Writer's Block? Mari Melukis...

Ada ketika tertentu, ruang menulis - sama ada ruang masa, ruang tempat atau ruang perasaan - terganggu oleh pelbagai punca. Faham sahajalah, saya ada 5 orang anak yang memerlukan perhatian yang berbeza-beza. Adakalanya, mereka ini perlukan perhatian serentak. Pada masa yang sama pula, saya ada banyak tarikh akhir (deadline) yang mengejar!

Lalu, kalau saya naik angin, emosi saya sendiri yang terganggu. Selepas marah-marah, biasanya saya langsung tidak boleh menulis, kerana menulis memerlukan emosi yang tenang seperti air tasik yang tidak berkocak. Air tasik yang tenang itu biasanya akan memantulkan banyak refleksi. Demikian jugalah pemikiran kita. Apabila ada yang mengocak ketenangan itu, hatta dengan sebutir kerikil yang dibaling - 'ceplummm!' bunyinya, habislah ketenangan itu.

Sebagai penulis sepenuh masa yang terdedah dengan situasi ini - iaitu situasi mudah diganggu oleh pelbagai pihak, saya harus belajar untuk segera kembali kepada situasi yang tenang itu. Ya, bukan mudah untuk menenangkan diri. Tenang secara fizikal berbeza dengan jiwa dan perasaan yang tenang. Sesiapa sahaja yang pernah melaluinya pasti memahami apa yang saya maksudkan.

Malam tadi, oleh sebab semuanya berpakat ramai-ramai untuk meminta perhatian di kamar kerja saya, tiada pilihan lain bagi saya melainkan melayan mereka. Apatah lagi, anak-anak yang bersekolah sudah selesai peperiksaan. Buku-buku yang saya beli juga sudah habis dikhatamnya entah berapa kali. Mereka sudah menuntut 'Buku Raya' lagi - kali ini buku Raya Haji!

Kami pun bermain dengan warna. Mereka saya berikan warna air dan kertas kosong. Lukis dan warnalah apa sahaja. Saya turut sama melayani mereka. Cuma saya lebih suka mewarnakan botol-botol kosong. Warna akrilik yang masih berbaki itu saya gunakan untuk menghias botol-botol kosong yang telah dibasuh dan dikeringkan.

Inilah hasilnya :


Lihatlah bunga matahari, hasil Alang yang membuat percubaan menjadi Van Gogh dengan Sunflowernya. Along bermain dengan campuran warna dan Salsabila tampil dengan imej berani kerana hanya bermain warna-warna merah dan kuning. Yang penting semua gembira dan selepas itu boleh tidur. Saya pun kembali meneruskan kerja-kerja yang terganggu.

Ada sebuah buku tentang panduan penulisan yang pernah saya baca dahulu menyatakan : kalau kita tersangkut, terganggu atau kepada yang gemar menggunakan istilah writer's block, berhentilah seketika dan lakukan kerja-kerja lain, selain menulis - Melukis, memasak, berkebun, berjalan.

Bukankah sewaktu sedang masak atau sedang mandi, idea seringkali datang. Ini disebabkan pada waktu itu, otak kita sedang dalam idle mode. Seperti juga komputer kita yang dalam keadaan hidup tetapi tidak aktif akan menghidupkan screen saver, begitu jugalah otak kita.

Bermain dengan warna ialah satu bentuk terapi kepada minda yang lelah. Cubalah, saya semakin percaya yang kita tidak pernah terlewat untuk mula menulis, apatah lagi untuk bermain dengan warna!

Ulasan

Pei Pan berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Catatan Popular