Dari Tg Malim ke Bukit Beruntung

Pertama kali sampai di UPSI. Tak sangka pula Tg Malim, tidaklah sejauh yang disangka. Ya lah, apabila membayangkan Tg. Malim tu sebahagian daripada negeri Perak, sudah terasa jauh. Padahal belum pernah sampai lagi.

Saya guna laluan lebuhraya Elite dari Seremban, melalui persimpangan-persimpangan KLIA, Shah Alam, Sg Buloh, Rawang, Bukit Beruntung, Lembah Beringin dan akhir sekali Tg. Malim. Malah kedudukan Tol Tg Malim itu juga masih lagi dalam daerah Hulu Selangor. Tak lama perjalanan untuk sampai ke Tol Tg Malim, hanya 1 1/2 jam memandu dengan kelajuan tidak melebihi 120km/j. (sesekali terlajak juga, moga tak kena speed trap!)

Alhamdulillah, teman yang berjanji untuk menjemput saya tiba di Tol Tg Malim. Saya kemudiannya ditunjukkan pintu masuk UPSI dan tempat Seminar Sastera Bandingan bakal diadakan pada keesokan harinya. Kemudian, saya dibawa ke rumahnya.

Pada sebelah malam, dia sekeluarga membawa saya ke Proton City Tg Malim. Luas dan indah sekali tempatnya. Memang akan jadi satu township baru. Malangnya, pada waktu malam pemandangan tidaklah seluas sewaktu siang. Saya percaya, kalau siang tentu lebih menarik lagi. Tg Malim akan lebih maju selepas ini. Kewujudan Proton City akan membuatkan bandar itu pesat membangun. Tambahan lagi dengan perpindahan sebahagian daripada kampus UPSI ke Proton City.

Esoknya, saya ke UPSI. Majlis diadakan di Dewan Kuliah J. Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan oleh Presiden Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM), Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah, Dr. Talib Samat (Setiausaha PKBM), Prof. Madya Dr. Muhammad Bukhari Lubis (UPSI), Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura), Dr. A. Wahab Ali, Dr. Mohd. Rosli Saludin, Abdul Halim Ali dan Drs. Harun Jaafar (UPSI).

Seminar ini bertemakan "Sasterawan Perak dalam Perbandingan".

Usai seminar hampir jam 6 petang. Ada iftar disediakan, tetapi kalau menunggu iftar di UPSI ertinya saya akan memandu pada waktu malam untuk sampai ke rumah. Jadi saya terus pulang. Tetapi dihalang hujan lebat sewaktu melalui Lembah Beringin.

Teringat pesan seorang teman yang mengatakan, kalau lalu Bukit Beruntung singgah rumahnya. Hujan memang sangat lebat. Hari makin gelap dan saya sukar sekali untuk melihat kenderaan di hadapan saya. Lebuhraya itu cuma punya 2 lorong. Lori pula boleh tahan banyak. Lantas saya pun keluar dari lebuhraya dan masuk ke Bukit Beruntung. Telefon dia yang dah beriya-iya mengajak saya berbuka di rumahnya. Tapi saya yang beriya-iya menolak, kononnya hendak sampai segera ke rumah.

Tetapi bila difikir-fikirkan semula, bahaya juga berkejar-kejar ke rumah pada waktu ini. Baik singgah berbuka dan maghrib-isya' di rumahnya. Kalau hujan reda, mungkin boleh memandu semula selepas isya'. Namun hujan terus lebat dan seperti tiada tanda-tanda hendak berhenti. Langsung teman saya ketawa dan berkata, "Sudi juga Nisah singgah rumah saya. Tak mengapa kita sahur bersama-sama nanti."

Alhamdulillah, lepas sahur kami sembang-sembang hingga subuh. Hujan yang sekejap reda dan sekejap renyai sejak malam tadi, pagi ini pun masih tiada tanda-tanda hendak berhenti. Sekitar jam lapan pagi, saya bergerak semula menuju ke rumah. Dia yang hendak ke pasar, membawa saya keluar dari kawasan taman perumahannya hingga ke Tol Bukit Beruntung. Alangkah baiknya dia!

Semoga Allah terus merahmati
kedua-dua sahabat saya ini sekeluarga!
Terima kasih Tuhan
mengizinkan perjalanan direncana ini.
Bumimu sungguh indah,
hamba-Mu
tak terjangkau semuanya...

Ulasan

Catatan Popular