Perjalanan melintasi gunung-ganang 2

Apologi kepada pengunjung. Blog ini tidak dapat dikemaskini atas sebab-sebab teknikal.
-Nisah Haron, 8 Ogos 2006

Setelah kena kopi tenom di puncak Gunung Mas, kami pun mula turun ke kaki bukit. Tiada apa-apa yang dapat digambarkan secara visual mengenai perjalanan tersebut. Apatah lagi sudah masuk maghrib. Bukit-bukau dan gunung-ganang di sekeliling jadi gelap. Menurut pemandu, perjalanan seterusnya akan menempuhi pekan Tambunan, Keningau dan akhirnya Tenom.

Tiada apa-apa yang wajar dilaporkan tentang perjalanan tersebut kecuali seorang daripada ahli kumpulan kecil kami 'mabuk gunung' dan tidak selesa di sepanjang perjalanan.

Pagi, di Tenom. Suria pagi menyapa sebaik-baik sahaja saya buka jendela Hotel Perkasa. Fenomena matahari terbit memang sentiasa menyihir saya. Kali ini munculnya di sebalik gunung.


Kedudukan Hotel Perkasa, Tenom di atas puncak bukit pula memungkinkan saya menjamah pandangan pekan Tenom sepuas-puasnya.

Pemandangan pekan Tenom dari kamar Hotel Perkasa

Lihat sahajalah kabus yang masih menyelimuti gunung. Pekan Tenom tenang seperti paginya. Usai sarapan, kami dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tenom yang terletak kira-kira 10 - 15 minit perjalanan. Ia seperti sekolah biasa. Khabarnya, sekolah bestari - punya alat kelengkapan seperti komputer, internet, multimedia dan sebagainya.

Para pelajar yang dipilih untuk ceramah KOMSAS ini sangat baik. Saya pernah beri ceramah kepada sekumpulan pelajar sekitar 200 orang. Agak sukar 'bersilat' di hadapan mereka, apatah lagi untuk menarik perhatian. Tetapi kumpulan ini sangat patuh dan mempunyai tahap disiplin yang sangat baik walaupun jumlahnya mencecah 300 orang.

Selesai ceramah, kami dihidangkan dengan minum pagi. Sebagai orang luar, tentunya saya mencari makanan tempatan yang istimewa. Ya, saya temukan sesuatu yang ada kelainan. Kami dihidangkan wajik berbungkus dalam daun lirik. Rasanya manis seperti wajik biasa.


Di bawah, gambar close-up isinya.


Kemesraan para guru, termasuk Pengetuanya membuat saya merasa terharu. Apatah lagi, apabila 'diserbu' hampir seluruh dewan meminta autograf penulis. Tak menang tangan melayani kerenah mereka. Namun, saya cuba untuk tidak menghampakan. Saya juga pernah berada di tempat mereka pada suatu masa dahulu...

Baca juga tulisan tentang lawatan di SMK Tenom di Blog Faisal.

Ulasan

Jong berkata…
salam,
terkenang-kenang sambal yang pedas itu, dan wajik yang manis lemak itu dan tentu, abu bakar elah serta karaoke lagu kadazan dusun, bili-bili doi yang aduhhhhhh.....

Catatan Popular