Destinasi Berikutnya, Kuching
Gambar : Dua teraju utama siri bengkel penulisan guru-guru cemerlang - Encik Shahrun Nizal dari DBP KL (duduk) dan Puan Siti Nafsiah Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Latihan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Turut berada di dalam gambar, Cikgu Rothman, penghulu untuk bengkel di Port Dickson sedang menyampaikan ucapan mewakili peserta dalam bentuk pantun
Bulan Julai penuh dengan aktiviti dan tugas. Ramai yang mengikuti perkembangan saya sama ada di sini atau di Facebook beranggapan saya ini banyak berjalan-jalan / kembara sahaja kerjanya. Ini siri bengkel penulisan yang dilakukan secara litar ke seluruh negara tetapi menumpu kepada 4 lokasi utama :- Kuala Terengganu (Zon Utara & Timur) 6 - 8 Julai
- Port Dickson (Zon Tengah & Selatan) 13 - 15 Julai
- Lahad Datu (Zon Sabah) 20 - 22 Julai
- Kuching (Zon Sarawak) 27 - 28 Julai
Bimbingan guru penting dalam melahirkan penulis muda yang berpotensi. Guru demikian menjadi champion kepada pelajar tersebut. Guru yang mampu memberi tunjuk ajar dan menggalakkan pelajarnya menulis, apatah lagi bimbingan itu datangnya dari Guru Cemerlang, pastilah menjadikan guru itu bertambah cemerlang dalam tugasnya sebagai guru.
Gambar : Seorang daripada peserta di Kuala Terengganu sedang membacakan cerpen tulisannya.
Jasanya melahirkan seorang pengarang berpotensi dari peringkat sekolah amatlah besar kesannya kepada calon penulis. Biarpun guru itu cuma tolong membelikan setem atau tolong poskan karya itu bagi pihak anak didiknya. Bayangkan jika karya itu terbit dan pelajar yang dibantunya itu mendapat suatu keyakinan luar biasa untuk terus menulis.
Pemilihan peserta adalah dalam bidang kuasa Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya hanya tahu siapa yang menjadi peserta sebaik-baik sahaja berada di dalam sesi ceramah yang pertama. Sewaktu siri bengkel ini berlangsung di Port Dickson, seorang daripada peserta bengkel itu merupakan guru Bahasa Melayu ketika saya berada di tingkatan 5 (SMKA SHAMS). Kini dia masih di situ dan menjadi Guru Cemerlang. (Aduh, kekok juga seketika kerana posisi kami sudah bertukar pada waktu itu. Namun, saya yakin diri bahawa sesi ini bukanlah saya 'mengajar' kembali apa yang pernah diajar, tetapi ini sesi perkongsian pengalaman kerana pastinya menjadi guru itu agak berbeza berbanding menjadi penulis).
Sesi di Terengganu, sempat bertemu dua penyair - Zizee Stapa dan M. Ariff - nama mereka biasa saya dengar dan baca karyanya, namun, inilah kali pertama bertemu apabila mereka menegur saya dan memperkenalkan diri. Demikianlah pengarang yang mudah mesra apabila berkenalan. Biasanya, nama kami sudah berkenalan terlebih dahulu berbanding orangnya secar peribadi.
Di Lahad Datu, saya teruja dengan layanan mesra daripada pesertanya yang bersemangat dan tidak kurang ceria. Boleh dikatakan hampir setiap sesi sama ada di Terengganu, Port Dickson atau Lahad Datu sendiri, pasti peserta 'pecah perut' sewaktu sesi membedah karya. Guru-guru yang sangat sporting ini memudahkan tugas saya membedah karya mereka tanpa ragu-ragu. Seperti mana mereka mahu anak-anak murid mereka belajar melalui proses pembelajaran termasuk sesi menegur kelemahan dan mengangkat kekuatan dalam menulis, mereka juga bersifat amat terbuka malah, mahu mendengar lagi apa yang boleh mereka perbaiki.
Gambar : Bersama-sama seorang daripada peserta di Lahad Datu - Hajah Elina
Saya sering meyakinkan mereka bahawa guru ialah insan bertuah yang memiliki segedung pengalaman untuk dijadikan bahan di dalam karya. Usah berfikir bahawa sebagai guru pengalaman mereka membosan kerana setiap hari menghadap rutin. Itu cuma sebahagian daripada realiti yang boleh diadun dengan imaginasi kita yang tidak terbatas.
Destinasi berikutnya : Kuching, Sarawak
Saya jadi teruja menanti apakah pengalaman yang bakal saya kutip untuk singgahan saya buat kali kedua di Negeri Bumi Kenyalang itu.
Gambar : Bersama-sama seorang daripada peserta di Lahad Datu - Andi Muliati
Ulasan