Apa yang Pustakawan Baca?


Setelah entri saya yang berjudul "Adakah Pustakawan Membaca?", tiba-tiba bertalu-talu pula komen yang masuk mengenai entri tersebut. Ada yang mengaku sebagai pustakawan, ada yang bersuara bagi pihak pustakawan dan sebagainya. Sengaja saya lepaskan komen-komen tersebut. Ini juga sebagai satu dokumentasi kepada sikap sesetengah pustakawan dan apa yang mereka baca. (Walaupun sikap sebahagian daripada mereka itu saya anggap pengecut kerana tidak berani meletak nama sebenar dan tidak mahu bertanggungjawab - cuma berani guna 'anonymous' sahaja)

Nampaknya, komentar daripada orang yang membayangkan dirinya sebagai pustakawan dalam komen pada entri ini mempunyai masalah dalam memahami teks yang dibaca - biarpun teks itu sangat mudah dan sesantai entri blog ini. Kepada pembaca blog ini dan juga pembaca karya saya, tentunya dapat membezakan apabila saya berbahasa santai dan apabila saya berbahasa sastera tinggi.

Isu semudah itu boleh membuat mereka memberi reaksi dan retorik yang jauh terkeluar daripada konteks yang saya perkatakan dalam entri tersebut. (Sebab itulah, orang tua-tua ada menyebut, kalau tidak pasti hujung ataupun pangkal, usah menyampuk. Inilah akibatnya.)

Pada mulanya saya malas hendak ambil pusing kerana apa yang saya tulis itu merupakan kisah yang disampaikan seorang kenalan tentang pengalamannya berurusan dengan pihak perpustakaan di sebuah tempat dan selebihnya pengalaman saya sendiri dengan beberapa pustakawan. Ramai juga antara pustakawan dan mereka yang bersuara bagi pihak pustakawan itu berfikir, saya ini cuma ahli bagi sebuah perpustakaan sahaja.

Maaflah, kerana jawapan saya nanti mengecewakan. Sebagai penulis, mana cukup kalau saya jadi ahli sebuah perpustakaan cuma.

Sebagai penulis, saya harus banyak membaca. Kalau pustakawan enggan membaca, apa yang saya boleh buat. Tetapi, yang penting saya sendiri harus banyak membaca. Untuk membaca, bukan semua buku dapat saya beli. Ada buku yang sudah tidak dicetak ataupun dijual lagi. Lantas saya harus dapatkan dari perpustakaan. Itupun, kalau pustakawan yang berkenaan dapat mencarinya.

Pihak pustakawan ataupun mereka yang bersuara bagi pihak pustakawan yang membaca blog ini mungkin berfikir bahawa saya ada masalah dengan semua pustakawan di dunia. Maaflah, sekali lagi jawapan saya akan mengecewakan mereka. Malah, saya sendiri mempunyai rakan-rakan akrab yang bangga bergelar pustakawan. Mereka memang banyak membantu saya sama ada sebagai pelajar sarjana satu masa dahulu, ataupun sebagai penulis. Kepada mereka tentulah saya ada cara tersendiri untuk mengucapkan terima kasih.

Pada saya merekalah pustakawan sejati yang tahu apa yang ada dalam perpustakaan masing-masing, tahu di mana buku-buku dan maklumat boleh diperoleh, malah membantu dalam segala segi walaupun ada sebahagiannya tidak tertakluk di dalam bidang tugas mereka, seperti membelikan buku-buku bagi pihak saya.

Pengalaman bersama-sama dengan pustakawan yang begini amatlah memuaskan dan sehingga hari ini, saya masih lagi berhubung dengan mereka walaupun buat masa ini saya belum memerlukan khidmat mereka. Saya tidak pernah diminta untuk datang kembali pada hari-hari tertentu hanya kerana saya tidak dapat berurusan dengan pegawai yang tiada di tempatnya pada hari-hari tertentu untuk urusan pembelian buku jika perlu.

Ya, memang ada perpustakaan yang menawarkan penjualan buku-buku tertentu terbitan perpustakaan tersebut. Jadi, komen sesetengah pustakawan yang menolak bahawa pustakawan sekadar mengurus buku dan maklumat ataupun sekadar gatekeeper itu - ertinya pustakawan tersebut masih belum berpeluang melihat perpustakaan di tempat-tempat lain yang jauh lebih maju.

Saya juga tahu apakah bidang tugas pustakawan tanpa perlu disenaraikan semuanya di blog ini. Tetapi eloklah juga kepada komen yang menyenaraikan tugas pustakawan, pasti ada pembaca blog ini yang baru tahu setelah membacanya di sini!

Satu lagi, pandangan orang awam tentang pustakawan ialah semua orang yang bertugas di perpustakaan itu dipanggil pustakawan. Tak kiralah apa jawatan sebenarnya dalam perpustakaan itu. Mungkin orang perpustakaan ada nama yang tersendiri seperti pustakawan, pembantu pustakawan, pengarah perpustakaan, penolong pengarah perpustakaan dan banyak lagi. Tetapi, pada orang awam itulah tanggapannya.

Sama juga halnya, jika seseorang itu bertugas di jabatan agama. Semuanya akan dipukul rata sebagai 'ustaz' - hatta orang itu cuma pembantu tadbir, pembantu am rendah dan sebagainya. Orang itulah yang berkemungkinan ditolak ke dalam majlis untuk membaca doa - hanya kerana di bertugas di jabatan agama.

Jadi, pustawan tak boleh cepat melatah. Orang yang dirujuk itu mungkin sahaja seorang jurutaip yang kebetulan berada di tempat yang tidak sepatutnya. Pada orang awam, manalah dia tahu sama ada orang itu tukang sapu, ataupun pustakawan. Selagi seseorang itu berada di dalam perpustakaan dan dia dikenal pasti sebagai bukan pengguna perpustakaan, pastinya orang itu tetap dilabel sebagai pustakawan.

Ini suatu hakikat yang harus diterima kerana untuk mengubah persepsi masyarakat memang sukar.

Pun, saya sedih dengan komen salah seorang yang bersuara bagi pihak pustakawan (atau mungkin juga dia seorang pustakawan) yang berbangga bahawa pustakawan tidak ada kena mengena dengan istilah 'pencinta buku', dia sekadar information gatekeeper. Jadi, dalam bahasa yang lebih mudah, pustakawan dari jenis ini seperti menjaga batu-bata yang membentuk sebuah tembok yang tiada makna!

Saya lebih mengharapkan komen yang diberikan bernas, kalaupun tidak boleh berhujah dengan baik, tetapi masih lagi dapat mengawal emosi ketika menulis komen. Tulisan-tulisan yang ditulis dengan huruf-huruf besar, ertinya penulis itu sedang menjerit-jerit. Andai itu tidak dapat difahami, maka pustakawan berkenaan haruslah membaca buku berkenaan etika di laman siber.

Lantas, apakah yang dibuktikan oleh semua ini?

Komentar yang diberikan menunjukkan sesetengah pustakawan ada banyak masa di pejabat sehingga sempat membaca blog dan memberi komentar sekaligus. Mungkinkah ini disebabkan kurangnya pengunjung ke perpustakaan? Tanpa pengunjung yang ramai, tentulah pustakawan lebih mudah untuk membuat kerja-kerja shelving. Saya sukar sekali mencari buku yang bertaburan di sesetengah rak di perpustakaan yang biasa saya kunjungi.

Tidak kurang pula, 'perbincangan' ini telah mencetuskan ilham kepada saya untuk menulis sebuah bab khusus dalam novel saya tentang pro dan kontra sikap pustakawan.

Terima kasih atas masukan yang diberikan. Semoga komen-komen ini dapat memajukan lagi sikap positif yang sedia ada dalam diri tetapi jarang digunakan. Tidak semestinya setiap pengunjung itu harus mengucapkan terima kasih kepada pustakawan apatah lagi mengharapkannya. Menyebut-nyebut tentang itu sahaja sudah mengurangkan rasa ikhlas dalam bekerja, seperti seorang ibu yang tidak harus mengungkit bahawa dia telah banyak berjasa kepada anak-anaknya. Semua orang tahu dia berjasa. Jika dia benar-benar ikhlas, dia tidak akan sedih jika anak-anaknya tidak membalas jasanya seperti yang diharapkan, tetapi ibu itu dapat melihat hikmah yang Allah berikan kepadanya dalam bentuk yang berbeza.

Kepada pustawan yang tidak ada kena mengena dalam 'cerita' ini, usah merasa 'pedas' jika anda langsung tidak terkunyah pun ladanya!

Pada saya isu ini tamat di sini. Saya juga ada banyak perkara yang lebih penting daripada melayani perkara seremeh ini. Kalau diperhatikan posting saya juga agak kurang sewaktu bulan puasa ini. Saya berpendapat, lebih baik saya banyak membaca Al-Quran dan membuat rujukan-rujukan penulisan daripada banyak membaca blog yang tak tentu isinya, khususnya blog-blog politik yang semakin memualkan.

Ramadhan juga bulan muhasabah. Sama-samalah kita menghayatinya.

Catatan Popular