Publisiti Sastera
Peribadi saya merasa cemburu (envious) dengan aktiviti sastera yang dijalankan oleh pihak DBP Wilayah Selatan. Negeri Johor bertuah kerana menempatkan DBPWS di situ. Boleh dikatakan hampir setiap minggu ada sahaja aktiviti Bahasa dan Sastera yang dijalankan di sana. [cemburu di sini dalam konteks yang positif, bukannya iri hati. Walaupun Kamus Dewan Inggeris-Melayu menterjemahkan envy sebagai iri hati.]
Sila lihat blog-blog di bawah untuk aktiviti yang telah DBPWS jalankan.
- Zaid Akhtar
- Hasrina Baharum (Pegawai DBPWS)
Namun, saya juga melihat kepada dedikasi para pegawai di sana. Mereka tidak pernah berhenti membina publisiti sejauh mungkin supaya sastera dan bahasa secara tidak langsung sampai kepada khalayaknya. Biarlah aktiviti itu mungkin dihadiri tidak sampai 100 orang tetapi aktiviti tersebut mendapat liputan akhbar. Tidak kurang dengan itu, saya selalu menerima e-mel undangan daripada pihak DBPWS untuk menghadiri aktiviti-aktiviti tersebut. Terus terang, jika Larkin Perdana itu letaklah tidak sampai 2 marhalah - tentu saya tidak akan lepaskan peluang untuk hadir.
*Mengeluh* Saya hanya boleh mendengar dan membaca dari jauh sahaja.
Malang pula bagi Negeri Sembilan yang tersepit antara dua DBP. Tangan DBPWS hanya sampai setakat sempadan Tampin, Melaka. Itu diakui sendiri oleh seorang daripada pegawai atasannya. Katanya, dia lelah menguruskan dua buah sendiri serentak. DBPKL pula seringkali lupa melibatkan NS dalam senarai aktivitinya. Ini terbukti beberapa kali terutama sekali apabila meminta sumbangan ataupun penajaan daripada DBPKL. KL kata minta dari Selatan, Selatan kata NS itu bawah bidangkuasa pusat. Sudahnya NS ketengah ketepi. Sini tidak sana pun bukan.
Lantas, banyak aktiviti di NS hanyalah atas inisiatif dan kapasiti Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang kecil lagi daif ini. Sebagai NGO, kami tiada sumber kewangan sendiri. Nak mengharapkan bantuan memang adakalanya macam pengemis. Mujur juga pentadbiran kerajaan negeri yang baru ini amat prihatin dengan pembangunan bahasa dan sastera negeri. Namun, itu sahaja tidak cukup tanpa dokongan insititusi yang memartabatkan bahasa dan sastera.
Barangkali, hal yang sama juga turut dirasai oleh negeri-negeri tersepit yang lain seperti Perak dan Pahang. Perak tidak masuk DBP Wilayah Utara dan Pahang juga khabarnya semacam 'terkeluar' daripada DBP Wilayah Timur.
Mungkin juga ramai yang akan beri respon, apa yang perlu diharapkan kepada DBP lagi? Ya, saya adakalanya melihat DBP sebagai sebuah insititusi dan sesekali melihat DBP itu dalam sudut yang lebih mikro, iaitu hubungan dengan beberapa kakitangan tertentu yang memang ada dedikasi dalam membuat kerja. Banyak pihak menghentam DBP kiri kanan depan belakang tanpa mengenali manusia-manusia yang mengendalikannya. DBP mungkin dinakhodai oleh Dato' Firdaus tetapi saya tidak bercakap tentang nakhodanya. Saya juga mengenali orang yang menarik sauh, mendayung, juragan, jurumalim hatta tukang jaga pintu kapal.
Saya suka mencari kemanusiaan dalam institusi ini. Dalam banyak hal saya menjumpainya. Lantas, bagaimanakah sebagai manusia Melayu yang bangga dengan bahasa Melayu, yang memiliki sebuah insitusi bahasa dan sastera membantu DBP sebelum ia jatuh tersungkur lagi dalam abad yang kian mencabar ini. Apakah kutukan demi kutukan itu dapat membina sebuah lagi DBP yang setaraf dan boleh membawa martabat Bahasa Melayu ke persada yang sewajarnya.
Siapa dia yang boleh melakukannya?
Ataukah semakin ramai yang mahu menjadi Sang Rajuna Tapa?
Ulasan