Kembara Sastera 14 : Edinburgh Bhg. 4

Sepanjang jalan di Royal Mile ini banyak sekali muzium yang saya temui. Semua ini pernah disenaraikan di dalam buku "Reading Around Edinburgh" yang telah saya telah sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Scotland ini.

Antara yang sempat saya singgah ialah :

Museum of Childhood
Museum of Edinburgh
The People's Story

Museum of Childhood akan mengembalikan kenangan mana-mana orang dewasa ke zaman kanak-kanaknya. Banyak permainan dan barang-barang yang relevan untuk kanak-kanak masa kecil dipamerkan di muzium ini. Turut dipamerkan pakaian, kereta sorong (pram) zaman dahulu, komik, bedak cuticura (kanak-kanak Malaysia zaman 70-an dan 80-an barangkali pernah dengar dan lihat jenama ini).

Pintu masuk Muzium Zaman Kanak-kanak

Antara barang yang diperagakan dalam muzium ini


Lagi barang-barang zaman 60-an dan 70-an yang barangkali
terasa seperti pernah dilihat dan terasa seperti pernah nampak
Mengabadikan gambar dengan Cathy di dalam
Museum of Childhood, Edinburgh

Tidak cukup dengan itu, ada muzium khusus untuk orang biasa di Edinburgh. Ertinya muzium ini bukanlah khusus untuk orang-orang besar atau yang ada nama. Muzium ini dinamakan The People's Story Museum atau dipendekkan kepada The People's Story.

Perhatikan lokasi muzium-muzium di sini.
Hanya seperti rumah-rumah kedai di tepi-tepi jalan.
Yang penting ialah kandungan muzium, bukan sekadar
bangunan yang gah tapi tiada berisi.


The People's Story - a closed-up signage
Saya tidak berlama-lama dalam The People Story kerana mengejar masa. Namun, jika mahu tahu lebih lanjut tentang sejarah orang-orang biasa di Edinburgh, di sinilah tempatnya. Tidak kurang menariknya muzium ini. Kebanyakannya digambarkan oleh patung-patung yang diberikan pakaian pada zaman berkenaan dan diberikan juga latar dan nuansa yang bersesuaian.

Terus berjalan lagi sehingga terjumpa Museum of Edinburgh. Ini muzium khusus untuk bandar ini. Saya pun mula terbayang, apakah boleh tempat saya mengadakan Muzium Ampangan yang khusus memperkatakan sejarah bandar kecil ini sehinggalah ia menjadi pesat seperti sekarang. Pasti ada banyak sejarah suka duka yang boleh diabadikan. Saya sendiri yang telah tinggal di sini lebih 20 tahun juga tidak banyak didedahkan dengan sejarah tempat sendiri.

Dalam Muzium Edinburgh ini turut diberikan penekanan kepada asal-usul nama bandar dan artifak-artifak yang masih lagi disimpan dengan baik. Seperti biasa, kalau mahu sejarah sesuatu tempat, datanglah ke muziumnya. Kalau mahu tahu pengurusan muziumnya baik atau pun tidak, masuklah muzium itu. Kalau lama masuknya tak keluar-keluar, ertinya muzium itu sangat menarik. Jika tak sampai 5 minit masuk sudah keluar, ada banyak keadaan yang menyebabkan hal itu terjadi : 1) muzium itu membosankan 2) orang yang masuk itu memang tidak minat muzium!

Boleh dikatakan hampir setiap tempat di sepanjang The Royal Mile ini punya sejarah yang tersendiri kerana ini adalah tempat lama yang terletak di Old Town Edinburgh. Lantas, saya terpaksa menjadi sangat selektif dalam kembara ini. Kaki sudah mula terasa sengal-sengal dan lenguh. Si Cathy juga sudah kepenatan dengan kasut yang boleh tahan juga tingginya. Ketika saya masuk ke The People's Story dan Museum of Edinburgh dia memilih untuk duduk di bangku yang disediakan di luar muzium. Saya biarkan sahaja dan dia juga tidak dibatasi oleh masa, dan memang boleh sahaja mahu duduk berlama-lama di luar itu.

Menghampiri penghujung The Royal Mile, pandangan kami tiba-tiba tersentak kerana satu perubahan yang sangat drastik daripada seni bina lama serta-merta menjadi seni bina yang sangat moden.

Inilah Bangunan Parlimen Scottish (Scottish Parliament Building) atau dalam bahasa Gaelic dieja - PĂ rlamaid na h-Alba. Arkiteknya ialah Enric Miralles meninggal dunia pada tahun 2000 dan tidak dapat melihat bangunan ini siap apabila bangunan yang dirasmikan pada tahun 2004 (oleh Queen Elizabeth II).

Seni bina dindingnya yang sebelah Royal Mile (Cannongate)
 Bangunan ini terletak di bahagian hujung jalan The Royal Mile. Pangkalnya seperti yang sudah diceritakan dalam catatan terdahulu iaitu Istana Edinburgh. Apabila saya sampai ke sini, ertinya saya sudah berjalan kaki lebih daripada 1 batu (kerana Royal Mile itu sepanjang 1 batu lebih). Memang sangat tertarik dengan konsep seni binanya, walaupun moden dan sangat kontras dengan apa yang telah saya lihat dari Istana Edinburgh sehinggalah sebelum sampai ke bangunan ini.

Kedudukannya di muka simpang. Sebelah kiri dan depan ada sebuah lagi istana yang dipanggil Palace of Holyrood dan sebelah kanannya ialah bukit terkenal yang dipanggil Arthur's Seat (mendaki bukit ini juga perlukan sekitar 1 jam dan menggunakan kasut berjalan yang sesuai!). Bangunan parlimen ini juga ada pintu masuk untuk orang awam kerana ada ruang pameran tentang sistem pentadbiran dan bagaimana undang-undang diperbuat di sini. Fungsi ini sama seperti mana-mana parlimen di dunia (termasuk juga Parlimen Malaysia).
Saya dan Cathy bergambar menghadap Scottish Parliament.
Belakang kami ialah Palace of Holyrood

Masuk ke dalam Scottish Parliament seperti mahu daftar masuk ke lapangan terbang. Ada pemeriksaan keselamatan. Segala benda akan diimbas. Harus buka jaket, keluarkan laptop - rutin yang sama. Namun, berbaloi kerana ruangan pamerannya sangat intertif lagi informatif. Tidak cukup dengan itu, ada kafe dan kedai cenderamata. Saya cukup berbangga kerana dapat membeli sebuah buku puisi Robert Burns yang comel bersaiz lebih kecil dari tapak tangan dan sebuah beg sandang dengan cetakan bertulis "The Scottish Parliament".

Beg ini dijual dengan harga 99p sahaja!

Sejak dari Ambleside, Lake District lagi saya memang perlukan sebuah beg sandang kain kerana beg kertas yang ada sudah mahu hancur tangkainya pada bila-bila masa. Namun harganya sekitar 7 - 9 Pound. Terlalu mahal hanya untuk tulisan "Lake District", "Edinburgh" dan sebagainya. Untuk 99p (tak sampai 1 pound) saya sangat berbangga membawa beg ini ke hulu ke hilir sepanjang kembara ini!


Berhenti rehat, melepaskan lelah dan menulis. Di sini tiada siapa yang
nak menghalang kalau mahu duduk lama-lama, selagi tempat ini belum ditutup.

Lihat sahaja dalam gambar di atas, ketika Cathy merakam gambar saya sedang menulis di ruang legar Scottish Parliament yang luas lagi selesa itu, saya pastikan beg ini masuk ke dalam gambar. :-)

Petikan daripada buku catatan yang saya tulis dalam gambar di atas (disalin semula di sini) :
Pameran ini tampak sangat educational dan ada ramai pelajar yang buat lawatan juga. Di sinilah ditunjukkan bagaimana perbahasan dalam parlimen dilakukan. Jadi, apabila pelajar menonton bahas ala parlimen dapatlah mengikut contoh yang betul. Bahas bukan setakat meninggikan suara sahaja. Bahasa juga ialah cara berfikir dan kepantasan bertindak dalam kata-kata.
Oh, nampaknya entri ini sudah cukup panjang. Saya harus tawakuf (tangguh) catatan ini ke entri yang berikutnya. Saya belum lagi bercerita tentang Edinburgh Central Mosque dan University of Edinburgh serta restauran yang menjadi tempat berteduh J.K. Rowling sewaktu menulis sebahagian daripada novel Harry Potter.

Sehingga catatan yang berikutnya, selamat membaca dan komen-komen amatlah dihargai sebagai bekal semangat untuk menghabiskan catatan-catatan yang berikutnya!






Ulasan

Catatan Popular