Pesta Buku, Harga Buku

Pesta Buku di peringkat negeri berlangsung hampir serentak dengan Read Malaysia 2009. Di Negeri Sembilan, hari ini ialah hari ketiga Pesta Buku Negeri Sembilan (Pesta Buku NS)- bakal berakhir Ahad nanti.

Daripada pemerhatian saya, mereka yang datang ke Pesta Buku NS bukanlah ulat-ulat buku yang sebenar. Pada saya, mereka hanyalah accidental shoppers/visitors - ada yang kebetulan membeli barang di Guardian ataupun singgah ke Watson, ataupun mencari barang di Parkson - lalu terpandang ada gerai-gerai yang mengisi ruang kosong di hadapan McDonald dan Pizza Hutt. Mengisi naluri ingin tahu, mereka pun lalu singgah. Terpandang gerai di Ujana Ilmu yang mempamer banyak buku dan hiasan gerai yang menarik, mereka pun singgah sebentar. Selak sana, selak sini. Kemudian berlalu ke kedai yang berikutnya. Buat hal yang sama.

Ada juga rombongan pelajar sekolah yang dibawa guru-guru kerana baru sudah habis peperiksaan. Mereka juga pembeli yang baik walaupun dana mereka sedikit terhad. Tetapi semangat mereka harus dihargai. Ada juga yang datang kerana ada aktiviti seperti deklamasi sajak, persembahan kebudayaan diadakan. Mereka ini sekadar meramaikan dan memeriahkan majlis tetapi pada saya, masih lagi accidental visitors.

Namun, ada 'ulat buku sebenar' yang datang melihat dengan bersungguh-sungguh dan membuat pembelian serta ada air muka puas hati di wajahnya kerana berjaya mendapatkan buku yang mungkin sudah lama dicari dan jodoh pertemuan buku itu hanya di Ujana Ilmu. Alhamdulillah, kami sebagai penjual buku rasa amat berbahagia kerana menjadi agen penemu jodoh antara pembaca yang amat rindukan buku dan buku yang memerlukan khalayak yang sebenar.

Membeli buku ialah mengenai cita rasa. Orang yang mempunyai selera buku ataupun cita rasanya tinggi, langsung tidak peduli akan harga buku. Mereka bukan datang ke pesta buku kerana ada diskaun. Pada mereka diskaun itu hal kesembilan ataupun kesembilanbelas. Paling penging, buku itu mesti dimiliki. Itulah mentaliti pembaca kelas pertama. Ilmu diutamakan, diskaun itu dikira sebagai satu bonus. Memang ada kelompok seperti itu. Datangnya ke gerai memang untuk mencari buku-buku yang sukar diperoleh. Buku-buku pop yang berlambak-lambak satu pun mereka tak layan.

Pada saya, soal buku murah ataupun mahal hanya memberi kesan kepada mereka yang tidak memberi keutamaan kepada buku. Pada hujung bulan begini, mereka tidak ragu-ragu ataupun berfikir dua tiga kali untuk menyerahkan wang kepada restoran-restoran makanan segera untuk memenuhi keperluan fizikal tubuh badan, tetapi masih ramai yang berfikir berkali-kali untuk memberikan santapan yang lazat kepada mindanya.

Terima kasih kepada semua pengunjung yang singgah ke gerai Ujana Ilmu di booth No. 3 & 4, Seremban Parade. Kepada yang tidak berkesempatan untuk singgah ke Seremban, pembelian secara online masih lagi berlangsung seperti biasa.

Dapatkan buku-buku berkualiti dari www.ujanailmu.com.my.

Ulasan

SITI ZAINON ISMAIL berkata…
Tahniah Nisah, Program naik komuter ke Seremban tak menjadi. Ni tiba-tiba ada kerja dengan Jabatan Warisan, harus diselesaikan - mengedit buku puisi Kembara ke Gua Niah. Sampai jumpa lain kali. InsyaAllah. Pasti cantik gerainya ya...nak lihat gambarnya ya
Layla Haq berkata…
Saya kira, bagi mereka yang punya RM yang berlebih-lebih, pastinya sanggup memperuntuk sebahagian wang untuk membeli buku yang diminati.

Namun, ada juga golongan yang sangat teruja mahu memiliki sesebuah buku yang diminati namun tidak punya wang yang mencukupi terutama pelajar-pelajar sekolah atau iniversiti yang kebanyakan dari mereka memperuntuk wang yang ada untuk buku rujukan pelajaran.

Seorang rakan berpangkat adik yang masih belajar di tingkatan lima, seringkali kagum dengan buku-buku yang saya miliki. Apabila saya sarankan dia membeli, katanya dia tidak punya wang. jadinya, perpustakaan sahajalah yang memenuhkan santapan rohaninya itu.

Jadinya, pada fikiran saya [yang bukan menyentuh aspek ekonomi], buku sama ada dimiliki atau tidak, terlebih penting adalah manfaat isi kandungannya.

Saya juga pasti, kewujudan banyak kedai buku secara online atau tidak, menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia memang suka membaca.

Bagi saya, buku juga seperti makanan harian. Usah terlebih-lebih beli sehingga lupa dibaca, dan jangan terkurang miliki .
Riesna Zasly berkata…
salam kak nisah
saya masih ingat pernah melanggan buku-buku bonda siti zainun dan faisal tehrani dari ujana ilmu pada beberapa bulan lalu.. kemasan posnya teliti dan amat menhargai... tak tahu pula ujana itu milik akak..

bila hendak membuat acara di johor bahru? di sini buku-buku klasik dan sastera terbaik sukar didapati... pasarannya juga lebih luas...

Salam kenalan dari saya!
Rusdi Abd Rahman berkata…
Pn. Nisah,
Pesta Buku Johor anjuran Jabatan Pelajaran Johor di Danga City Mall bermula 27 Mei - 1 Jun 2009 seumpama 'melepaskan batuk di tangga'. Buku yang terdapat hampir 90% gerainya mudah didapati di kedai buku biasa di Johor Bahru. Saya mencari gerai-gerai penerbit dan pengedar yang gah dan besar seperti MPH, PTS, Utusan dan lain-lain tetapi mengecewakan. Buat peminat dan pengumpul buku, tidak rugi jika tidak hadir ke situ.
fadzil yusof berkata…
Salam Puan Nisah.

Tahniah atas Ujana Ilmu yang begitu baik dalam membekalkan buku-buku bermanafaat.

Apapun tentang harga buku, pada saya ia subjektif. Ada masa saya perlukan buku yang murah harganya. Ada kalanya saya tidak kisah lansung walaupun harganyanya mencecah RM100 walau sekitar 300 muka surat sahaja.

Tapi pengalaman membeli buku ini pelbagai peringkat dan 'martabat'nya. Setengah orang untuk sebuah buku dengan harga RM 10 pun lokek.

Namun, betullah - jangan anda masuk dalam kelab ulat atau penagih buku. Tiap bulan, sekurang-kurang 25 % daripada gaji dikorbankan untuk buku. Malah ada yang lebih lagi, saya rasa.

Buku memang mengoda sifatnya, terkadang mengatasi wanita !

Catatan Popular