(Sekadar Menyebut Beberapa Nama)
Ucapan Wakil MPR - Diskusi Karya Mantan MPR 2009
Basmalah, selawat & salam.
Salutasi :
Ybhg. Puan Zaiton Ajmain, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera, DBP
Yang dihormati barisan panel pembentang Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009
Alumni MPR, khususnya -
Selamat datang kepada adinda-adinda mantan peserta MPR 2008. Tahniah kerana adinda semua telah menjadi ahli terbaharu dalam keluarga yang semakin besar tetapi mesra ini!
Sesetengah pengarang ada menyatakan : saya menulis bukan kerana nama. Kedengaran begitu ideal sekali. Benar, sebagai pengarang (khususnya yang beragama Islam) kita wajar menulis kerana Allah Ta’ala. Namun, nama begitu penting kepada pengarang.
Yang mengikuti nama itu ialah reputasinya. Walaupun, editor seharusnya menilai karya dan bukannya nama pengarang, percaya ataupun tidak, nama pengarang itu besar pengaruhnya kepada kecenderungan memilih ataupun menilai karya kerana editor juga manusia.
Atas alasan yang sama, nama pengarang tidak dibenarkan wujud pada naskhah karya yang menyertai sayembara penulisan kerana nama itu kelak dikhuatiri akan mempengaruhi hakim dalam membuat keputusan.
Demikianlah peranan nama. Oh, ya, dan nama juga penting kerana pihak penerbit perlu membuat bayaran royalti atau honorarium kepada pengarang!
Kalau diperhatikan di dalam rencana ataupun artikel yang merujuk kepada mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR), biasanya akan ditulis begini : Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari, Hizairi Othman, Shamsudin Othman, Amaruszati Noor Rahim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.
Beberapa tahun kemudian, apabila sekali lagi artikel yang merujuk kepada mantan peserta MPR akan ditulis begini pula : Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Raihani Mohd Saaid, Shazmee Rizal Agus Salim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.
Masa berlalu dan artikel tentang MPR terus ditulis, kali ini nama lain pula disenaraikan : Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Ghafirah Idris, Nasriah Abdul Salam, Nimoiz T.Y. dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.
Dan saya percaya tidak lama lagi, nama-nama ini akan menyenaraikan beberapa nama baharu yang mewakili mantan peserta MPR 2006, 2007 & 2008. Itu sudah pasti.
Namun, apakah syarat supaya nama-nama ini menjadi sebutan para pengkritik sastera. Saya percaya syarat yang paling utama ialah menulis dan menulislah karya yang berkualiti, jauh dari klise dan mencari kelainan dalam penghasilan karya tersebut.
Saya masih ingat lagi sewaktu menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR 2006 di Port Dickson, saya dan Raihani Mohd Saaid sengaja tidak mengadakan sesi taaruf secara formal. Bukanlah kami tidak menyedari kepentingan taaruf ataupun sesi berkenalan itu, tetapi, kami membawa realiti dalam penulisan.
Apakah realiti itu? Apabila karya kita pertama kali membuat tembusan di media, siapa pun tidak akan kenal siapa kita. Namun, di kalangan masyarakat sastera akan ada yang bertanya : siapakah penulis baru ini? Dan jika selepas itu, karyanya tersiar lagi dan lagi dan lagi, namanya akan diingati kerana kerap kali melintas di media.
Seperti iklan yang harus diulang supaya pembeli ataupun calon pembeli dapat mengingati nama produk, demikianlah nama pengarang itu harus muncul (jika boleh) di mana-mana media supaya nama itu dapat diperhatikan. Dan di dalam kes alumni MPR, namanya akan dipilih bagi mewakili generasi berikutnya dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.
Kembali kepada MPR 2006, walaupun tiada sesi taaruf yang formal, hari ini saya dapat mengingati nama-nama seperti Nissa’ Yusof, Zulfazlan Jumrah, Firdhaus Hassan, Ainunl Muaiyanah, MF Kencana dan Nabiha Mashut dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama – kerana nama mereka sudah semakin kerap melintasi media cetak. Mereka ini bukan sahaja prolifik dan tekal menulis (sekakat ini) tetapi karya mereka berpotensi untuk mencabar kedudukan para senior MPR dan juga penulis-penulis mapan.
Karya-karya mereka ini juga akan turut dibincangkan dalam kategori karya eceran dalam Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009 yang akan dimulakan sebentar lagi.
Saya juga sudah merisik-risik kepada mantan 2006 khususnya, mereka sudah ada karya yang mahu dihimpunkan di dalam sekurang-kurangnya 2 buah antologi. Insya-Allah, saya akan bantu penyelenggaraan antologi cerpen dan Sdr Shamsudin Othman juga pada dasarnya bersetuju untuk menyelenggarakan antologi puisi. Sebelum kami terbitkan antologi ini sendiri, sekali lagi saya mahu hulurkan manuskripnya kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan saya ada tangan yang bakal menyambut dan seterusnya menerbitkan antologi tersebut.
Kepada mantan tahun-tahun yang lain, seperti 2007 & 2008, merujuklah kepada mentor/pembimbing masing-masing. Tangan saya cuma ada dua. Setakat ini belum terdaya untuk menyelenggara antologi-antologi yang lain. Kami yang dianggap lebih senior ini sedia membantu setakat mana yang termampu ibarat kata pantun melayu :
Sapu tangan jatuh ke laut,
Jatuh dengan alas-alasnya;
Panjang tangan kami menyambut,
Satu pun tidak mengharap balasnya.
Sekadar makluman, saya dan Dr. Mawar Shafei telah merintis satu projek penulisan baharu – iaitu sebuah buku yang menghimpunkan proses kreatif penulis-penulis dekad 90-an. Working titlenya, kami judulkan “Bagaimana Saya Menulis?” Untuk edisi pertama ini, kami akan menghubungi sekumpulan penulis yang aktif pada akhir tahun 80-an hingga 90-an. Tentunya nama yang bakal tersenerai merupakan mantan peserta MPR, kalau tidak semuanya pasti sebahagian besar daripadanya.
Jadi bersedialah, kita semua ingin tahu ‘bagaimana anda menulis’. Kongsi dengan kita semua. Dokumentasikan, supaya generasi akan datang dapat menatapnya sebagai panduan dan juga pembakar semangat. Saya percaya cara kita menulis pastinya tidak sama.
Doakan projek kecil ini berjaya. Harapan kami juga, pihak DBP dapat menyambut manuskrip ini kerana di Malaysia buku jenis ini kurang diterbitkan tetapi penerbitannya amat bermakna untuk warga penulis.
Pada kesempatan ini juga, saya mewakili Alumni MPR mengucapkan terima kasih sekalung budi kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang selama ini memberikan kerjasama kepada pihak kami dalam mengadakan projek-projek seperti ini.
Kami para senior mengiktiraf tugas menguruskan program seperti ini. Kami juga pernah melakukannya. Kami faham jerihnya. Kami akan sentiasa menyokong. Perkembangan MPR juga sentiasa diikuti melalui laman blog MPR : minggupenulisremaja.blogspot.com. Kepada para senior, kalau pun kita tidak dapat menyumbangkan tenaga, sekurang-kurangnya kita teruskan sokongan kepada usaha murni adik-adik kita ini.
Insya-Allah, pada masa hadapan pihak jawatankuasa kerja mungkin akan dapat mengadakan juga bengkel berterusan seperti kuliah kritikan sastera, penulisan skrip drama, puisi tradisional dan juga projek-projek lain yang boleh kita sama-sama fikirkan, selain meneruskan projek diskusi karya mantan MPR ini.
Lalu kepada siapa lagi yang wajar kami sandarkan harapan, selain ihsan dan sokongan daripada induk kami – Dewan Bahasa dan Pustaka yang lebih 2 dekad melahirkan penulis-penulis pelapis di pentas sastera Melayu.
Tanam legundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan kami tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Ulasan
minggu lepas ada dua pelajar uia makan semeja semasa rehat slepas diskusi sesi pertama "awak MPR jugak ke?".."tak.pertama kali datang program DBP, tgk iklan di fakulti" saya tanya "umur brapa?" "24" dia jawab. "eh..boleh lagi ke 24 masuk MPR" saya tanya rambang.. "ko ni agak2 la..haha" Zarif gelak. Rahimidin senyum jer.
-sekadar menyebut beberapa nama, jadi lelucon pembuka majlis pula ye..hehe
Bagi penulis baharu karya mesti mantap dan hebat baharu dipandang editor bagi penulis lama (maaf cakap) karya biasa2 pun editor sapu juga :D
terima kasih banyak untuk ucapan ini...
Tersedak-sedak ada orang sebut nama di sini.Lain kali boleh tulis -saya dan Raihani Mohd.Saaid, sekadar menyebut satu nama.Hahaha!
Benar, sesi taaruf secara formal amat membosankan. Saya akan mudah lupa. Kuiz-kuiz 'yang mana berikut adalah penulis wanita' wajib diteruskan untuk MPR akan datang. Saya pun dulu takde kuiz-kuiz macam tu. Ini penting supaya kita tak cepat besar kepala kononnya pengetahuan sastera kita lebih baik dari peserta lain, juga supaya peserta yang tak tahu apa-apa menjadi tahu.
kak nisah, terima kasih untuk ucapan hebat ini. nama MPR 2006 disebut banyak kali. setiap kali disebut 'MPR 2006' tu, saya macam terdengar-dengar juga 'jangan lupa hantar karya yang bagus untuk antologi'.. hehehehe
BENGKEL PENULISAN SAINS FIKSYEN
Bengkel bimbingan penulisan karya sains fiksyen akan diadakan di Johor Bahru pada 31 Januari 2009 (Sabtu). Bengkel ini diadakan bersempena dengan Sayembara Cereka Fiksyen Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan utusan. Semua dijemput hadir. Yuran untuk bengkel sehari ini ialah RM50.00 termasuk bahan-bahan bengkel dan makan minum. Bengkel akan diadakan di Hotel Grand Bluewave, Johor Bahru.
Maklumat lanjut boleh menghubungi Sdra Yosman Mohd Bain di talian 07-5218166 atau 019-7557760 atau boleh juga menghubungi Rozlan Mohamed Noor di 03-92856577 / 012-3828353.
www.celikhuruf.blogspot.com