Kembara Sastera Nisah Haron :
Promosi awal

Akan terbit di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012!

Selepas "Warkah Eropah" karya SN A. Samad Said, "Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom/Dublin" ini adalah satu lagi hasil karya penulis tempatan yang mengembara ke luar negara dan merakamnya dalam bentuk penulisan.

Dapatkan naskhah ini bermula 27 April 2012 di Gerai ITBM, Aras 3, PWTC.
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)


Klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas


Pada bahagian rangsang sari (blurb) buku (versi belum sunting) :

Benarlah kata pepatah Melayu “Jauh perjalanan luas pandangan”. Demikianlah kesimpulan yang dapat diberkas melalui pembacaan buku Kembara Sastera Nisah Haron. Nisah Haron, penulis sepenuh masa yang sanggup meninggalkan kerjaya profesionalnya sebagai peguam, kerana kecintaannya dan keyakinannya kepada dunia penulisan, khususnya bidang kesusasteraan, berjaya merakamkan pengalaman pengembaraannya dari United Kingdom ke Dublin yang bertemakan buku dan kesusasteraan.

Buku ini  akan membawa pembaca berkongsi rasa bahagia, rasa syukur, dan rasa kepuasan atas kejayaan penulis yang membuat tindakan berani dan nekad untuk mengembara secara solo ke benua yang asing buatnya. Seperti kata Sasterawan Negara A. Samad Said dalam prakatanya, “Nisah, anda sangat berani dan sangat merangsang. Suami dan lima orang anak anda juga sangat berani dan memahami. Bapak kagum!”

Buku ini memberikan pembaca pengalaman kemanusiaan dan keintelektualan tentang kehidupan yang bersifat universal atau sejagat; di mana bumi dipijak di sana langit dijunjung dan di mana-mana ada hitam putih kehidupan yang perlu disaring. Penulis menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang daripada pengamatannya untuk dibawa balik dan melahirkan hasil pengamatannya itu dalam bentuk buah fikiran atau idea baharu yang boleh dimanfaatkan di tanah airnya.  Terutama yang berkait dengan kebajikan para penulis; agar dihargai dan dikenang jasa mereka sepanjang zaman, biarpun mereka telah tiada lagi di dunia ini. Lantaran itu buku ini amat bermanfaat untuk semua peringkat; dari pemimpin negara hinggalah ke tahap para pelajar.

Lantaran buku ini ditulis oleh seorang penulis kreatif, perlukisan lokasi geografinya melalui kata-kata amat berkesan, hingga jelas terbayang di mata bagaikan pembaca turut berada di  tempat yang ceritakannya. Pembaca juga  dapat menyelami jiwa penulis riang, duka, getir dan tabah penulis menghadapi cabaran dalam merealisasikan cita-citanya. Sesungguhnya buku ini bukan hanya mengisi kisah kembara tetapi lebih daripada itu, tentang nilai persahabatan, nilai persaudaraan dan  motivasi bahawa dalam kehidupan ini pandanglah dengan pandangan yang positif  dan bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah akan memberi sebagaimana yang hambanya fikir.

- Editor

Ulasan

Catatan Popular