Apabila Ilmu Tidak Dirakyatkan
Membaca entri Puan Ainon di Unika tentang pensyarah yang tidak dapat sebarang kredit jika menulis buku untuk bacaan umum, mengingatkan saya tentang gagasan ilmu mestilah dirakyatkan.
Ya, barangkali ada pihak yang kepentingan membuat keputusan demikian. Manalah kita tahu, sedangkan sebagai rakyat, banyak perkara yang harus dirahsiakan daripada pengetahuan kita semua.
Akhir sekali, yang rugi tentulah bangsa kita sendiri.
Saya pernah menyuarakan hal yang hampir-hampir sama ketika mendaftarkan diri dan mendengar taklimat sewaktu hendak mengambil Sarjana Undang-undang tidak lama dahulu. Saya persoalkan kepada para profesor yang ada di hadapan calon sarjana: apa gunanya tesis yang ditulis jika maklumat, data dan analisis yang telah siap ditulis itu sekadar memenuhi kehendak panel penilai yang mahu memberi A, B atau C untuk tesis tersebut; sedangkan ilmu tersebut (tentunya bukan milik penulis tesis) wajar dikongsi terutamanya kepada orang ramai.
Jika tidak sampai bila pun ilmu itu hanya tersimpan di dalam tesis, ataupun jurnal yang sifatnya elitis sifatnya.
Hari ini, ramai sekali sarjana yang hebat-hebat belaka. Tetapi berapa ramaikah antara mereka yang mampu memudahkan ilmu yang mereka peroleh untuk dimanfaatkan oleh orang yang tidak terdidik di dalam disiplin yang mereka gulati itu.
Usaha kecil saya hanya setakat memudahkan ilmu undang-undang (khususnya perwarisan & harta pusaka) dalam Mencari Locus Standi dan juga (undang-undang hak cipta) dalam Karya Kita Hak Kita.
Gagasan yang sedemikian juga saya masukkan sebagai penggerak kepada novel Tawarikh Cinta. Usah terpukau dengan judulnya yang ada perkataan 'cinta' itu. Tawarikh Cinta ialah nukilan saya yang memprotes akan hal ilmu yang gagal dirakyatkan. Natijahnya, sebuah tamadun boleh lupus lenyap dan tidak mungkin bangkit-bangkit lagi!
.
.
.
Ulasan
Untuk mencapai taraf RU, semua pensyarah dan pegawai disarankan menulis hatta untuk bacaan umum sekalipun, kerana setiap penulisan akan mendapat kredit kepada individu dan universiti.
Pn Ainon patut mengesahkan kenyataan itu terlebih dahulu kepada Pensyarah sebenar seperti Dr. Ummi Kalthum Ngah, yang juga menulis untuk PTS.