Buku DBP mula 'bermaruah' persembahannya

Akhir-akhir ini saya ke DBP - khususnya di Dawama Ulu Klang untuk dapatkan buku-buku terbaharu. Saya amat tertarik dengan bentuk persembahan dua buku ini.

Takkan Hilang (Never Vanish) - Kumpulan puisi AGI (A. Ghaffar Ibrahim) dan juga Kasih Bonda - Kampung Paya Kami, sebuah kumpulan puisi Siti Zainon Ismail.

Pada saya inilah antara penerbitan buku-buku yang bermaruah sifatnya. Mengapa saya berkata demikian?

Saya akan mengulas bentuk visual buku ini dan bukannya kandungan buku tersebut secara sepenuhnya. Ini hanya dinikmati oleh pencinta buku yang gemarkan persembahan buku dalam bentuk yang sangat bermaruah ini.

Mungkin pengikut setia blog ini juga pernah membaca bagaimana saya teruja dengan edisi mewah Kumpulan Puisi A. Latiff Mohidin yang diterbitkan oleh Galeri Petronas dalam entri terdahulu.

  • Takkan Hilang (Never Vanish) - Kumpulan Puisi AGI - Harga : RM39
Buku ini dihadirkan dengan kulit tebal. Jenis kertas pula kertas jenis berkilat dan licin, setahu saya namanya art paper. Ini diwajarkan penggunaannya kerana ada antara puisi Pak Agi adalah puisi visual. Sesetengah daripada puisi tersebut pula dikembarkan dengan lukisan berwarna. Lantas, penggunaan art paper lebih sesuai.

Satu lagi keistimewaan buku ini ialah kandungannya terbahagi dua : satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris (terjemahan oleh Harry Aveling).

Untuk membaca mana-mana bahagian, pembaca perlulah terbalikkan sahaja buku ini dan anda akan dapat membaca versi yang satu lagi - terbalikkan atau pusingkan dari atas ke bawah - flip over.



Penerbitan buku begini bukanlah luar biasa, tetapi ini suatu kelainan yang boleh menarik khalayak mendapatkan buku tersebut. Selain daripada desain buku (saya percaya dilakukan Sinaganaga), mutu buku ini juga meningkat dengan gaya persembahan yang bersemangat.

Bagi yang mengenali Pak Agi, puisi-puisinya cukup 'bersemangat' - apatah lagi kalau dideklamasikan. Oleh itu, persembahan buku yang begini membuatkan pembaca (yang mungkin sebelum ini tidak tertarik membeli buku puisi), akan menjadi tertarik untuk membelinya sebagai koleksi.

Tak mengapalah, kalau hari ini buku ini dibeli sebagai koleksi, lambat laun akan dibaca juga, insya-Allah. Ada kalangan calon pengarang yang pernah bertanya kepada saya cara untuk menulis ayat-ayat yang indah bunga-bunga bahasanya.

Jawapan saya : bacalah buku puisi - khususnya puisi yang sifatnya puitis seperti puisi Pak Samad ataupun Siti Zainon Ismail.



  • Kasih Bonda - Kampung Paya Kami. Harga : RM30
Sebuah lagi buku yang boleh dikumpul oleh peminat penyair wanita tersohor - Siti Zainon Ismail. Sebagai pelukis, setiap halaman puisi ada catatan (contengan) pengarangnya sekali yang menghidupkan puisi-puisi tersebut.

Sebelum ini, saya memang menggemari pojok Dr. Siti dalam Dewan Sastera yang pastinya ada lakaran pada setiap puisinya. Sudah tergerak di hati untuk menggunting setiap satu puisi dan lakaran itu untuk saya simpan dalam sebuah buku skrap khusus. Kini, dengan adanya buku ini, kerja untuk membuat buku skrap itu nampaknya boleh dikurangkan. Pastinya koleksi ini menjadi antara himpunan buku-buku puisi kegemaran saya

Kertasnya dari jenis acid free - saya harap saya betul dengan istilah ini - sama seperti kertas yang digunakan untuk kumpulan puisi Pak Samad terbitan Utusan Publications (edisi kulit keras) yang berwarna keperangan. Saiz buku lebih kurang saiz kertas A4 dengan kulit keras. Terasa serasi memegangnya. Kalau mahu deklamasi mana-mana puisi dalam buku ini dengan membaca bukunya sekali pun terasa selesa dan memudahkan dengan ketebalan 106 halaman.

Secara keseluruhan, Dr. Siti mengabadikan kehidupan di kampungnya sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja. Pada saya, ini sesuatu yang sangat berharga - sesuatu yang tidak akan dilalui oleh remaja hari ini. Dengan bantuan visual - lakaran - pembaca dapat lebih menghayati setiap bait puisinya.

[Ada sebuah lagi buku puisi yang diterbitkan dengan kualiti yang sama seperti kedua-dua buku ini iaitu Postponing The Truth and Other Poems" (2008) terbitan DBP. Tetapi, kumpulan puisi Dato' Baha Zain itu belum sempat saya dapatkan. Mungkin akan saya sentuh dalam entri akan datang ataupun setelah saya mendapatkan koleksi tersebut.]

Bagi kedua-dua buku ini, pada saya harganya masih rendah kerana harganya itu lebih kepada kos penerbitan buku tersebut. Belum lagi dicampurkan harga kepengarangannya. Mungkin kepada 'penggemar' buku-buku murah tidak akan bersetuju dengan saya kerana persoalannya, mengapa buku seharusnya mahal. Siapa yang hendak beli kalau buku mahal?

Pada saya, selain daripada buku yang bermaruah, harga buku juga harus ada maruah. Ini memang bukan buku murah. Tidak semua orang boleh menghayati puisi. Apatah lagi membeli sebuah buku puisi. Ini kumpulan puisi penyair terkemuka yang telah dinobatkan pelbagai anugerah. Mereka buku sekadar penyair jalanan.

Saya tidak berapa setuju apabila buku puisi diterbitkan dengan harga sekitar RM10 - sekadar memuatkan teks puisi tanpa ada sebarang nilai tambah yang boleh menaikkan persembahan buku itu.

Buku perlu mempunyai harga yang berpatutan kerana hanya jauhari yang mengenal manikam!

Ulasan

Rahimin Idris berkata…
salam ramadan kak/puan..

memang la. tapi buku2 dbp ni bukan senang nak beli. saya kena pergi temerloh. itu pun kalau ada. kumpulan puisi hilmi rindu 'segugus embun' tu sampai sekarang pun tak ada lagi.
saya pun dah naik malas nak layan.

bai!
mariahsj berkata…
Salam. Selamat berpuasa, Nisah. Menarik juga rekabentuk buku baru ini, ada kelainannya. Saya mesti dapatkan buku Dr Siti. Terima kasih, Nisah.
Nissa' Yusof berkata…
saya setuju, memang puas hati sungguh lepas beli dan baca buku puisi Pak AGI. nampaknya kena beli juga buku puisi Dr. Siti ni
Tanpa Nama berkata…
Ya Nisah, ini ada rahsianya. Saya hampir menjerit melihat rekabentuk asal buku itu. Bersaiz kecil seperti buku puisi lainnya, dan sketsanya berukuruan 3 x 3". Kata editornya itulah arahan awal, mereka menyangka sketsanya hanya ilustrasi saja. Saya bertegang leher, tapi editornya berlembut hati, minta saya bersabar, dan saya ingin bertemu pereka bentuknya di bangunan DAWAMA. Apa kata pereka bentuk buku itu ? " Kakak lah penulis kedua datang berjumpa kami. untuk membincang rekabentuk buku. Dulu yang datang ialah Syed Ahmad Jamal". Yah Nisah, mungkin kerana kami pelukis, kami harus protes kalau layout yang lucu - tidak berselera seni rupa! Ayoy penulis lain juga harus berani memberi idea layout buku masing-masing.InsyaAllah (SZI)
Tanpa Nama berkata…
alah abang naga, malu-malu pulak!

harap-harap 'perubahan' ke arah buku bermaruah akan berterusan...
Zaid Akhtar berkata…
Sdg menanti Ingin Jadi Nasrallah pula. Abang Naga jugak ke ilustrasinya?
saat omar berkata…
sesuai ke TAKKAN HILANG tu bila ditranslate ke English jadi NEVER VANISH? haha...English saya taklah hebat tetapi rasanya Never vanish tu macam kelakar bunyinya...betul ke?
sinaganaga berkata…
Kak SZ,
Saya terpanggil untuk memberi komen, atau senang2 kita patut minum kopi bersama-sama dan berbual-bual - dalam sistem book making di DBP - sang editor paling berkuasa tahap dewa - sekian, terima kasih, ha ha.

Oh, tentang penulis patut duduk semeja dengan designer untuk membincang rupa reka bentuk buku mereka - saya bersetuju. Tetapi, Riduan Harun pernah datang berbincang reka bentuk bukunya dengan saya - tapi, masyaallah, 'editor lebih berkuasa'. Reka bentuk kulit luar buku tu jadi macam celaka! Sungguh!

Reka bentuk NEVER VANISH by Abang AGI - saya design lain, editor nak minta ubah - takut, dia suruh minah mana entah redesignkan buku tu - dah print jadi lain!!! AGI tanya saya, "kenapa lain?" Saya jawab, "entahlah, bang!"

Damn!

So, jangan kata Kak SZ saja dinafikan haknya - malah, kami designer2 ni pun telah dinafikan hak kami. Well, kami tahu mereka tu client!!!!!

Salina,
HA HA.
benuasuluk berkata…
Salam,
saya ingin respon pada pandangan SZI. Sebagai penulis baru, saya ada juga memberi beberapa pandangan untuk kumpulan puisi pertama saya pada editor. Pada peringkat awal semua ok. Kemudian saya berjumpa dengan designer untuk bincang lebih lanjut. Bahkan saya lebih lama berbincang dengan designer daripada berbincang dengan editor. Tapi hasilnya amat mendukacitakan. Editor membuat keputusan sendiri pada peringkat akhir tanpa memaklumkan pada penulis. Jadilah hasilnya seperti Suluk Cinta sekarang. Kecewa? Tentulah.
Sebagai penulis, kita memang mahukan buku kita ditangani dengan cara yang penuh bermaruah.Nak buat macam mana, editor lebih berkuasa. Soalnya, editor yang "power", atau editor yang menggunakan "power"?
sinaganaga berkata…
Salina,
HA HA. Kak Zalilah masih percaya yang kita... ermmm... akan... akan... ermmm... aaa... aaaa... kita sedang... ermmm... aaa.... (((((HA HA))))))))))
dewarama19 berkata…
wahai sinaganaga, buruk sangatkah editor dbp? saya pernah bekerja dengan editor dbp..rasanya tak ada masalah dari proses penerbitan awal hingga akhir dengan editor, cuma... idea saya dan editor tidak dapat dijelmakan oleh designer.. akhirnya tanpa rela hati saya dan editor terpaksa menerima kulit yang 'comel' itu daripada designer..pelbagai alasan diberikan..jawapan paling glamer TAK CUKUP MASA.. tapi banyak masa MEROKOK dan MELEPAK di warung mamak... confuse siapa dewa agaknya.. editor atau designer??
dewarama19 berkata…
wahai sinaganaga, buruk sangatkah editor dbp? nampak kekwat sangat.. ada benda tak puas hati ye..:-) saya ni penulis.. ada pengalaman kerja ngan editor dbp.. tak ada masalah spt yang dicakapkan tu...dari awal kerja hingga akhir ok saja.. cumaaa.. problem bermula bila nak hasilkan kulit.. saya dan editor 'letih' bagi idea pada designer tetapi hasilnya mengecewakan... hasil kerja designer seolah-olah langsung tak boleh diubah.. takkan first cover sudah 'perfect'.. akhirnya, tanpa rela hati saya dan editor terpaksa menerima cover yang 'comel' itu.. nak buat macam mana, kata designer itu yang 'terbaik'.. siapa dewa sebenarnya kat sini.. saya confuse!!!

Catatan Popular