Syair & Seloka berkumandang di Shanghai

26 Mei 2006 - Hari kedua persidangan. Giliran saya tiba selepas kudapan. Jadi sebelah pagi, saya singgah ke bangunan yang satu lagi untuk mendengar pembentangan Undang-undang Islam. Antara pembentangnya ialah Dr. Nora Haq (UIA) dan Prof. Madya Noor Aziah (UKM). Sesi ini dipengerusikan oleh Dr. Andrew Harding.

(Gambar : 3 daripada pembentang menunggu giliran sambil mendengar pembentang terawal)

Alhamdulillah, hari ini cuaca cerah. Jadi tiada masalah untul lari dari satu bangunan ke satu bangunan yang lain. Bayangkan ada 7 sesi persidangan yang berlangsung serentak. Kesemuanya bermula jam 8.30 pagi. Setiap sesi pula mempunyai antara 5 - 7 orang pembentang.

Ada pula sesetengah pembentang junior yang berkata, "Alahai, janganlah tengok saya bentang. Nervous ni." Habis tu, kalau saya tak boleh tengok mereka membentang, buat apa pula saya datang ke mari. Tak logik betul. Gabra (gubra?) tak bertempat. Di manakah keyakinan mereka sebagai ahli akademik jika dalam pembentangan yang tidak melebihi 15 minit itu pun mereka tidak mampu menguasai keadaan.

Apabila pembentangan serentak begini, ia membebaskan kita untuk ke mana-mana sahaja; dari satu bilik ke bilik yang lain. Sesekali, saya juga membebaskan diri ke bilik internet yang disediakan. Ketika itu, tidak ramai yang menggunakan komputer/internet, jadi sempat jugalah saya menyemak emel dan membaca berita dari tanah air.

Pada waktu berada di luar negara inilah, saya menyedari bahawa tulisan-tulisan daripada tanah air ini amat penting bagi mereka. Pada ketika ini jugalah, kita dapati banyak hal yang positif tentang negara kita (yang selama ini selalu kita kutuk-kutuk). Jadi, saya sempat membaca berita Utusan Online dan Berita Harian Online.

Ketika itu juga berita dari Malaysia sibuk tentang isu misyar dan pada hari Jumaat itu juga tersiarnya wawancara saya dengan pihak Berita Harian tentang isu Suami Tidak Boleh Lari dari Bayar Nafkah - tersiar dalam edisi internet BH. Sempat juga saya tinggalkan pesan pada orang di Malaysia supaya membeli akhbar tersebut.

Perjalanan dari bangunan kedua ke bangunan pertama pada hari yang tidak hujan ini benar-benar membahagiakan. Berjalan dalam kampus seolah-olah berada dalam taman bunga. Maklumlah, penghujung musim bunga masih lagi menjanjikan banyak bunga di sana-sini. Cuaca yang agak dingin amat menyeronokkan.
Gambar-gambar kampus ECUPL yang dihiasi aneka bunga.

Giliran saya tiba seperti yang dijanjikan. Sesi Harta Intelektual dipengerusikan oleh Prof. Dr. Khaw Lake Tee (Dekan Fakulti Undang-undang UM). Seorang yang tepat dengan masa. Janji untuk bermula pada jam 10.30 pagi benar-benar ditepati walaupun masih ramai yang bergebang-gebang di luar. Dia tetap memulakan.

Ada 5 orang pembentang dalam sesi ini :

  1. Million Dollar Secrets (Aditya Swarup & Samar Jha - NALSAR University of Law, India)
  2. University Intellectual Property Rights & Ownership Issues in Indonesia (Valerie Selvie Sinaga - Atma Jaya Catholic University, Indonesia)
  3. Copyright Piracy and the Prosecution of Copyright Offences : Is There a Need for Special IP Court in Malaysia (Iada Madieha Abd. Ghani Azmi - UIA)
  4. An Overview of Malay Oral and Classical Poetry as Traditional Knowledged in Malaysian Copyright Law (Nisah Hj Haron - UKM)
  5. Second Tier Protection for Minor Inventions in Asia : An Appraisal of the SImilarities and Differences (Lim Heng Gee - UiTM)


2 pembentang pertama memilih untuk membentang dari tempat mereka duduk. Bilik ini membunyai meja mesyuarat bujur. Para pendengar boleh mengambil tempat di mana-mana sahaja dalam bilik ini asalkan dapat melihat persembahan powerpoint dengan jelas.

Pembentang ke-3, Dr. Ida Madieha memilih untuk berdiri dekat dengan layar dan dekat dengan laptop supaya dia sendiri dapat mengawal powerpointnya sendiri. Mikrofon tanpa wayar juga diberikan kepada sesiapa yang mahu membentang di hadapan.

Usai gilirannhya, saya pula mengambil tempat dan saya juga percaya bahawa pembentangannya saya tidak akan lengkap jika saya tidak menunjukkan contoh pantun, syair, seloka dan teromba. Untuk melagukannya, saya perlu berdiri. Bersyair di belakang mikrofon meja sambil duduk, tidak akan mengeluarkan suara saya dengan baik.

Jadi, saya pun berdiri mengambil tempat dan berdoa dalam hati agar suara yang tidaklah semerdu mana ini diizinkan Tuhan supaya dapat melagukan syair dan seloka sebaik mungkin. Inilah peluang saya untuk menunjukkan kepada masyarakat dunia (ada juga wakil ahli akademik dari luar Asia) bahawa inilah khazanah Melayu yang wajar dikawal alirannya supaya tidak diambil pergi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

(Gambar selepas pembentangan : dari kanan Dr. Ida Madieha, Dr. Zaitun Hamim (UiTM), Nisah, wakil Indonesia, Prof. Madya Noor Aziah, Norila Abu Hassan dan wakil Indonesia)

Alhamdulillah, ramai yang boleh menikmati Syair Perahu (Hamzah Fansuri) dan Seloka Emak Si Randang. Ada yang pertama kali mendengarnya (walaupun orang Melayu Malaysia). Saya merupakan satu-satunya pembentang yang 'menyanyi'. Sedikit sebanyak mencuri perhatian dalam kumpulan kecil itu.

Seperti kata pembentang terakhir, "After all that performance, she has taken all the limelights, and I have nothing more to say."

Namun, masih banyak yang saya perlu pelajari. Bukan setakat bersyair, bergurindam ataupun berseloka. Inilah kali pertama saya membentangkan kertas kerja di luar negara. Terimbau kenangan sewaktu menjadi pendebat universiti yang membolehkan saya ke Nanyang Techonological University, Singapura, De La Salle University, Filipina dan Monash University, Australia 10 tahun yang lalu.

Bertemu dengan pelbagai peserta daripada pelbagai bangsa memberi banyak pengalaman baru dan menarik. Namun, sesekali menghairankan juga bagi sesetengah wakil Malaysia yang sudah bertaraf Profesor tetapi masih gagal bergaul dengan baik. Masih duduk sesama sendiri dan berbual berdua (walaupun berasal dari universiti yang sama). Tidak mengambil peluang berkenalan dengan rakan sejawat dari pelbagai negara, seolah-olah tidak punyai keyakinan diri. Rugi rasanya kalau dah keluar negara tetapi masih lagi segan hendak 'bermasyarakat' dalam kumpulan ahli akademik yang kaya pengalaman ini.
(Bergambar kenangan selepas majlis dengan Dr. Khaw Lake Tee, Dekan Fakulti Undang-undang Unversiti Malaya yang juga telah mempengerusikan sesi pembentangan saya. Beliau penulis buku teks "Copyright Law in Malaysia".

Ulasan

Catatan Popular