Suara Hati Paling Dalam
Ada masanya, kita mencari solidariti. Mencari persamaan-persamaan agar kita dapat bergabung dengan mereka yang sealiran dan satu pemikiran. Itulah yang mengukuhkan solidariti - sebuah platform persamaan.
Adakalanya, kita letih dengan keriuhan yang tidak menawarkan sebarang makna. Lalu, kita mencari ruang yang paling peribadi.
Sudah sekian lama, saya tinggalkan blog ini. Namun, ia masih lagi bernyawa. Ia catatan lama. Ada catatan yang masih saya setujui sehingga kini. Ada yang tidak lagi kerana kita semua berubah dalam meneruskan perjalanan.
Dalam keriuhan media sosial, kita semakin sukar mencari pemikiran yang jernih, dalam dan mampu melihat ke dasar perkara. Lalu, saya kembali mencari ruang untuk bersendiri. Lagipun berfikir bukanlah mudah jika kita tidak dapat membuka ruang di dalam diri kita sendiri.
* * *
Tahun 2020 tidak bermula dengan begitu baik. Banyak gelora dan petaka yang menimpa tanah kami. Dalam kekecohan ini, saya dan suami menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke-20. Ya, sudah dua dekad pertama perjalanan kami bersama-sama.
Dua puluh tahun bukanlah ruang masa yang singkat. Anak-anak kami hampir kesemuanya sudah bersekolah menengah, kecuali si bongsu yang masih homeschool kerana itulah kaedah yang paling sesuai untuknya buat masa ini. Meladeni anak autisme sepertinya, setiap hari sememangnya amat mengujakan.
Kita pun semakin matang (hendaknya) bersama-sama pertambahan usia peribadi dan juga usia perkahwinan. Ibarat sebatang sungai, usia yang bertambah akan memperlahankan arusnya agar lebih tenang untuk terus menghadap muara.
Ulasan