Catatan dari Kota Kinabalu

Asmiaty yang sarat menunggu hari kelahiran anak keempatnya masih lagi sanggup membawa saya berjalan-jalan ke 'Pasar Filipina'. Suaminya setia memandu kami seusai sarapan di rumahnya.
Gambar : Kedai cenderamata di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu

Perjalanan dari rumahnya di sekitar Likas ke Pusat Bandar membolehkan saya melihat pemandangan Pulau Gaya dan Manukan di sebelah kanan, apabila jalan raya menyusur pantai diambil. Khabarnya, untuk membina jalan ini, laut ditambak. Dengan itu di sebelah kiri saya ada semacam sungai/muara/air bertakung akibat tambakan tersebut.

Masa yang singkat untuk membeli belah itu saya hadkan kepada membeli satu dua cenderamata untuk dibawa pulang ke rumah. Andainya ada masa yang lebih panjang, Asmiaty mahu sahaja membawa saya ke tempat-tempat lain. Namun, saya harus berada sekitar tengah hari di DBP Sabah bagi meneruskan perjalanan ke Tenom.

Sewaktu Asmiaty singgah di pasar basah, saya juga tidak melepaskan peluang mengikutinya. Begitulah saya selalunya kalau di tempat orang. Pasar ialah tempat mahu melihat gelagat rakyat biasa. Di situlah juga tempat membeli barang yang orang biasanya juga membelinya. Walaupun hanya singgah sepintas lalu dan sempat membeli satu dua barang, singgahan itu tetap punya makna tersendiri.

Kami makan tengah hari di DBP Sabah. Di sana saya bertemu dengan beberapa pegawai dari DBP KL juga. Rencananya, pemandu akan mengambil saya di DBP sekitar jam 2.00 petang, kemudian langsung ke lapangan terbang mengambil Faisal Tehrani dan dua lagi pensyarah Institut Perguruan Bahasa KL. Asmiaty dan suaminya meninggalkan saya di situ untuk meneruskan urusan keluarga dan anak-anak. Kami berpisah di situ.

Tetapi itu hanya rencana. Berlaku sedikit masalah komunikasi yang menyebabkan saya terpaksa menunggu lebih 2 jam di DBP dan sahabat-sahabat di lapangan terbang turut tersadai di sana setelah mendarat sekitar jam 2.30 petang.

Pelbagai perkara sudah saya lakukan ketika di DBP Sabah termasuklah membeli buku di karnival jualan buku di stor DBPnya, berbual dengan pegawai-pegawainya, menghabiskan 2 buah novel, makan kuih cincin yang saya beli di pasar paginya, dan mengambil gambar-gambar di sekitar bangunan ini.

Rupa-rupanya berlaku perubahan yang di luar kawalan.

Pemandu (yang kemudiannya kami panggil Abang Sulaiman) mendapati tayar Pajero DBP itu nampak seperti kurang selamat dan lekas-lekas dia ke bengkel untuk menukarnya. Proses itu telah memakan waktu yang agak panjang. Tanpa berlengah dia terus mengambil mereka yang di lapangan terbang dan kemudiannya mengambil saya.

Langsung bermulalah perjalanan saya ke Tenom.

Ulasan

Catatan Popular