Sesi Bersama-sama Pengarang
Atas permintaan pihak Utusan Publications & Distributors, saya penuhi undangan mereka untuk sesi bersama-sama pengarang semalam. Itupun, saya tidak dimaklumkan lebih awal hanya pada 30 April baru saya mendapat pengesahan. Jadi, tidak dapat hendak memaklumkan kepada ramai teman lebih awal. Hanya sesiapa yang sempat saya kirimkan e-mel sahaja yang mungkin tahu. Pun, ramai yang tidak bekerja semalam (memandangkan ramai juga yang menyemak e-mel dari tempat kerja, saya fikir).
Pun, Utusan sudah terlalu lewat mengundang saya untuk sesi bersama-sama pengarang pada tahun ini kerana kebanyakan pembaca saya sudah pun membeli Mencari Locus Standi. Saya turut membawa buku-buku saya yang lain seperti Impian Tsu-Ryi, Farris Putera Yang Hilang dan Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus. (Tentunya saya lebih banyak menjual buku-buku ini daripada Locus Standi sendiri.) Utusan sepatutnya mengundang saya sewaktu buku ini mula-mula dilancarkan dahulu. Cuma kesempatan untuk bersama-sama pembaca Utusan ini hanyalah untuk memperkenalkan diri kepada pembaca.
Pesta Buku sememangnya dibanjiri pengunjung pada hari cuti. Seperti biasa, saya akan sampai seawal 9.30 pagi supaya mudah meletak kenderaan. Oleh sebab sesi saya akan bermula sekitar jam 12 tengah hari, saya ambil kesempatan untuk membuat 'rondaan kedua' di Pesta Buku ini.
Alhamdulillah, banyak juga buku-buku yang saya terlepas pandang pada singgahan pertama dahulu. Termasuklah, membeli buku untuk bacaan anak-anak yang dijual dengan harga diskaun di gerai Penguin. Saya kira itu sahaja pembelian buku kanak-kanak yang agak berbaloi kerana di gerai-gerai yang lain, kebanyakannya menjual buku-buku peperiksaan dan buku-buku lambak. Senario itu boleh sahaja dilihat di kedai-kedai buku biasa sewaktu bukan Pesta Buku.
Inilah antara alasan saya mengelak banyak gerai di Pesta Buku kerana saya mencari buku yang sukar saya peroleh di Seremban ataupun di kedai-kedai buku biasa di Kuala Lumpur. Saya bukannya selalu dapat ke MPH Kuala Lumpur ataupun Borders, jadi kesempatan apabila penerbit-penerbit ini berhimpun di bawah satu bumbung tidak wajar dilepaskan.
Jika rumah saya dekat dengan PWTC, tentu sahaja saya akan ke sana hampir setiap hari. Sememangnya kalau ada kesempatan lagi sebelum pesta berakhir pada 6 Mei ini saya mahu sahaja membuat 'rondaan ketiga'. Namun, saya harus membuat persediaan untuk ke Pantai Timur pada hujung minggu ini.
Ulasan