan butang laptop dan diminta melagukan irama Selendang Delima untuk syair Za'ba, Kelebihan Ilmu.

Kami pulang sekitar jam 10.00 malam. Kalau tidak kerana ada urusan pada hari ini, kami memang bercadang untuk menginap di Ilham Resort. Tapi tidak mengapalah. Mungkin pada sekesempatan yang lain pula, insya-Allah.

Ulasan

Catatan Popular