Kembara Sastera 33 : London Bahagian 5

Satu daripada singa pada Nelson's Column.
Sumber imej dari sini.
Trafalgar Square menanti saya sebaik-baik sahaja melangkah meninggalkan Admiralty Arch. Istana Buckingham semakin sayup di belakang. Barangkali mengambil sempena hari lahir Ratu Elizabeth II, dan hari itu ialah hari Sabtu, Trafalgar Square yang lapang itu (sekitar 12,100 meter persegi) itu boleh menjadi sangat penuh. Saya tidak masuk ke bahagian tengahnya kerana orang terlalu ramai. Yang bersantai dengan patung-patung singa itu menjadikan saya tidak mungkin mengambil fotonya.

Empat ekor singa ini seperti mengawal Nelson's Column yang menjadi mercu tanda utama Trafalgar Square ini. Mengikut sejarahnya, singa-singa ini diukir oleh Sir Edwin Landseer.

Saya menghampiri kawasan lapang ini kerana seperti ada demonstrasi aman yang sedang berlangsung. Rasa ingin tahu menyebabkan saya menghampiri seorang daripada petugas yang sibuk menyebarkan risalah pada orang awam yang lalu lalang. Umum mengetahui bahawa Trafalgar Square telah menjadi medan banyak sekali demonstrasi sama ada yang aman atau pun yang bertukar ganas kemudiannya. Kebebasan bersuara benar-benar dijalankan di sini.

Petugas Socialist Worker. Kredit foto : Nisah Haron
Semakin saya hampir, demonstrasi di sini ialah protes tentang pakaian wanita. Mereka mahu bebas memakai apa sahaja. Premis mereka mudah : wanita tidak harus dimangsakan dalam jenayah rogol. Menurut mereka, wanita boleh pakai apa sahaja, termasuk pilihan pakaian yang saya pilih pada hari itu. Pun, kita mempunyai sejarah, peradaban dan jati diri yang berbeza. Saya tidak akan menghukum mereka atas apa yang mereka perjuangkan.

Protes mereka bermula dengan kenyataan Setiausaha Keadilan Ken Clarke yang menyentuh sensitiviti wanita tempatan. Pautannya boleh dibaca di sini :
http://www.thesun.co.uk/sol/homepage/news/3588801/Sex-attack-victim-demands-Ken-Clarke-sacking-for-endangering-women.html

Demonstrasi ini anjuran Socialist Workers Party.

Barangkali saya tidak setuju dengan sebahagian pilihan pakaian wanita di sana, namun saya setuju bahawa wanita itu tidak wajar dimangsakan apatah lagi dipersalahkan dalam kes-kes keganasan wanita. Yang wajar dihukum ialah pemangsa dan bukannya mangsa itu menjadi mangsa sebanyak dua kali.

Trafalgar Square. Asap kemerah-merahan itu kerana kapal terbang yang membawa
asap merah baru saja membuat lintas hormat di ruang udara Istana Buckingham.
Kredit foto : Nisah Haron
Trafalgar Square saya tinggalkan dulu buat sementara waktu. Biarlah medan itu menjadi saksi kepada setiap aktiviti manusia di situ. Apabila saya toleh kembali ke belakang, Big Ben membalas renungan saya dari jauh.
Menara jam Big Ben di hujung jalan. Dua ekor singa di kaki Nelson Column
turut sama setia di Trafalgar Square ini. Kredit foto : Nisah Haron
Saya tidak menunggu mereka lebih lama di situ kerana agenda pada hari itu masih panjang. Biarkanlah mereka dengan perjuangan masing-masing. Saya berjalan terus menghampiri National Potrait Gallery.

Pintu masuk National Potrait Gallery di belakang Trafalgar Square.
Kredit foto : Nisah Haron
Semua yang ada di dalam tempat ini ialah lukisan berbentuk potret. Tidak kurang hebatnya ialah kedai cenderamata yang menjual bukan sahaja menjual cenderamata unik tetapi buku dan alat-alat berkaitan dengan seni visual. Buku seni lukis paling banyak di sini, tentu sahaja tidak kurang buku berkaitan seni melukis potret.

Graphite Stick
Keadaan kedai yang sangat komprehensif ini menyebabkan saya tidak dapat tidak membandingkan juga kedai cenderamata di Balai Seni Visual Negara yang sangat sederhana dan tidak banyak yang boleh dimanfaatkan oleh pengunjung. Semoga pihak BSVN akan cuba menambah koleksi cenderamata supaya mereka yang tidak minat lukisan juga boleh memanfaatkan tempat itu.

Reviu buku ini di sini
Saya sempat mencapai buku The Literary Pocket Companion, buku tentang pakaian orang Inggeris (untuk kanak-kanak) dan sebatang graphite stick yang banyak membantu saya membuat lakaran sejak pulang.

Tidak jauh di sebelah National Potrait Gallery saya terpandang sebuah kedai bernama Cass Art London. Saya yang baru berjinak-jinak dengan dunia lukisan ini terasa seperti kanak-kanak yang dilepaskan dalam kedai mainan! Saya percaya produk di dalam kedai ini lebih kepada artis yang profesional. Namun, sebagai pelukis amatur, banyak juga bahan yang menarik di sini. Paling menarik, kedai ini penuh dengan kakitangan yang berpengalaman dalam bidang seni lukis dan boleh memberi khidmat nasihat tentang apa yang mereka ada untuk dipadankan dengan apa yang kita cari.

Cass Art London. Kredit foto : Nisah Haron
Saya suka dengan ungkapan yang diletakkan pada bahagian hadapan kedai : Let's fill this town with Artists. Kedai menjual hampir apa sahaja berkenaan alat-alat lukisan.

Ketika membayar harga alat lukisan, saya bertanya kepada juruwang, "Saya mencari Charing Cross Road. Bagaimana saya boleh ke sana?" 

Mata si gadis juruwang itu bercahaya sambil menerangkan, "Ini memang Charing Cross Road. Puan mahu mencari buku-buku terpakaikah? Sepanjang jalan ini memang ada banyak kedai buku."

Wah, giliran mata saya pula bercahaya (agaknya!). Terasa bahagia benar dengan jawapan itu. Inilah kemuncak perjalanan saya di London. Mencari satu lokasi penting yang telah membawa saya ke Tanah Inggeris ini.


Ulasan

Catatan Popular