Mengikut Selera Ramai

Saya tertarik dengan satu daripada entri Puan Ainon di Unika PTSnya. Beliau ada menulis tentang "Tema Cinta 1.0 yang Sudah Basi". Betapa saya sangat setuju.

Demikian juga dengan The Naked Climatologist yang menulis dengan sarkastik tentang isu novel-novel cinta murahan tetapi mempunyai nama watak yang canggih dan kulit buku yang amat memujuk lagi menawan.

Tema yang disebut Puan Ainon itu jugalah yang dinamakan sebagai tema-tema klise. Yang sudah ditulis orang sejak dahulu kala. Ada seorang hamba Allah yang memberi respon - kalau tulis tentang cinta itu tak boleh, cinta ini tak boleh, sudahnya nak tulis tentang apa? Cinta lesbian? Cinta gay?

Hmm... nampaknya pembaca tersebut tidak mendapat pencerahan ilmu. Tak mengapa. Tak salah bertanya.

Hakikatnya, semua tema yang ada dalam dunia ini sudah ditulis. Jadi tidak akan wujud tema baru sampai bila-bila pun. Apatah lagi tema cinta yang klise seperti yang dinamakan sebagai Cinta 1.0. Salahkah menulis tentang cinta? Tentu sahaja tidak. Malah cinta dan kasih sayanglah yang akan melahirkan generasi yang kukuh.

Hal ini berbeza dalam penulisan. Yang menjadikan penulisan bertemakan Cinta 1.0 ini gagal ialah kerana pembinaan watak yang sangat lemah. Ini sudah banyak kali terbukti dalam banyak novel yang bersifat demikian. Kemudian, yang kononnya hendak menulis novel cinta pula membaca novel-novel 1.0 ini dan akhirnya dengan penuh stereotaip, menghasilkan produk yang serupa.

Tidak ada sebarang pembaharuan.

Perwatakan yang kukuh akan menghasilkan karya yang berkesan. Sesebuah cerita yang baik boleh menjadi evergreen kerana watak - perwatakan yang mantap.

Kata kuncinya - watak yang bersifat memorable.

Saya selalu beri 'pop kuiz' dalam ceramah-ceramah sastera / penulisan di mana-mana. Soalan utama yang diberikan ialah berikan judul novel dan nama pengarangnya. Bahagian ini juga selalunya mereka gagal. Itu belum tanya lagi tentang watak yang paling diingati dan mengapa.

Apa sebab mereka tak boleh ingat judul dan nama pengarang? Satu mungkin dia mempunyai kapasiti memori yang sangat rendah. Tapi takkan semuanya begitu. Yang kedua, dalam kes banyak membaca novel-novel cinta yang ghairah dan penuh emosi ialah tidak ada watak yang wajar diingati (no character worth remembering). Penulisnya tidak memberikan alasan mengapa watak ini ialah watak evergreen yang boleh dijadikan panduan, role model yang langsung boleh dikaitkan dengan judul dan akhirnya pengarang.

Pembaca yang baik, pasti mengingati salah satu judul ataupun pengarang kepada buku-buku yang baik.

Jadi, kepada penulis / bakal penulis yang mahu kononnya mahu mengikut selera ramai - trend and kemahuan pembaca semasa, ya, tidak mustahil anda boleh buat duit dengan cara begini. Tetapi, sebagai penulis, jangkahayat jadi pendek.

Tenggelamnya Kapal Van Der Vick tulisan Hamka juga sebuah kisah cinta, tetapi lihat bagaimana pembinaan watak dan jalan cerita yang sangat memorable. Siapa yang tidak terkesan selepas membacanya? Dan buku ini tidak bersifat sezaman walaupun penulisnya memilih satu zaman yang khusus bagi menyampaikan wacananya. Kisahnya sangat relevan dan boleh diaplikasi dari zaman dahulu hinggalah zaman hadapan.

Adakah Hamka kaya raya dengan karya-karyanya?

Contoh lain : 1515 (Faisal Tehrani) - watak : Nyemah Mulya
(Dalam satu wawancara di Negeri.fm, ada seorang hamba Allah yang bertanya di manakah makam Nyemah Mulya di Melaka)

Sebab itu dari dahulu saya telah menulis tentang 'mahu jadi pengarang bunga api ataupun pengarang lilin'.

Tapi ramai yang 'marah-marah' apabila saya menulis entri itu dulu.

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan Nisah,

Saya sangat setuju dengan ujian yang Puan berikan dalam sesi bengkel-bengkel Puan, iaitu apakah peserta dapat mengingat nama watak dalam novel yang dibacanya. Konsep watak yang 'memorable' itu mudah difahami!

Betullah seperti kata Puan itu, kalau pembaca tidak ingat nama watak, maka sahlah bahawa perwatakan dalam novel itu lemah sekali. Sebagai contoh, sesiapa yang membaca 'Salah Asuhan' tentu ingat Hanafi dan Corrie.

Dalam isu tema basi yang saya sebutkan itu, Puan, bukan hanya temanya basi, watak-wataknya pun basi, malah ayat-ayat dalam novel cinta 1.0 itu pun basi. Ayat-ayat Fauziah Ashaari dan Norhayati Berahim juga terdapat dalam novel pengarang-pengarang lain.

Inilah faktor yang menyebabkan pasaran novel cinta 1.0 jatuh merudum sekarang.
Tanpa Nama berkata…
Sdr Nisah,

Benar juga halnya dengan produksi drama/filem Melayu. "Watak" lemah dan membosankan, tiada "keistimewaan fiksyen" seolah seperti satu dokumentari. Saya baru tadi selesai baca buku Nicholas Sparks - A Walk To Remember, kisah cinta biasa saja tetapi wataknya hidup, selepas baca baru tau cerita tersebut juga telah difilemkan.

Faktor kurang hidup watak dalam karya ini saya kira kerana tekanan dan pengaruh mengejar wang dan glamor (tengok kulit saja sudah teruja).
Nisah Haji Haron berkata…
Puan Ainon,
Dah 'berbuih' saya menulis tentang hal ini. Tetapi saya tetap dilabel sebagai 'penulis tahap dewa' yang sentiasa 'ujub, riak & takabbur' kerana mengangkat karya sastera berbanding karya popular. Kekuatan wataklah yang membina karya. Contoh: Novel "Salina" oleh A. Samad Said, sekadar kisah pelacur bawahan, tetapi yang hendak diangkat bukanlah kisah pelacuran itu. Malah tiada babak Salina sedang menjalankan 'kerjanya' pun dalam novel itu. Tetapi watak Salina itu dibina dengan begitu baik sehingga dapat mendokong kekuatan novel tersebut.

Sdr Rastom,
Ya, Nicholas Spark jauh lebih baik daripada penulis-penulis 'romance' yang lain seperti Judith McNaught, Nora Roberts dan yang seangkatan dengannya. Novel Nicholas Sparks jauh lebih nipis berbanding penulis wanita tersebut. Namun kesannya jauh lebih mendalam. Cuba juga baca Nights in Rodanthe, The Notebook, Message in the Bottle.

Adakah penulis novel-novel cinta 1.0 kita pernah membaca dan mengambil iktibar daripadanya?
Tanpa Nama berkata…
Puan Nisah,
saya peminat entri tu. tak terasa pula puan ada menabur pasir dlm periuk org lain.

Puan Ainon,
jgnlah sebut jatuh merudum. macam doalah pulak. nanti org marah.
Tanpa Nama berkata…
Salam Sis,

Mengambil contoh dari jagat filem Malaysia-Ramai penonton ingat watak P.Ramlee sebagai Hang Tuah (filem arahan Phani Majumdar). Tapi siapa yang ingat Jamal Abdillah juga pernah jadi Hang Tuah dalam satu filem ni? Kehidupan siswa-kampus di layar perak misalnya; siapa boleh lupa Ali Setan? Kata seorang 'sarjana filem', dia juga mahu menjadikan sebuah filemnya tentang 'kuliah' as memorable as Ali Setan. Ya, filem itu pecah panggung cuma cerita dan watak-wataknya tak melekat langsung dalam kepala.

Karya sastera/seni yang baik dan teruji ialah yang watak-wataknya bila disebut dengan nama pertama saja, orang (yang membacalah) boleh terus cam malah terus bersebati dalam diri.

-Rai (Yang Belum Memiliki Blog)-
Imran Yusuf berkata…
Assalamu'alaikum Puan Nisah, tuan-tuan dan puan-puan,

"Sesungguhnya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa tujuan."

Begitulah juga bila menulis novel-novel cinta ini.

Seperti kata Pak Rastom, tujuan utama novel popular ini ialah komersil (menjana fulus sesegera mungkin), nilai sastera, kekuatan watak, keindahan bahasa jatuh nombor dua di dalam senarai prioriti...
Tanpa Nama berkata…
Novel-novel begini juga dibina dengan gaya bahasa yang 'datar-datar'. Selanjar saja. Kadang-kadang tu, dalam 3-4 perenggan -- langsung tak ada ayat pasif. Semuanya ayat aktif!

Yang ditekankan hanya pemilihan diksi yang melampaui tahap munasabah dari segi romantik dan puistisnya. Itu pun, pi mai pi mai tang tu juga.

Itu yang membimbangkan saya. Novel-novel begini digilai ramai (termasuk siswa-siswi universiti). Tapi selain daripada 'pengisiannya' yang boleh diragui -- penyampaiannya pun tak cukup kuat untuk membantu meningkatkan penguasaan komunikasi idea. Ia tidak mendidik pembaca menggunakan ragam ayat yang pelbagai (supaya bujukan lebih tinggi) dan tidak pula mendedahkan kekayaan perbendaharaan kata Bahasa Melayu (supaya daya ekspresi idea lebih jitu dan tepat).

Sebab itu agaknya kenapa siswa-siswi universiti sekarang SANGAT LEMAH dalam penulisan. Daya komunikasi idea langsung tak efektif. Mana nak efektif - tak habis-habis dengan satu ragam/bentuk ayat yang membosankan!

Mungkin ini semua adalah sebahagian dari warisan dan gejala terlalu banyak membaca novel pop (spt. Gigolo, Gundik, etc) dan majalah pop (seperti Mangga, Mastika, URTV, etc). Baca tak apa. Kekadang kalau saya nampak majalah begini pun, saya baca juga. Tapi kalau dah taksub dengan bahan-bahan begini sampai dah jadi macam makanan ruji -- itu yang jadi masalah.
Nisah Haji Haron berkata…
Rem,
Saya juga sangat percaya kepada falsafah "you are what you read". Sementara dalam konteks penulis "a writer is what he/she reads".

Jadi, tidak mustahillah jika siswa/i hari ini mempunyai sikap yang sama seperti novel/bahan bacaan yang diuliti. Saya sungguh percaya bahawa untuk menjadi penulis yang baik, kita perlu membaca lagi mencerna bahan-bahan yang baik.

Benar, tak salah membaca sesuatu yang ringan. Tapi, bacalah dengan kritis.

Catatan Popular