Laporan Panel Hakim - Mencari Locus Standi

I

Pada blurb novel ini tercatat :

Bahawa dia anak angkat, bukan satu rahsia.
Bahkan dia anak angkat yang sunguh-sungguh bahagia, sampai alpa menyusur leluhur.

Ini kisah percubaan membolot harta pusaka,
akan hal loba menjadikan orang buta.
Kerana dia anak angkat, disangka dia kosong kuasa, lenyap suara

Sungguh-sungguh dia terasuh oleh ilmu.
Dan undang-undang mengenalkannya akan makna hak,
menunjukkan jalan menegakkannya.

Eliza Jasmin,
dia mencari tempat untuk berdiri, locus standi,
menggenggam hak untuk bertindak.



II

LAPORAN PANEL HAKIM


Tidak banyak karya di Malaysia yang mengangkat isu guaman untuk menggerakkan penceritaan, lebih-lebih lagi dalam genre novel remaja. Namun begitu, manuskrip novel "Mencari Locus Standi" telah membuktikan bahawa ilmu guaman berjaya dihadirkan dalam bentuk penulisan kreatif yang menarik dan meyakinkan. Pengarang mengangkat tiga jenis undang-undang utama, iaitu undang-undang sivil, syariah dan adat sebagai subjek cerita. Subjek undang-undang yang didramatasikan menerusi nilai-nilai persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang dengan penggarapan watak Eliza Jasmin (E-Jay) sebagai teraju utama, menunjukkan ilmu undang-undang bukan sekadar tempelan semata-mata dalam karya ini.

Kehadiran tiga komposisi undang-undang tersebut (sivil, syariah dan adat) dalam karya ini menjelaskan peri pentingnya undang-undang dalam pembentukan sahsiah. Ini bersesuaian dengan peradaban ummah yang menggariskan keperluan undang-undang bagi mengawal kerakusan hedonisme dan menguruskan kehidupan secara harmonis dan teratur. Dalam hal lain, penggarisan undang-undang dilihat sejajar dengan saranan Islam yang menuntut manusia melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Antara kekuatan lain karya ini ialah wujudnya beberapa persoalan yang menuntut daya fikir pembaca untuk memahaminya, misalnya kemalangan Ibu Mustika dan identiti misteri Yazid, bapa kandung E-Jay. Persoalan ini kekal dalam kemisteriannya sehingga ke akhir cerita. Hal ini dapat diterima kerana dalam kehidupan memang wujud beberapa persoalan yang tidak mampu ditafsirkan oleh manusia dengan mata zahir, tetapi harus dicari maknanya dengan mata batin. Teknik tersebut menjadikan karya ini menarik kerana upaya mengaktifkan daya taakulan dan imaginasi pembaca.

Pengolahannya yang konvensional melalui urutan peristiwa secara kronologis dan penyisipan teknik imbas kembali secara terkawal menjadikan karya ini mudah ditelusuri, khususnya oleh pembaca remaja. Dengan sifatnya yang demikian, karya ini dapat menjadi sumber ilmu undang-undang dalam bentuk hasil seni. Ini secara tidak langsung mengakrabkan remaja dengan satu subjek yang berat dan kompleks.

Episod persembahan drama pentas yang dijayakan oleh E-Jay dan rakan-rakan sekuliahnya adalah fungsional kerana dapat memperlihatkan bahawa seni lakon adalah selari dengan realiti kehidupan. Di samping itu, subplot ini juga mengupas persoalan undang-undang berkaitan dengan harta intelektual. Secara strukturalnya muatan ini berfungsi mengukuhkan pembinaan naratifnya.

Dinamika sikap E-Jay yang bersungguh-sungguh mempertahankan haknya dalam perebutan harta pusaka, mempertaruhkan bakatnya dalam penghasilan skrip drama pentas, dan pencarian asal usulnya menunjukkan kekuatan peribadi orang muda dalam mengharungi kemelut. E-Jay mendapat kekuatan peribadi melalui acuan budaya dan hukum adat yang menjadi pegangan hidupnya. Pencarian lelulurnya di Seri Menanti mengajak pembaca agar turut mengambil tahu susur galur dan akar diri. Keteguhan peribadi E-Jay sewajarnya menjadi teladan kepada khalayak remaja.

Pertautan nilai insani dan emosi dilakar dengan baik menerusi karya ini. Pengarang memperlihatkan ikatan persahabatan E-Jay dengan Wardah Aniss yang pada awalnya berkonflik kerana pertentangan pegangan masing-masing dalam mencapai cita-cita. Tetapi penyelesaiannya yang merapatkan mereka semula dan seterusnya bersama-sama memburu kejayaan, dengan sendirinya mengangkat nilai ketulusan dan keikhlasan dalam persahabatan.

Keindahan bahasa dan subplot yang relevan turut meninggikan nilai estetik karya ini. Perbilangan adat digunakan secara organis, sesuai dengan lingkungan ceritanya. Koordinasi teknik dan gaya bahasa demikian memberi impak yang bukan sekadar menjadikan karya ini ilmu undang-undang berseni, bahkan karya ilmu undang-undang bervariasi.

Konsep orientasi ilmu dalam karya ini menyarankan agar remaja menghayati dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian, berbanding dengan gejala orientasi peperiksaan yang membungkus pemikiran pelajar. Kecekalan dan kesungguhan E-Jay mengharungi kemelut hidup berbekalkan ilmu di luar dan di dalam diri menunjukkan citra anak muda yang tegar.

Pengarang mengajukan kepentingan ketahanan diri pelajar dalam mendepani apa-apa dugaan dengan yakin, berani dan tawakal. Pemaparan begini menghantar mesej kepada anak muda agar sentiasa "sedar diri" dan "kenal diri" bagi mempersiapkan langkahnya untuk menjadi dewasa. "Mencari Locus Standi sesungguhnya bukan sekadar mengisahkan pergulatan manusia dengan undang-undang dari sudut emosi, malah membuka cakerawala subjek yang kompleks ini.

III

Selebihnya terpulanglah kepada pembaca untuk menilai...

Ulasan

Catatan Popular