Hadiah Hari Lahir 2008

Entri terima kasih untuk semua ucapan hari lahir saya pada tahun ini agak lewat dikemaskini. Selepas Pesta Buku yang lalu, banyak perkara berlaku yang menyebabkan saya agak hilang tumpuan untuk menulis apatah lagi untuk mengemaskini blog ini.

Pun, saya menghargai setiap kunjungan dan komen yang ditinggalkan sama ada pada setiap hujung entri ataupun pada CBox yang disediakan di bahagian bawah blog ini.

Antara sebab yang mungkin menyebabkan saya lewat mengemaskini - mungkin kerana saya 'mabuk buku' - banyak sekali buku-buku dari Pesta Buku yang lalu yang mendapat perhatian saya. Seperti biasa, saya ni 'tamak' ketika membaca. Maka bersusun-susunlah buku yang telah saya mulakan pembacaannya di kamar tidur - hinggakan tinggi lagi buku daripada bantal.

Untuk hari lahir yang lalu, selain menerima ucapan selamat melalui SMS, emel dan juga pesanan-pesanan yang ditinggalkan di blog ini, saya harus merakamkan penghargaan kepada mereka yang menghadiahkan saya buku-buku berikut:

Bahagia sekali apabila menerima buku-buku tersebut sebagai hadiah hari lahir. Apatah lagi buku-buku tersebut belum lagi berada di dalam koleksi saya sebelum ini.
  • Brida (Paulo Coelho)
  • Pengembaraan Ibnu Batuttah
  • 68 Soneta Pohon Ginkgo (saya hadiahkan buku ini kepada diri sendiri - apatah lagi buku ini ada bertandatangan Pak Samad)
  • Dua buku kecil di bahagian hadapan itu ialah buku nota yang dibuat sendiri (handmade) oleh Emila Yusof berserta dengan kad yang dihiasi lukisannya sendiri.
(Terima kasih Emila, kerana sudi menghantar hadiah ini melalui Pos Laju! Saya sungguh-sungguh tak sangka akan menerima bingkisan itu.)

Pada hari lahir yang lalu juga, saya tidak berapa 'rajin' hendak membancuh kek sendiri. Jadi, saya berunding dengan anak-anak - mama tak ada mood untuk buat kek kali ini. Sebagai gantinya, saya sekeluarga makan-makan di luar. Belikan masing-masing sticker gambar kartun yang sedang menjadi kegilaan mereka. (Maklumlah anak-anak perempuan, tentunya gila sticker).

Itu sahaja sudah membuatkan mereka berpuas hati. Si kecil pun sama-sama seronok . Malah itu yang lebih penting. Berkongsi masa yang berkualiti bersama-sama mereka. Sesuatu yang boleh dikenang, insya-Allah.

Selebihnya, masa untuk bermuhasabah setelah hidup lebih tiga dekad, saya harus memikirkan kembali sejauh manakah pencapaian diri dan sejauh mana lagi yang harus digapai. Di mana kita bermula dalam hidup ini tidak menjadi soal, yang penting ialah di perhentian mana kita sampai akhirnya.

Terima kasih semua.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Puan, Selamat Ulang Tahun. Mohon kebenaran utk saya 'link' kan blog puan di blog saya. Terima kasih.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan Nisah,

Selamat Hari Lahir!
Tanpa Nama berkata…
Puan Nisah,

Happy belated birthday.

Semoga Allah merahmati.

Catatan Popular