Nikmat Membaca Buku-buku Tentang Buku

Nota : Ini ialah catatan yang panjang tentang buku, kedai buku, perpustakaan, membaca dan segala-gala yang berkaitan dengannya.


Menyusun buku di rak buku di dalam Kutubkhanah Nisah Haron merupakan kerja santai sampai menyusun kembali minda yang berserabut. Ya, menyusun buku ialah suatu terapi yang memberikan ketenangan. Di samping itu, saya dapat kemas kini senarai buku yang mungkin terselindung di belakang buku lain (rak buku saya berlapis); atau mungkin ada yang saya terlupa langsung saya pernah memilikinya. Inilah akibatnya apabila tidak menyusun buku secara sistematik dengan menggunakan kaedah tertentu sama ada mengikut sistem Library of Congress atau Sistem Perpuluhan Dewey.

Namun sebagai penulis, saya ada cara untuk menyusun buku di rak saya supaya saya sendiri dapat mencarinya semula. Sistem Library of Congress atau Sistem Perpuluhan Dewey mungkin lebih sesuai jika buku-buku yang sama dikongsi dengan beberapa orang pengguna yang lain. Jadi, antara pengkategorian atau pembahagian rak meliputi (tetapi tidak terhad kepada) :
  • Sasterawan Negara 
  • Kumpulan Puisi
  • Novel 
  • Kumpulan Cerpen
  • Kumpulan Drama 
  • Autobiografi 
  • Budaya 
  • Sastera Umum dan Kritikan 
  • Agama 
  • Buku Mewah 
  • Kembara
  • Bahasa
  • Fiksyen Sains
  • Motivasi
  • Tentang Penulisan 
  • Buku-tentang-buku
Ada beberapa rak yang tiada nama khusus, tetapi saya tahu kandungan buku pada rak tersebut. Isinya barangkali rencam tetapi ia memudahkan saya mencari buku tersebut.

Baru-baru ini saya menyusun semula kategori "buku-tentang buku". Kandungan rak ini ialah buku yang memperkatakan tentang buku, pembacaan, dunia buku, kedai buku, perpustakaan dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Ini juga antara rak kegemaran dan banyak buku di dalamnya yang sama baca berkali-kali. Andai ke kedai buku juga, saya akan menghabiskan masa di rak yang mempamerkan buku-buku di dalam kategori ini.

Ex Libris - esei-esei Anne Fadiman yang penuh kecindan antara buku terawal yang saya baca dalam kategori ini
Entri ini sekadar mahu saya jadikan dokumentasi tentang buku-buku yang termasuk di dalam kategori ini. Selebihnya, ia menjadi makluman kepada sahabat-sahabat buku yang mungkin menggemari judul bacaan buku-tentang-buku ini.


Sebelum membaca buku Anne Fadiman yang berjudul Ex Libris sewaktu saya berada di kampus, saya tidak mengetahui kewujudan jenis buku yang berada di bawah kategori yang saya namakan "buku-tentang-buku" ini. Saya terasa seperti seorang kanak-kanak yang mendapat gula-gula yang manis - yang belum pernah saya rasakan. Baru tahu bahawa ada buku yang memperkatakan tentang dunia buku dan kegilaan manusia di dalamnya. Dalam dunia saya yang serba kecil pada ketika itu, saya fikir saya seorang sahajalah yang menggilai buku dan saya mungkin spesis terakhir!

Buku rampaian tentang buku, penulis dan sastera
Rupa-rupanya tidak. Melalui sahabat pembaca seperti Jiwa Rasa, Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, Najibah Abu Bakar dan Nor Azzah Mo'min (sekadar menyebut beberapa nama) saya menjumpai lebih banyak buku yang berada di bawah kategori ini.

Kebanyakan buku ini dalam bahasa Inggeris, sehinggalah saya bertemu dengan buku Keanehan dan Keunggulan Buku, iaitu esei-esei tulisan Shahrom TM Sulaiman. Saya amat tertarik dengan isu-isu tentang buku, pembacaan, perpustakaan dan kedai buku yang diungkap penulis.

Buku-tentang-buku di dalam bahasa Melayu
Beberapa judul buku tentang buku di dalam bahasa Melayu.
Tiada di dalam gambar : Bukuku Kubuku (Roosfa Hashim & Jeniri Amir) dan
Kapsul Nurani : 50 Catatan Inspirasi Penulis-Pembaca
Tidak lama selepas itu muncul pula bukunya Ada Apa Dengan Buku  dan Buku Kekasih (kedua-duanya oleh Shahrom TM Sulaiman juga). Perlahan-lahan koleksi buku saya tentang buku, di dalam Bahasa Melayu bertambah dengan Pemuliharaan Buku dan Manuskrip (Wan Ali Hj. Wan Mamat), Bahasa Sastera Buku - Cetusan Fikiran (Hassan Ahmad), dan buku-buku yang di dalam gambar di atas. Buku-buku yang diterbitkan di Indonesia juga menjumpai jalan pulang ke rak saya ini seperti Spiritual Reading dan Karena Buku Senikmat Susu.


Judul Nilai Masa di Sisi Ulama' (Ustaz Hj Shuhadak) menghimpunkan kisah ulama-ulama silam yang menghargai masa dan enggan melepaskan walau sesaat dalam menuntut ilmu dan idiosinkrasi mereka dalam membaca. Buku ini boleh dibaca bersama-sama dengan buku Aku, Buku dan Cinta karya Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (terbitan Al-Hidayah Publishers).

Biblioholisme (Shahrom TM Sulaiman) merupakan esei yang lebih baharu tentang dunia perbukuan di dalam dan luar negara. Untuk memahami lebih mendalam tentang penerbitan buku, wajar dihadam buku Dr. Hamedi Mohd Adnan iaitu Memahami Penyuntingan Naskhah dan Memahami Penerbitan Buku. Mungkin kandungan buku Dr. Hamedi ini lebih menjurus kepada aspek teknikal dalam penerbitan buku, namun tidak salah bagi seorang pembaca biasa mendalami dan memahami dunia penerbitan buku. Bagi yang mahu menerbitkan buku sendiri, kedua-dua buku ini juga amat baik.



Antara lain di bawah kategori ini juga ialah buku kanak-kanak yang mengangkat tema buku. Ada dua yang saya temui (sepatutnya ada tiga, mungkin dipinjam orang barangkali). Bookspeak (oleh Laura Purdie Salas dan ilustrasi oleh Josée Bisaillon) dan Good Books, Good Times (puisi-puisi dipilih oleh Lee Bennet Hopkins dan ilustrasi oleh Harvey Stevenson). Puisi-puisi tentang buku tidak pernah saya temui diangkat sebagai sebuah buku lengkap di dalam bahasa Melayu. Jika puisi tentang buku secara eceran mungkin saya pernah temui dalam karya-karya Mahaya Mohd Yassin, misalnya.


Buku yang mengangkat tempat sebenar di dunia dalam karya sastera
Selain membaca, kembara juga merupakan satu daripada aktiviti yang saya cuba rancang saban tahun. Untuk mengembara, saya lebih gemar mencari lokasi yang berkaitan dengan sastera seperti mana yang pernah saya tulis dalam buku Kembara Sastera Nisah Haron : United Kingdom & Dublin (ITBM, 2012). Hal ini lebih banyak saya temui setelah saya pulang dari kembara tersebut. Buku Novel Destination dan Storybook Travels menyenaraikan mercu tanda sastera yang sama ada disebut di dalam novel mahupun tempat kelahiran penulis berkenaan. Misalnya, Key West, Florida disenaraikan sebagai tempat kediaman Ernest Hemingway, sementara Latin Quarter di Paris, ditandakan sebagai lokasi sastera yang berkait rapat dengan penulis itu (dan penulis-penulis lain seperti James Joyce, F. Scott Fitzgerald) pada tahun 1920-an. Kedua-dua buku tersebut mengangkat tempat yang sedikit berbeza bergantung kepada karya dan penulis yang disenaraikan. 

Reading on Location memberikan sinopsis setiap buku yang dikaitkan dengan tempat sahaja. Susunannya mengikut negara. Misalnya, jika saya mahu ke Australia, saya akan cara karya yang mengangkat atau mewakili negara berkenaan. Untuk itu, saya akan temui nama-nama seperti Peter Carey (penerima Hadiah Man Booker sebanyak dua kali) atau Markus Zusak yang menulis buku The Book Thief. Meskipun penyenaraian itu tidak lengkap, namun itu bukanlah persoalannya. Keciciran ialah perkara biasa di dalam sebarang bentuk penyenaraian. Pada saya, yang pentingnya, saya ada tempat untuk bermula. 

Memoir tentang buku
Apabila seseorang penulis itu mengungkapkan pengalamannya dengan buku, kedai buku atau perpustakaan, saya anggap itu memoir tentang buku. Di bawah koleksi ini, saya satukan memoir yang ditulis oleh Richard Booth, pelopor Kampung Buku yang pertama di dunia iaitu di Hay-on-Wye, sempadan Wales dan England. Pengalaman berada di kedai buku legenda, Shakespeare & Co ditulis oleh Jeremy Mercer di dalam bukunya Time was Soft There (juga di dalam edisi yang lain, dijudulkan sebagai Books, Baguettes & Bedbugs - kedua-duanya buku yang sama, hanya judul yang berbeza). An Alphabetical Life juga pengalaman Wendy Werris bekerja di kedai buku. Alberto Manguel mencatat pengalamannya membaca buku di dalam A Reading Diary manakala, You've Got to Read This Book! menceritakan pengalaman dan rekomendasi setiap penulis terhadap buku yang memberi kesan kepada diri masing-masing. 

Nota : Buku The Yellow-Lighted Bookshop juga amat saya syorkan di dalam kategori memoir tentang buku. Ketika entri ini ditulis, buku ini sedang dipinjam seseorang.

Sumber di sini.
Kini, saya sedang membaca buku tentang sepasang suami isteri yang membuka kedai buku terpakai di Big Stone Gap di dalam memoirnya The Little Bookstore of Big Stone Gap: A Memoir of Friendship, Community, and the Uncommon Pleasure of a Good Book. Kisah susah senang menjadikan sebuah rumah lama sebagai kedai buku di tengah-tengah kekeliruan masyarakat setempatnya tentang pentingnya tempat itu mempunyai kedai yang sedemikian - apatah lagi kedai buku terpakai. 

Termasuk juga di dalam senarai ini ialah buku tentang Shakespeare & Company sendiri yang saya pesan melalui online dari kedai buku berbahasa Inggeris yang amat terkenal di Kota Paris. Jika pencinta buku telah sampai di Paris, maka tidak lengkaplah perjalanan anda itu jika tidak singgah ke kedai buku Shakespeare & Co. di tebing kiri Kota Paris, di dalam kawasan yang dipanggil Latin Quarter. Buku ini tiada tetulang dan dijilid dengan saddle stitch (staple di tengah-tengah sahaja). Namun, isinya mengungkapkan sejarah tempat ini. Ia wajar dibaca bersama-sama dengan buku Time Was Soft There. Kedua-duanya saling melengkapi.


Buku-tentang-buku
Foto di atas ialah koleksi buku-tentang-buku (books-on-books). Ini antara koleksi terawal yang saya bina di bawah kategori ini. Buku tentang cara-cara membaca yang klasik seperti How to Read a Book oleh Mortimer J. Adler, ialah yang wajib baca selain A Passion for Books. Reading like a Writer (Francine Prose) mengajar cara-cara membaca yang baik jika seseorang itu mahu menjadi penulis.

Buku-buku tentang perpustakaan (tentunya tentang buku juga) amat menarik untuk diperhatikan. Melihat apa yang ada di rak buku orang lain ialah suatu pemerhatian yang mengasyikkan. Kita akan membina pelbagai andaian tentang pemiliknya dan menimbulkan persoalan mengapa buku yang sedemikian berada di dalam koleksinya. 

Dari sekejam-kejam Hitler, dia juga ada perpustakaan peribadinya dan buku-buku itu menjadi sebahagian daripada yang membentuk dirinya (Lihat Hitler's Private Library). Library in the Ancient World mengungkapkan perpustakaan pada zaman silam sejauh penulisan di atas tablet-tablet batu pada zaman Assyria; manakala The House of Wisdom (buku terbaharu saya di dalam koleksi ini) mengisahkan Perpustakaan Baitul Hikmah, perpustakaan terawal dalam tamadun Islam pada zaman Khalifah Harun Al-Rashid.




Jika orang lain menghias rumahnya dengan bunga-bungaan dan hiasan dalaman yang tipikal, saya lebih suka menghias dinding rumah dengan buku, peta dan lukisan anak-anak. Antara panduannya, saya peroleh daripada buku At Home with Books (seperti dalam gambar di atas). Buku ini penuh dengan gambar rumah-rumah yang menghias menggunakan buku dan rak buku. Bagi yang suka memasak, menyelak buku resipi sahaja sudah memberikan semacam kepuasan. Bagi saya, menyelak buku ini sahaja memberikan saya kebahagiaan dalaman. Ia amat mengujakan!


Di dalam koleksi saya ada buku tentang kaedah menjaga buku dan penjilidan iaitu Bookbinding and Care of Books : A Handbook for Amateurs, Bookbinders and Librarians. Douglas Cockerell bukanlah sebarang penulis. Beliau merupakan penjilid buku yang merevolusikan penjilidan moden, mempunyai syarikat penjilidan sendiri di London (pada tahun 1897) dan turut mengajar di London County Council Central School of Arts and Crafts. Cockerell turut menghasilkan judul yang lain seperti Some Notes on Bookbinding (1929) dan Bookbinding as a School Subject (1939). Untuk koleksi bahasa Melayu, saya hanya ada buku Wan Ali Wan Mat iaitu Pemuliharaan Buku dan Manuskrip (DBP). Walaupun bukunya tentang pemuliharaan, kandungannya memperkenalkan saya tentang jenis-jenis kertas, dakwat dan kaedah penulisan manuskrip. Buku ini pernah membantu saya dalam penulisan novel Tawarikh Cinta (Utusan Publication, 2008).  

Antara karya kreatif terawal (di dalam koleksi saya) yang memperkatakan tentang buku dan kedai buku ialah tulisan-tulisan Christopher Morley. Parnassus on Wheels, kisah penjual buku bergerak (mobile bookseller) yang menggunakan kereta kuda pada zaman tersebut. Kesinambungan kisah ini ialah The Haunted Bookshop. Walau bagaimanapun, kedua-dua buku ini boleh berdiri sendiri sebagai sebuah novel. 

Mungkin antara yang menarik tentang Parnassus ialah bagaimana seorang wanita yang biasanya menjalankan tugas-tugas matrilineal, meninggalkan semua itu dan menjadi penjual buku bergerak. Di samping mencari abangnya yang hilang, dia turut menjual dan membaca buku sehinggalah dia sampai ke tempat abangnya ditemui. Di dalam The Haunted Bookshop pula, kereta kuda yang dijadikan kedai buku bergerak itu pula telah dijual lalu wanita itu (setelah berkahwin) membeli sebuah kedai untuk dijadikan kedai buku. Lalu, dia mengusahakan kedai dengan suaminya. Perkataan haunted di dalam judul tidak menjadikan buku ini berada di dalam kategori seram. Tiada unsur-unsur hantu terlibat di dalam novel ini.

Novel tentang buku, kedai buku dan pembacaan
 Sesudah itu, saya semakin gemar membaca novel yang mengangkat tema buku dan yang seumpamanya. Lalu koleksi buku-tentang-buku saya mula bercambah kepada subkategori novel tentang buku pula.

Antara karya kreatif tentang buku dan pembacaan. Ini antara kegemaran saya.
Penggemar karya-karya epistolari (karya di dalam bentuk surat) boleh menikmati novel epistolari yang diungkapkan oleh Helene Hanff di dalam 84, Charing Cross Road dan kesinambungannya di dalam Q's Legacy (ia lebih berbentuk memoir yang diceritakan seperti sebuah novel).(Saya pernah menulis entri tentang 84, Charing Cross Road di sini.) Tidak ketinggalan, sebuah fiksyen epistolari yang amat mengujakan iaitu The Guernsey Literary and Potato Peel Pie Society (Mary Ann Shaffer & Annie Barrows) yang membuat saya berangan-angan untuk sampai ke Pulau Guernsey di selatan England! 

Lagi novel tentang buku
Trilogi novel Inkheart, Inkspell dan Inkdeath (Cornelia Funke) ini antara novel tentang buku yang penuh dengan pengembaraan dan suspens. Sayang sekali saya belum sempat melengkapkan trilogi ini. Masih belum membeli Inkspell. Dengan itu, pembacaan Inkdeath masih lagi ditangguhkan sehingga buku Inkspell diperoleh kerana Inkspell iaitu buku kedua di dalam trilogi ini. Novel Inkheart juga sudah difilemkan.


Ini pula antara yang agak terkini di dalam koleksi novel tentang buku : Geraldine Brooks mendapat perhatian saya apabila saya membaca karyanya Nine Parts of Desire. Wartawan yang mempunyai kemahiran bercerita ini menyebabkan buku itu dapat saya habiskan dengan pantas. Melalui People of the Book pula, kisah pemuliharaan buku dan terdapat latar perpustakaan di Sarajevo yang musnah serta buku-buku yang dapat diselamatkan serta dipulihara.

Koleksi karya kreatif tentang buku yang lebih terkini dalam simpanan saya
The Book Thief, saya fikir tidak perlu saya perkenalkan lagi. Adaptasinya yang berjaya di layar perak telah melonjakkan nama Markus Zusak bukan sahaja di Australia, malah ke seluruh dunia. A Novel Bookstore, saya beli atas syor dari Goodreads.com (masih lagi dalam senarai 'sedang dibaca') manakala Mr. Penumbra's 24-Hour Bookstore juga sedang dihabiskan. Kedua-duanya ada elemen misteri di dalam sebuah kedai buku aneh. Tidak kurang mengujakan juga. 

Begitulah cara saya membaca. Saya akan membaca beberapa buah buku serentak. Baca sedikit di sini, kemudian capai buku yang lain dan seterusnya. Nanti, saya boleh sahaja kembali ke buku yang pertama tadi. Akhirnya, kesemua buku itu akan saya habiskan juga. Memang ada buku yang langsung tidak saya habiskan kerana mungkin bukunya tidak menarik langsung. Itu pernah berlaku dan saya masukkan ke dalam senarai 'aborted reading'

Demikian, catatan panjang saya tentang buku - subjek yang boleh membuat saya berhenti makan minum, tidur malah apa-apa sahaja yang sedang saya lakukan. Idea menulis entri ini timbul apabila ramai yang menandakan saya (tag) supaya menyenaraikan 10 buku terbaik yang memberikan kesan kepada diri saya. 10 buku adalah jumlah yang sangat tidak adil. Setiap buku itu ada sejarah yang berbeza dan kesan yang tidak sama kepada pembacanya. 

Setiap buku itu ada maknanya yang tersendiri. 
Adakalanya, kita yang mencari buku itu, dan adakalanya, buku itu yang mencari kita!

Kalaulah saya boleh muat naik nikmat membaca itu kepada anda, tentulah sudah lama saya lakukan. Anda pula dapat memuat turun nikmat yang sedang saya rasakan ini.
Oh, alangkah!


Ulasan

faizalnizam berkata…
Baca sehingga selesai tulisan ini, membuatkan saya mahu membaca buku-tentang-buku juga. Terima kasih Kak Nisah.
Nisah Haji Haron berkata…
Faizal Nizam,
Lama tak dengar khabar! Terima kasih kerana meninggalkan komen di laman ini. :-)
ammar0466 berkata…
asslamualaikum, saya dapat tahu pasal buku "How to Read a Book by Mortimer J. Adler" dari shekh yusuf hamzah, dia rekomen buku ni, jadi nak tanya kat mana boleh dapatkan buku ni kalau boleh murah yang second pon tak kisah? thanks
Nor Azzah berkata…
Menarik. Ada beberapa buku yang juga ada dalam koleksi saya.
kiaisepuh berkata…
Post kali ini amat mengujakan agak lewat malam saya terlihat pos ini, tidak sempat saya haniskan. Pagi ini saya masuk kembali ke blog ini untuk membacanya.

Banyak manfaat yang saya dapat, terutamanya buku-buku yang belum saya ada dalam simpanan oh rupanya masih banyak lagi buku yang menceritakan tentang buku.

Cuma kelemahan saya ialah pembacaan dalam Bahasa Inggeris, rupanya dalam bahasa Inggeris juga lebih banyak buku yang membicara tentang buku.
Nisah Haji Haron berkata…
ammar0466,
Alaikumussalam. Buku "How to read a book" ada dijual di Kinokuniya.

Kalau mahu yang terpakai, hubungi Sdr Firdaus Pozi Rozi di FB atau pautan ini : 1) Firdaus: https://www.facebook.com/firdaus.pozirozi?fref=ts

2) Saifuddin: https://www.facebook.com/saifuddinamran?fref=ts
Nisah Haji Haron berkata…
Puan Nor Azzah,
Ingin tahu juga buku yang berada di dalam koleksi puan. Nanti bolehlah kongsi di FB dan tandakan saya. :-)
Nisah Haji Haron berkata…
kiaisepuh,
Tak mengapa, mulalah sedikit demi sedikit. Yang penting bergerak. Tak kiralah bacaan itu banyak atau sedikit. Biar sedikit tetapi berkualiti.

Terus membaca!
fadzil yusof berkata…
Assalamualaikum,

Terima kasih kerana entri teramat baik dan berfaedah bagi saya.

dunia buku, lebih dari kesederhanaan

dunia cipta yang luar biasa.

Minta maaf banyak, puan.
Nisah Haji Haron berkata…
Fadzil Yusof,
Terima kasih. Semoga pembacaan sdr juga turut bercambah, insya-Allah.
wankamarul701 berkata…
Semua gambar-gambar buku di atas, Puan punya ke? Patut la Puan antara penulis top di Malaysia =)
Masshah berkata…
Assalamualaikum Kak Nisa, Wah... teruja saya membaca entri ini, biarpun saya tak cekap bahasa Inggeris, namun ia tetap memberi motivasi untuk saya terus membaca terus membaca. Ada juga beberapa buah buku tentang buku dalam bilik buku saya. Saya sering mengulang bacanya untuk mendapatkan motivasi diri dari pembacaan tersebut.

Terima kasih kerana menyuntik semangat diri saya agar terus membaca.
MZP berkata…
Salam kak Nisah. Kak Nisah ada baca novel dari Shannara series, karya Terry Brooks... buku dah sepuluh tahun lebih, saya cari di pameran buku lama pun tak ketemu
Unknown berkata…
Salam.nak tanya di mana saya boleh dapatkan buku berjudul 'Nilai Masa di Sisi Ulama' (Ustaz Hj Shuhadak) dan buku Aku, Buku dan Cinta karya Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (terbitan Al-Hidayah Publishers), terima kasih..
Unknown berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Catatan Popular