Puisi Dalam Berita Minggu
Alhamdulillah, puisi saya mendapat tempat dalam Berita Minggu 29 Januari 2006 dengan judul Sumpah Setia Tanjung Piai.
Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan membacanya saya turunkan di bawah :
Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan membacanya saya turunkan di bawah :
SUMPAH SETIA TANJUNG PIAI
Oleh : NISAH HAJI HARON
Ketika tikaman datang bersama petah bicara
Luka dan bisanya maha dalam
Tetapi ajal bukan dalam
jarimu tergenggam;
Entah dengan senjata mana
Meski pisau haloba
atau keris iri
atau panah hasad.
Untuk apa sumpah setia di Tanjung Piai
Untuk apa resolusi gah tak tergapai
Persis ikatan kata-kata tak terkota
Himpunlah seberapa banyak sumpah
Selagi diri tidak berubah
Sayap perjuangan takkan terarah
(Salahkah kita berdiri atas lantai sederhana)
Andai kiblatmu kini kutanyakan
Mampukah kalian katakan
Hasil penamu hasil dorongan
bukan desakan
tanda ringgit empat berangka;
Karya itu terpaksa kautulis, katamu
Namun siapa yang memaksa
Lantaran sekadar
mahu membariskan sepotong nama
di bawah judul karya sebanyaknya.
Langsung kau pun menginjak-injak
Agar kau boleh melonjak lebih tinggi
Mereka pun akur-pasrah memberi laluan izin
Kerana mereka juga percaya
Setiap yang di bawah
Esok-esok bergilir ke atas.
Biarlah kutekap luka tikaman kata
Benang-benang perjuangan ini
Biarlah kusambung sendiri.
Cara kita mungkin berbeza
Tetapi,
Kitalah penjunjung amanah-Nya
Doaku teriring moga kau tidak lemas
Di laut taksub alpa
Setelah meninggalkan Tanjung Piai dan sumpah setianya!
27 Sept 2005 – 2 Disember 2005
Seremban – UKM – Bachok.
Berita Minggu, 29 Januari 2006
Puisi ini telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2005/2006
Ulasan