Kedamaian Selepas Maghrib

Antara soalan popular kepada saya sebagai penulis ialah bila waktu saya menulis. Ini bukanlah soalan kegemaran saya, meskipun ia popular. Setiap penulis pastinya ada waktu kegemarannya untuk menulis. Namun, penulis tidak boleh bergantung sangat kepada waktu tersebut. Akibat terlalu bergantung, penulis boleh jadi tension tak tentu fasal kerana pada waktu berkenaan dia tidak boleh menulis.

Menjawab soalan tersebut, waktu kegemaran saya ialah selepas maghrib. Secara idealnya, ini masa yang terbaik untuk membuat refleksi diri. Masanya pendek dan sesuai untuk melakukan sesuatu yang ringkas, padat tetapi penuh erti.

Saya sukakan waktu selepas maghrib kerana biasanya selepas seharian bekerja (sewaktu saya masih bergelar peguam), waktu ini ialah waktu yang khusus untuk diri sendiri. Boleh buat apa sahaja tanpa perlu berkongsi dengan orang lain. Saya bebas untuk menjadi diri saya sendiri.

Sewaktu menjadi mahasiswa, saya juga gemar memulakan studi selepas maghrib. Jika saya tidak ada aktiviti ko-kurikulum seperti kelas silat atau debat, saya berjalan kaki dari Kamsis Rahim Kajai (kini dipanggil kolej) sehinggalah ke Perpustakaan Tun Sri Lanang (TSL). Ini suasana sebelum Fakulti Undang-undang dan juga Perpustakaan Undang-undang dipindahkan ke lokasi baharu di atas bukit. Pada tahun-tahun 1993 - 1996, kuliah untuk pelajar undang-undang diadakan di FSKK (kini FSSK) dan kami ada seksyen khas di TSL.


Jadi, berjalan ialah perkara biasa bagi warga kampus. Berjalan dari Rahim Kajai ke TSL memang menyeronokkan. Makan malam sekitar 6.30 petang atau sebelum maghrib, kemudian solat pada awal waktu. Usai solat terus sahaja melangkah dengan buku-buku nota, rujukan dan sebagainya ke TSL. Saya tak berapa gemar pergi beramai-ramai. Biasanya, banyak saja kerenah kalau pergi 'berjanji-janji'. Saya lebih suka berjumpa terus di TSL. Kalau kawan saya lambat pun, saya sudah boleh mulakan kerja-kerja saya sementara menunggu. Berjanji dengan saya juga mudah, kalau lambat 10 minit, saya tak akan tunggu. Saya jalan dulu. Kalau saya terlambat 10 minit pula, saya tak harap kawan saya itu masih menunggu. Teruskan sahaja tanpa saya. Sungguh, saya tak layan kalau mahu merajuk dengan saya. Carilah kawan lain, saya tak kisah! Ketika itu, saya tak betah melayan kerenah-kerenah remeh-temeh seperti menunggu orang yang tidak menepati janji dan mengganggu jadual kerja saya.

Lalu, selepas maghrib saya berjalan kaki sendirian dan sepantas mungkin ke TSL. Ketika itu, perpustakaan tidak ramai orang dan saya bebas memilih meja yang paling sesuai untuk studi, cari kes dalam laporan undang-undang, cari buku atau apa sahaja. Suasana studi juga tenang kerana itu waktu yang optimum. Sejam kemudian, barulah nampak pengguna-pengguna TSL yang lain.

Jika saya tidak ke TSL, saya berada di bilik. Juga, waktu paling menarik tentulah selepas maghrib juga.

Kini, selepas berumah tangga, saya cuba untuk merebut suasana itu, meskipun agar sukar berkompromi dengan anak-anak, khususnya dua yang masih kecil. Adakalanya, saya harus mencuri-curi dan berebut masa untuk bersendirian. Waktu yang tenang selepas maghrib itu selalunya tinggal kenangan.

Kepada yang masih bergelar pelajar, mahasiswa dan bujang, hargailah masa anda. Sesudah status diri anda berubah kepada sudah bekerja, sudah berumahtangga, (kalau yang perempuan, sudah bergelar isteri, dan ibu), jumlah 24 jam itu harus dibahagikan lagi. Semakin ramai yang akan menuntutnya.

Percayalah!

Kalau mahu membaca, usah tunggu sehingga :
  • setelah saya bekerja, kononnya, saya akan ada duit sendiri jadi akan membaca lebih banyak;
  • setelah saya kahwin, kononnya, saya akan dapat suami yang boleh tolong sponsor pembelian bahan bacaan;
  • setelah saya ada anak, kononnya, saya boleh membaca dengan anak-anak.
Lupakan sahaja contoh-contoh MITOS di atas. Semua itu tidak akan berlaku. Saya juga tambah kasihan kepada guru-guru masa kini yang terus sekali dihambat masa kerana kerja guru sudah ditambah sebagai kerjaya pentadbir sekolah, urusan pengkeranian dan bukan sahaja mengajar. Mereka menjadi golongan yang dihimpit masa untuk memiliki ruang waktu tersendiri (dulu-dulu, guru habis sekolah paling lewat pun pukul 1.30 petang, sudah boleh buat kerja sendiri).

Jadi, apa-apa yang hendak anda lakukan, buat SEKARANG bukan sekejap lagi. Entah-entah, selepas ini, segala-galanya sudah terlewat!


Ulasan

Azhar Salleh berkata…
Salam Pn. Nisah,
Salam silaturahim. Memang ada wajarnya dan benarnya, setiap penulis memiliki waktu terbaik untuknya mengetuk kekunci atau mencoret sesuatu pada cebisan kertas. Lazimnya, waktu-waktu tersebut tidak dapat dipisahkan dengan denyut sakinah. Sekadar berkongsi, biarpun saya bukanlah penulis yang prolifik atau terampil, namun ketenangan yang benar-benar meresap adalah pada ketika hujan turun, apatah lagi ketika dinihari.
Ya, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan, usah bertangguh. Saya amat bersetuju dengan pandangan ini. Lazimnya, bertangguh itu bersinonim dengan membatalkan, menghapuskan, menggagalkan, memansuhkan, dan yang seumpamanya.
Terima kasih.
Shukri Mohd Ali berkata…
salam puan Nisah,

nasihat yang amat bagus sekali, untuk seorang mahasiswa seperti saya khususnya. Kebetulan, saya pun memang menetap di kolej Rahim Kajai =)

semoga terus menghasilkan penulisan yang menarik!

salam hormat,
Shukri Mohd Ali.

Catatan Popular