Membaca Kamus
Sudah baca Kamus Dewan yang terkini? Mungkin ada yang akan berkata, 'gila apa pula baca kamus?'
Tetapi bukankah kamus itu merupakan buku yang paling banyak mengandungi perkataan?
Saya suka kamus. Dari dulu pun saya memang baca kamus. Paling menarik, membaca kamus tidak semestinya dimulakan dari A dan esoknya B dan seterusnya. Untuk membaca kamus, pilihlah halaman mana yang kita berkenan. Esok-esok baca halaman lain pula.
Namun, paling penting ialah memanfaatkan setiap kali bacaan kamus itu dibuat. Mengenal pasti perkataan baru, faham konteks perkataan itu dan bagaimana ia boleh digunakan. Tentu sekali, aplikasi terbaik ialah kita dapat menggunakan perkataan baru tersebut dalam ayat dengan baik. Ayat yang baik ialah apabila satu-satu perkataan dapat digunakan dalam konteks yang betul. Sebab itu, dalam penulisan kreatif, jika banyak glosari harus diletakkan pada bahagian akhir karya, itu sedikit sebanyak melemahkan kekuatan karya.
Membaca kamus juga membolehkan kita mencari perkataan yang paling sesuai. Falsafah yang dapat saya petik setelah berurusan dengan beberapa pihak penerbitan ialah gunakan Bahasa Melayu sepenuhnya apabila menghasilkan karya / tulisan berbahasa Melayu. Selagi ada perkataan yang wujud dalam Bahasa Melayu, perkataan itu hendaklah digunakan. Tidak perlu guna perkataan Inggeris. Barulah tulisan kita akan mencapai tahap Bahasa Melayu tinggi.
Al-Quran, misalnya menggunakan Bahasa Arab tinggi. Hatta konsep tatabahasa Arab juga diambil daripada Al-Quran. Kitab ini langsung tidak menggunakan bahasa slanga, sedangkan bahasa pertuturan orang-orang Arab pada ketika itu bukanlah seperti di dalam Al-Quran.
Demikian juga saya melihat dalam aktiviti penulisan. Gunakan Bahasa Melayu yang betul. Mungkin pembaca dari jenis yang malas hendak mencari makna dalam kamus akan mengatakan bahawa dalam dialog pertuturan sehari-hari mana ada orang bercakap menggunakan bahasa yang betul. Semuanya menggunakan bahasa pasar/harian. Jadi apabila menulis dialog juga wajarlah penulisnya merakamkan penggunaan bahasa pertuturan yang sebenar.
Itu jugalah alasan yang digunakan oleh penerbit-penerbit drama televisyen. Itulah alasannya. Orang sekarang cakap sekerat ikan sekerat belut. Jadi pengkarya juga menjadi menulis atau menghasilkan karya seperti mana yang dimahukan oleh penonton/pembaca.
Kapitalis betul, bunyinya!
Perlu diingat bahawa bahasa itu ada bahasa persuratan dan bahasa pertuturan. Kedua-duanya ada beza. Dalam konteks penulisan, bahasa persuratan itu hendaklah mengekalkan ciri-ciri estetik dan juga penggunaan tatabahasa yang betul. Tanggungjawab tersebut terletak pada tangan penulisnya, kemudian disokong pula oleh editornya.
Penulis yang baik akan memanfaatkan kamus seoptimum mungkin bagi memilih kata-kata yang paling tepat berserta dengan maknanya. Itu yang dinamakan diksi.
Saya tetap percaya bahasa penulis yang baik ialah penulis yang berjaya menguasai perkataannya. Ia melambangkan sikap seorang penulis. Jika dia memang 'malas' untuk menulis semula dan mencari perkataan yang lebih baik bagi menggambarkan pemikirannya, itu akan jelas kelihatan dalam tulisannya.
Karya seorang penulis ialah tempat pembaca mengenali jiwa dan isi hati penulis yang sebenar. Sikap sebenar seorang penulis itu jelas terpancar dalam karya. Seorang penulis tidak akan dapat melindungi sifatnya yang sebenar dalam karya - walaupun dia menggambarkan peribadi yang berbeza apabila bertemu secara fizikal.
Jadi, apa perkataan baru yang anda pelajari melalui kamus hari ini?
Saya ingin perkenalkan 3 perkataan baru yang wajar digunakan oleh pihak-pihak tertentu:
Jerayawara
Bicarawara
Candawara
Apa itu?
Mari kita buat satu candawara. Sila rujuk Kamus Dewan edisi ke-4 - yang warna merah. (Maaf, edisi ke-3 tiada jawapan di dalamnya.) Faisal dan Salina tidak boleh jawab sebab saya dah cerita apa makna Jerayawara semasa di pesta buku tempoh hari. Anda berdua boleh jadi hakim :)
Selepas itu, boleh kita adakan satu bicarawara di televisyen. Tidak cukup dengan itu, semua penulis boleh pakat-pakat dengan pihak penaja tertentu untuk kita pusing satu dunia buat jerayawara.
Tahu jawapannya? Sila tinggalkan jawapan di ruang komen. Selamat mencuba!
Ulasan