Nota kecil buat pramugara

Image hosted by Photobucket.com


Saya tidak pasti sama ada tindakan saya ini wajar ataupun akan dianggap kurang sesuai bagi sesetengah pihak. Tetapi saya kira pemantauan bahasa perlu diteruskan walau di mana sekalipun kita berada. Bukanlah saya ingin katakan bahawa tatabahasa saya ini sempurna. Saya juga masih memperbaiki tahap penguasaan tatabahasa saya, malah.

Namun demikian, saya percaya kesalahan-kesalahan kecil dalam urusan rasmi tidak sepatutnya berlaku. Itulah yang cuba saya paparkan dalam catatan kecil saya kepada ketua pramugara MAS penerbangan MH1397.

Beliau beberapa kali membuat pengumumum seperti "Semua penumpang-penumpang", "semua anak-anak kapal" dan "Terima kasih di atas perhatian anda".

Penggunaan yang betul ialah semua penumpang ataupun semua anak kapal kerana perkataan "semua" ialah penanda jamak. "Semua " itu sudah bererti ramai. Tidak perlu lagi digandakan perkataan penumpang.

Bagi ayat yang kedua, ayat yang betul ialah Terima kasih atas perhatian anda. Penggunaan "di atas" adalah untuk tempat, misalnya di atas pokok, di atas meja dan sebagainya.

Ada banyak lagi yang ingin saya tegur, tetapi pada masa tersebut itu sahaja yang sempat saya kutip. Saya tulis sewaktu penerbangan pulang dari Kota Bharu ke KLIA. Semasa perjalanan keluar daripada pesawat, nota tersebut saya hulurkan kepada Ketua Pramugara. Tak tahulah saya diapakan nota itu. Mungkin sahaja akan dikeronyoknya sahaja.

Buat niat saya untuk menghina sesiapa, tetapi memperbaiki tatabahasa ini tanggungjawab kita bersama. Kalau kita boleh bersungguh-sungguh dalam menggunakan nahu bahasa Inggeris dengan baik, sewajarnya kita lakukan perkara yang sama untuk bahasa kita.

Terima kasih atas perhatian anda!

Ulasan

Catatan Popular