Membaca itu suatu Festival?

Atas permintaan pihak Perpustakaan Negara Malaysia dan juga Utusan Publications, saya hadirkan diri bagi memeriahkan suasana Festival Membaca 2008. Pada mulanya bimbang juga kerana waktu yang diperuntukkan agak panjang iaitu mulai jam 10 pagi hingga 6 petang (2 Julai 2008).

Alhamdulillah, bertemankan Sri Rahayu Mohd Yusop (Pemenang tempat pertama Novel Remaja HSKU - Warisnya Kalbu), tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Turut sama sewaktu sesi autograf bersama-sama penulis ialah Sdr Abdul Latip Talib dan Sdr Kusyi Hirdan (kedua-duanya mewakili PTS).

Saya agak skeptikal pada mulanya tentang majlis begini. Apatah lagi, ini bukannya Pesta Buku. Saya fikir, agak susah untuk mendapatkan audiens/khalayak (walaupun 'audiens paksa') untuk hadir ke majlis ini. Tetapi jangkaan saya itu agak jauh tersasar kerana 2 Julai merupakan hari pertama dan juga hari perasmian Festival Membaca oleh DYMM Raja Permaisuri Agong.

Saya duduk bersebelahan dengan Sri Rahayu sewaktu sesi tandatangan ini dan banyak juga yang sempat kami bualkan. Inilah kali pertama kami dapat duduk bersama-sama dalam tempoh yang panjang - sebelum ini hanya sempat bertegur sapa dalam majlis-majlis sastera ataupun sewaktu majlis penyampaian HSKU.

Pada awal majlis, dalam kepala kami rupa-rupanya sama - kebetulan kami berdua pernah membaca buku autobiografi The Other Side of Me (Sydney Sheldon). Kata Ayu, "Entah-entah, tak ada orang pun yang nak autograf kita. Macam Sydney Sheldon sewaktu pertama kali buat appearance. Sydney Sheldon tengok je penulis kat sebelah tu dengan peminatnya yang beratur panjang. Sedangkan tak ada orang pun yang minta autograf di meja dia."

Kami sama-sama ketawa, membayangkan begitulah agaknya nasib kami hari itu!

Namun, kehadiran pengunjung dan 'peminat' tidaklah mengecewakan. Pada waktu-waktu tertentu sibuk juga melayan pengunjung. Apatah lagi, buku-buku "Tawarikh Cinta" dan "Warisnya Kalbu" masih belum masuk kedai buku secara rasmi. Oleh itu, masih ada tarikan kepada pengunjung.

Tidak kurang juga pengunjung-pengunjung kecil yang saya panggil "the autograph seeker' - adik-adik pelajar yang suka hendak mengumpul tandatangan pengarang. Kami layan sahaja kerenah mereka. Yang penting mereka seronok berada di Festival Membaca.

Sokongan daripada pihak UPND sendiri tidak kurang kali ini. Pengurus Pemasaran, Encik Khoo dan juga Pengarah Eksekutif UPND, Cik Roselina Johari turut berada di sekitar kawasan kami. Oleh sebab majlis ini bertindan dengan Persidangan Buku Kanak-Kanak dan Remaja, mungkin kerana itu kehadiran pengunjung agak ramai. Turut hadir, Sdr Rozlan, editor Tintarona yang sempat mengambil gambar saya.

Terima kasih pihak Utusan Publications! Harap-harap buku-buku HSKU 2007 akan segera masuk ke kedai, ya. Sudah ramai yang bertanya.


Gambar ihsan : Rozlan Mohd Noor

***

Sewaktu berhenti rehat untuk solat dan merarau, saya singgah juga di gerai-gerai lain. PNM sendiri menunjukkan contoh perpustakaan keluarga untuk rumah kampung dan rumah teres. Saya lebih tertarik dengan susun atur di rumah kampung (lihat gambar Teratak Damai di atas).

Dengan susunan yang dicadangkan, saya percaya walau apa sekalipun bentuk rumah kita, seni menghias dengan buku ini boleh sahaja disesuaikan dengan apa jenis rumah sekalipun. Pokok pangkalnya, kalau tuan rumahnya memang pencinta buku, akan terselah pada motif hiasan dalaman rumah tersebut.
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam, kelihatan menarik sekali festival ini. cuma sayang kak lin kebetulan baru mendaftar dan masih terkial2 di tmpt kerja baru. Terima kasih singgah pagi ni di laman kak lin. Ya, jemputlah ke PJ. (walaupun segan juga kak lin, nisah sifu novel nak dtg dengar)
Tanpa Nama berkata…
Salam perkenalan Nisah Haron, akhirnya dpt juga bersua muka dengan penulis hebat. Walau tak sempat sembang panjang, harap jumpa lagi.

Kusyi Hirdan
www.jendelaku.com
Unknown berkata…
Saya tertarik dengan topik yang puan ketengahkan ini.Rumah kediaman keluarga saya memang tidak dihiasi dengan perabot yang cantik dan mewah tetap saya dan suami berbangga dengan koleksi bahan bacaan kami. Semoga akan meningkat kesedaran di kalangan masyarakat untuk lebih menekankan kepada kemewahan minda. Amat seronok menelusuri blog anda.

Catatan Popular