Amanah Baharu 2020
7 Mac 2020
Apabila Ketua Satu PEN sesi 2018/2019 mencalonkan nama saya sebagai Ketua Satu yang baharu, kemudian dipersetujui pula sebulat suara oleh ahli mesyuarat, saya berasa sungguh terharu. Saya kehilangan kata-kata. Sebak mengapung dan bimbang bermain di tubir mata. Mengenangkan amanah dan harapan orang.
Doakan saya!
Berikut ialah ucapan penangguhan sebagai Ketua Satu PEN sesi 2020/2021:
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang berbahagia, Puan Mahaya Mohd Yassin, Ketua Satu PEN sesi 2018/2019 dan ahli-ahli jawatankuasa PEN 2018/2019.
Yang dikasihi, semua ahli PEN yang sempat berhimpun di sini sejak awal pagi sehingga lewat tengah hari ini.
Sesungguhnya kesyukuran yang paling tinggi kita rafa'kan kepada Allah SWT yang melimpahkan nikmat dan keizinan-Nya untuk kita berpeluang bersama-sama berbahagi pengalaman dan ilmu supaya kita kekal relevan dalam wilayah IR4.0 sama ada sebagai individu, mahupun sebagai sebuah persatuan bernama PEN.
PEN bukanlah matlamat kita, sebaliknya PEN ialah wasilah untuk kita meneruskan suatu perjuangan. Ada banyak perkumpulan yang boleh kita pilih untuk menyatakan rasa kekitaan, namun pada hari ini kita semua memilih untuk bersama-sama PEN kerana kita ada rasa cinta yang sama, iaitu cinta akan bahasa, bangsa, agama dan negara.
Seperti kata pantun Melayu:
Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk, kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok, kedua pandai.
Saya telah bersama-sama PEN sejak remaja. Saya telah menjadi ahli sejak akhir tahun 1990-an lagi. Kemudian perlahan-lahan diberikan kepercayaan sebagai ahli jawatankuasa yang dilantik AJK, kemudian menjadi AJK, Setiausaha 2, Setiausaha 1, dan Ketua 2.
Oleh itu, dengan rasa penuh takzim dan rendah hati, saya terima amanah terbaharu ini. Kepercayaan yang tuan-tuan dan puan-puan berikan kepada saya dan juga ahli-ahli jawatankuasa PEN 2020/2021 yang baru dilantik, amat kami hargai dengan berasa terharu.
Saya percaya bahawa tradisi dan kesinambungan dalam sesuatu pengurusan itu amat penting. Lalu, saya berharap agar AJK yang terdahulu, yang lebih berpengalaman, dapat terus memberikan sokongan dan juga teguran, khususnya kepada saya yang masih memerlukan tangan-tangan lama yang masih sudi membimbing.
Kata ungkapan Melayu lama:
Adat rumah ada tuanya
Adat kampung ada penghulunya
Adat ke negeri ada rajanya;
Tua disebut membawa tuah
Tua tidak tersia-sia
Tua ada tunjuk ajar
Tua umur tua pengalaman
Tua tempat minta petua
Harapan kita semua agar Puan Mahaya, dan Datuk Hajah Sabarriah, suri-suri teladan PEN, dapat terus menjadi penasihat kami dalam banyak perkara apatah lagi pengalaman mereka yang amat luas sama ada sebagai pemimpin mahupun sebagai penulis dan aktivis di peringkat serantau.
Dengan ini saya memohon mandat dari ahli-ahli mesyuarat agar dapat memberikan persetujuan supaya Mantan Ketua Satu dan mana-mana AJK terpilih secara automatik sebagai penasihat PEN kategori individu.
Tuan-tuan dan puan-puan ahli-ahli PEN yang dihormati,
Saya bukanlah yang terbaik dalam kalangan ahli PEN untuk memegang jawatan ini. Namun, atas kesungguhan dan kepercayaan yang diberikan, saya terima, insya-Allah.
Dalam himpunan ungkapan Budayawan Tenas Effendi ada menyebut, pemimpin itu ialah:
Yang didahulukan selangkah,
Yang ditinggikan seranting,
Yang dilebihkan serambut,
Yang dimuliakan sekuku.
Jadi, saya bukanlah sehebat mana dan kita tidak banyak berbeza. Di medan kepimpinan saya belum lagi teruji. Namun, saya berdoa agar PEN dikurniakan barokah - keberkatan masa, keberkatan jemaah dan keberkatan dalam pengkaryaan.
Harapan saya hanyalah untuk membawa PEN melangkah ke tahun 2020 dan seterusnya, dengan lebih yakin dan mengurangkan naratif bahawa PEN ini sekadar NGO kecil - yang selalu bergantung harap. Malah, PEN akan meneruskan pembinaan sinergi dan jaringan dengan institusi yang lebih berdaya seperti institusi pendidikan, perbankan, serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain, insya-Allah.
Penulis pada era ini bukanlah menulis hanya pada buku, tetapi era semasa ini telah meletakkan penulis sebagai penyedia kandungan dalam pelbagai platform. Lantas PEN harus bersedia menghadapinya dengan yakin.
Antara misi PEN bagi tahun 2020 Dan seterusnya ialah untuk mendapatkan dokongan ahli-ahli yang lebih muda dan untuk itu, PEN harus melalui proses rejuvenasi atau diremajakan semula. Generasi muda ialah tonggak dalam membina kesinambungan persatuan. Esok lusa, kita pula akan melangkah pergi. Oleh itu, generasi yang bakal ditinggalkan ini wajarlah dipersiapkan.
Semoga kita dapat melahirkan lebih ramai pelapis PEN sama ada sebagai penulis mahupun aktivis serta meraikan semua genre persuratan - termasuk karya sastera, non-fiksyen dan penulisan akademik.
Insya-Allah, dokongan daripada tuan-tuan dan puan-puan, ahli-ahli PEN, amatlah menjadi pemberat kepada kelangsungan ini.
Terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang amat memberi makna besar kepada PEN, semoga Allah sahaja yang membalasnya. Saya doakan tuan-tuan dan puan-puan selamat sampai ke destinasi masing-masing selepas ini, insya-Allah.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mohon maaf atas sebarang keterlajuran kata-kata, perbuatan dan isyarat yang pernah menyinggung mana-mana pihak. Semoga kita bersama-sama meeruskan perjuangan demi bahasa, agama, bangsa dan negara, insya-Allah.
Sekian.
وبالله التوفق والهدايه والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ulasan