MPR

Mulai Ahad lepas, saya dan 'si kecil' sibuk di DBP, sama-sama menjadi fasilitator untuk Minggu Penulis Remaja 2007 (MPR). Memang mencabar menjadi fasilitator, penceramah dan juga meladeni anak kecil yang cukup kerap menyusu. Apatah lagi, si kecil enggan didukung orang lain selain saya.

Untuk itu, aktiviti ini amat meletihkan. Pun, saya gagahkan juga demi mahu melihat adanya generasi pelapis yang bakal menjadi sasterawan kelak. Saya gagahkan juga membawa buku-buku untuk dijual dan dikongsi dengan mereka kerana saya tahu sukarnya untuk mendapatkan buku-buku yang baik (hatta di kedai koperasi DBP juga). Walaupun getir dan memang menyukarkan, saya lalui juga.

Mujur juga sewaktu berceramah tentang hak cipta dan etika penerbitan, kebetulan suami saya singgah di Kuala Lumpur (pada masa lain, dia harus berada di rumah untuk memantau 3 orang anak kami yang lain), dan dapatlah dia membawa si kecil 'pusing-pusing' Kuala Lumpur sementara saya habiskan sesi ceramah. Terima kasih, Sayang !

Masih ada 2 hari berbaki.

Sabtu nanti baru boleh melepas rindu pada anak-anak lain di rumah.

Saya tidak mengharapkan pengorbanan kecil ini ada balasannya untuk diri saya. Tetapi, saya benar-benar berharap adik-adik MPR kali ini tidak akan mensia-siakan pengorbanan semua fasi dan penceramah yang meninggalkan keluarga demi MPR dan kelangsungan dunia sastera Melayu!

Ulasan

hani salwah yaakup berkata…
Terharu mendengar pengorbanan itu...Apa-apa pun terima kasih Kak Nisah!
Tanpa Nama berkata…
InsyaAllah, kami tidak akan mensia-siakan pengorbanan para fasi, khususnya Kak Nisah yang telah begitu bersusah payah datang dengan si kecil.

Doakan supaya kami diberi kekuatan untuk terus menulis. ;-)

Salam,
Aidil Khalid
Shafiq Azli berkata…
makasih kak nisah atas pengorbananmu.....
SHAFIQ MPR 2007

Catatan Popular