Bengkel PEN di Kuala Klawang


Awal pagi tadi berangkat ke Hotel Sri Klawang, Jelebu. PEN menganjurkan bengkel penulisan cerpen khas untuk warga daerah Jelebu dan sekitarnya. Alhamdulillah, kehadiran yang agak memberangsangkan. Kami dapat menghimpunkan sekitar 30 orang calon penulis, penulis baru dan penulis mapan di bawah satu bumbung.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada adinda Syarifah Salha Syed Ahmad atas usaha gigih menguruskan program ini di Jelebu (boleh dikatakan sendirian juga, walaupun ada sedikit sebanyak bantuan dari jauh).

Kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan guru pengiring tetapi rakaman terima kasih juga kepada Sdr Abdullah A.R. - penyair tersohor dari Negeri Sembilan yang turut sudi meluangkan masa menjadi peserta! Sokongan beliau amat besar ertinya bagi PEN.

Bengkel ini merupakan bengkel asas dan diisi oleh dua penceramah, iaitu saya sendiri dan Puan Kalsom Azid. Saya menyentuh aspek teknikal dalam penulisan sementara Puan Kalsom tentang gaya bahasa dalam penulisan kreatif.

Saya suka tentang rumusan Puan Kalsom tentang gaya bahasa :

Hari sudah petang. (gaya penulisan bukan kreatif) - sifatnya to tell (untuk memberitahu)

Matahari semakin condong ke ufuk barat. Hanya tinggal beberapa inci lagi sebelum menyentuh ubun-ubun horizon. (gaya bahasa penulisan kreatif) - sifatnya to show (untuk menunjukkan)

Ertinya, dalam penulisan kreatif, penulis bukanlah orang yang membuat tafsiran ataupun keputusan terhadap sesuatu perkara. Biarlah pembaca yang mengambil peranan tersebut. Penulis hanya perlu menggambarkan keadaan tersebut. Buat tugasnya untuk memberitahu pembaca apakah yang diperkatakan.

Sebagai contoh juga : Aminah budak yang rajin (gaya bahasa bukan kreatif - sifatnya memberitahu pembaca. Ini tidak membenarkan pembaca membuat tafsiran ataupun memutuskan sama ada benarkah si Aminah ini rajin).

Contoh 2 : Awal pagi lagi Aminah telah meninggalkan tempat tidurnya. Selepas solat Subuh, dia menghampiri katilnya. Cadar yang komot itu ditegangkan. Kemudian terdengar derauan air. Sebesen baju yang direndam semalam kini ditanganinya. Sedang mencuci, dia terkenang laman rumah yang pasti bertabur dengan daun-daun lembab kerana deraian hujan malam tadi. Selepas ini, laman itu bakal licin dikerjakan.

Jadi terpulanglah kepada pembaca untuk menafsirkan sifat si Aminah, adakah dia ini seorang yang rajin ataupun terpaksa melakukan kerja-kerja tersebut.

Berada di Kuala Klawang pada awal pagi, mengingatkan saya kepada Sri Menanti sewaktu Bengkel Novel diadakan. Tempat-tempat yang bersifat kekampungan ini amat menyegarkan minda. Jauh daripada hiruk pikuk bandar. Cuma pihak pengurusan hotel ini harus lebih bersikap profesional dalam tugas. Itu perbandingan yang dapat saya lakukan berbanding Sri Menanti Resort.

Ulasan

Catatan Popular