CSRO di tangan Dr. Anwar Ridhwan
(Apresiasi Kumpulan Cerpen Nisah Haji Haron, 2006, Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, Seremban: Ujana Ilmu Enterprise, 243 halaman)
Membaca karya penulis angkatan baharu ini, termasuk daripada Nisah Haji Haron, memerlukan response pembaca yang lebih peka. Lebih peka untuk menyelami dan memahami norma yang tergambar daripada teks, memahami kenteks evolusi ilmu dan mengaitkannya dengan situasi terkini, sehingga dapat mengapungkan kesan dan pesan yang dibawa oleh teks tersebut - seperti yang pernah diperkatakan oleh Wolfgang. [Iser, Wolfgang, 1978. The Art of Reading : A Theory of Aesthetic Response. New Haven: Yale University Press].
Ini juga bererti bahawa pembaca harus peka terhadap sumber cerita, teknik yang lebih kompleks - umpamanya dengan mewujudkan brikolaj atau mentransformasikan sesuatu kepada suatu bentuk komposisi yang memberi citra serta tanggapan kreatif yang baharu, imejan dan berlapis-lapis, konsep kala yang lebih niskala, serta mesej yang lebih membenam di dasar teks. Inilah antara yang terpancar dalam CSRO.
Cerpen "Persidangan Agung Wanita Klasik" dan beberapa cerpen lain memaparkan dimensi feminisme yang lebih segar dan berpaksi pada pegangan tauhid. Ia tidak berbicara sebagaimana feminis radikal seperti Millet, Beechay dan Rowbotham. Ia tidak berbicara sebagaimana feminis Marxist seperti Hartmann, yang selalu melihat wanita sebagai mangsa yang ditundukkan oleh kuasa patriarki dan ciri organisasi kapitalisme yang mementingkan produk. Sebaliknya ia merunut sejarah wanita-wanita agung dalam Islam, untuk dijadikan panduan :"Jika Khadijah mampu memiliki penghormatan Junjungan Besar, dan Fatimah Az-Zahra dicintai sepenuhnya oleh Ali kerana Tuhannya, maka seharusnya kudup-kudup bunga zaman ini dihiasi pekerti Aisyah kerana atas dasar inilah mereka diletakkan pada persada penghormatan tertinggi." (penghujung cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik).Nisah tampaknya tidak tertarik dengan konsep feminisme bikinan barat, seperti yang selalu didendangkan oleh Elaine Showwalter. Melalui cerpen ini beliau seakan menyarankan suatu penolehan kembali ke arah nilai yang telah ditentukan oleh Islam untuk golongan wanita, yang faham dan mengamalkan konsep tahzibul akhlak, mawaddah fil-qubra dan mawaddah warrahmah.
Cerpen ini adalah sebuah 'wacana balas' tekstual yang tersendiri - daripada seorang remaja Amerika Syarikat kepada pemimpin tertingginya. Di luar teksnya, ia adalah suara 'mereka' (other) yang pernah sampai ke gegendang telinga Rumah Putih, tetapi tidak (akan) didengar apa lagi dituruti. Sebab itu, Rebecca mengalami nasib tragisnya dalam perjalanan mencari dan membina kemanusiaan sejagat.Dr. Anwar juga mengesani perubahan ketara yang menjadi percubaan saya dalam mencari kelainan dalam berkarya lewat cerpen "Citra Mukhlisah".
Terdapat dua buah cerpen, yang agak terkeluar daripada ranah intertekstual dan pengalaman kerjaya Nisah. Pertama, cerpen "Citra Mukhlisah". Ia seperti bertolak daripada acuan pembentukan anak yang soleh dan solehah (yang mengingatkan kita, puncaknya diduduki oleh tokoh-tokoh wanita mulia dalam cerpen "Persidangan Agung Wanita Klasik"). Hubungan anak-ibu, dalam "Citra Mukhlisah" diserasikan dengan imej alam aura fajar yang melukiskan warna tenang, damai, harmonis dan seimbang."Cabaran untuk menjadi anak yang paling bermakna dan dalam
masa yang sama menyempurnakan seruan daripada pertiwi sudah boleh diatasinya. Tidak ada kusut yang tidak selesai."
Cerpen terakhir dalam pembicaraan ini "Resipi Dari Istana", barangkali mengolah rasa marah, jengkel dan mual Nisah terhadap sebuah organisasi. Cerpen ini menyamarkan cerita sebenar dengan memasukkan beberapa simbol dan metafora. Organisasi tersebut, dalam satu peristiwa, menurunkan nilai tinggi organisasi ke tahap nilai rendah. Kalau istilah kritikan sastera dan budaya hendak digunakan, organisasi tersebut menurunkan 'modernisme tinggi' ke lembah 'kitch'. Cerpen ini lebih mengolah perasaan marah-marah daripada mengolahnya sebagai sebuah karya yang kompleks. Barangkali Nisah ingin menyesuaikan konsep 'kitch' itu sendiri. Sekali-sekala, ada penulis yang lebih terdorong untuk mengubah kritikan keras menjadi sebuah karya kreatif, atau menjadikan karya kreatif sebagai wadah kritikan yang keras.
Ulasan
Segak sungguh moderatornya.
:-)