Kembali ke sekolah

Pagi tadi saya telah kembali ke sekolah. Bukan sekolah rendah ataupun sekolah menengah, tetapi sekolah kehidupan. Kehidupan sebagai seorang pelajar semula. Setelah beberapa tahun meninggalkan daerah perbukitan Bangi yang bertuah dan mengepung ilmu, saya kembali semula ke daerah yang penuh nostalgia, harapan dan impian.

Saya menyambung semula sebuah impian yang terpaksa ditangguhkan sedikit masa dahulu. Impian untuk meneruskan usaha menyelongkar seberapa banyak ilmu yang ada dan termampu oleh diri ini.

Alhamdulillah, saya sampai ke Fakulti Undang-undang UKM, seawal 8.45 pagi tadi. Diberi taklimat oleh pensyarah-pensyarah ceria yang masih mengingati saya. Mereka sangat gembira dengan kehadiran pelajar-pelajar pasca-siswazah (Sarjana & Doktor Falsafah), termasuk juga saya dan beberapa bekas pelajar FUU UKM yang kembali. Sambutannya sederhana tetapi cukup mesra.

Ucapan aluan Dekan FUU, Prof. Madya Kamal Halili dan Timbalan Dekan (Siswazah) Prof. Madya Dr. Sakina benar-benar membuat rasa seperti diraikan. Sedangkan ini bukannya satu kejayaan lagi. Ini permulaan sebuah cabaran - yang sengaja digalas. Begitulah, saya lebih suka belajar bukan kerana desakan tetapi kerana rasa kecintaan terhadap ilmu itu sendiri.

Jika pada peringkat ijazah dahulu, belajar terasa seperti dipaksa kerana hati pada ketika itu berada di tempat lain. Namun takdir dan ketentuan Ilahi telah melorongkan saya ke FUU dengan rencana yang amat halus dari Dia Yang Maha Mengetahui.

Begitu juga kita membuat diploma di universiti yang satu lagi, saya juga tidak merasa sedang menikmati satu proses menimba ilmu. Terasa seperti didesak-desak oleh satu tuntutan halimunan dan suasana seluruh kampus itu seperti tidak menyambut saya datang. Terasa seperti melukut di tepi gantang.

Namun kali ini, suasananya sangat berbeza. Barangkali, kerana wajah-wajah ceria itu ramai di antaranya memang saya kenali malah, ada yang memang kenal mesra. Barangkali kerana FUU tempat saya menumpahkan rasa setia. Tentu sahaja tempoh 6 tahun bergelar mahasiswi dan lawatan-lawatan berkala ke FUU selepas itu mewujudkan rasa sense of belonging.

Ya, kali ini saya bukannya datang ke FUU, tetapi saya kembali... Dr. Sakina mengucapkannya begitu malah dia mengucapkan selamat datang kepada setiap seorang pelajar yang menghadiri taklimat pagi tadi di bilik mesyuarat Fakulti.

Kami dimaklumkan tentang jumlah mata pelajaran (pelajar Indonesia menyebutnya mata kuliah) yang boleh dipilih. Saya memilih Program Sarjana Sepenuh Masa (Kursus Sahaja). Maknanya, saya perlu mengambil 8 subjek (1 wajib - Metodologi Penyelidikan) dan 7 subjek lagi yang perlu dihabiskan dalam satu tahun. Bagi semester ini saya perlu ambil maksimum 4 subjek. Lalu saya pilih :

Undang-undang Keluarga Perbandingan
Undang-undang Jenayah Islam
Undang-undang Teknologi Maklumat; dan
Undang-undang Jualan Barang (Lanjutan) - Advance Law on Sales of Goods

Cadangnya, semester depan (kalau berjaya mendapatkan CGPA 3.00 atau lebih) saya ingin teruskan dengan :

Undang-undang Kanak-kanak (Child Law)
Undang-undang Antarabangsa & Dunia Ketiga
Undang-undang Harta Intelektual
Metodologi Penyelidikan

Ada yang beritahu saya (bukan dari UKM), katanya kalau ambil kursus sarjana yang 100% kuliah ini bererti, saya mengambil sarjana peringkat rendah. Sarjana yang paling baik @ berkualiti ialah yang mengambil tesis sahaja, kemudian diikuti dengan kursus + tesis.

Hmmm... tak tahu pula saya begitu hirakinya. Bagi saya, siapa yang ada Master tu, kira dah ada masterlah tak kiralah cara mana dia dapat master. Bila seseorang itu dapat Master, takkan kita tanya pada dia, "awak dulu buat Master dulu, tesis saja, tesis + kursus atau kursus sahaja?" Biasanya kita akan terus mengiktiraf seseorang itu, bila sahaja dia dianugerahkan dengan Sarjana, bukan?

Entahlah, mungkin ada yang boleh memberitahu saya tentang ini.

Apa pun, pendaftaran di Pusat Pengajian Siswazah juga berjalan lancar, tidaklah terlalu lama menunggu seperti sewaktu mendaftar di DECTAR pada tahun 1993 dulu. Satu jam tak selesai!

Status saya sudah berubah. Saya pelajar.

Ulasan

Catatan Popular