Kurik Kundi Merah Saga


Apa salahnya pantun di atas? Bunting atau kain panji-panji ini dicetak oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Bolehkah kita maafkan kerana ia bukan dicetak oleh DBP?

Apa yang salah pada pantun yang sangat molek ini?

SATU

Frasa yang betul ialah Yang kurik itu KUNDI - bukannya kendi. Tak percaya, sila rujuk Kamus Dewan.

Kundi Mn sj biji saga yang digunakan untuk menimbang emas (beratnya 1/24 mas), kenderi

Kendi I sj bekas air yang bermuncung (bercerat) dan bertangkai (dibuat drpd tembikar atau tin)

Kendi II; burung ~ 1. sj burung gajah, burung pisau raut, numenius phaeopus variegaus; 2. sj burung, burung raut, Nemenius arquata ocientalis.

Kurik bintik-bintik, rintik-rintik.

Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian, yang kurik itu kundi kerana ia merupakan sejenis biji saga. Buah ini mengikut orang yang pernah melihatnya memang kurik. Buah saga pula seperti mana yang kita tahu memang merah warnanya.

Frasa yang kurik itu kundi, yang merah itu saga ini sangat berkait dan menepati ciri-ciri pantun yang baik. Kundi dan saga merupakan buah yang sejenis. Sebab itu budi dan bahasa juga dikaitkan dalam bait pantun ini bagi menunjukkan betapa kedua-duanya sukar untuk dipisahkan.

Kendi pula sangat jauh untuk dikaitkan dengan buah saga tadi.

DUA

Pantun bukan begitu cara menulisnya. Pantun tidak boleh ditulis dengan centre justification. Pantun empat kerat mesti ditulis seperti berikut:

Baris pertama mesti dimulakan rapat ke kiri dan diakhiri dengan koma.
Baris berikutnya mesti indent 5 kali atau tab sekali dan diakhiri dengan koma bertitik (semi colon).
Baris ketiga sama seperti baris pertama, rapat ke kiri dan diakhiri dengan koma.
Manakala baris akhir sama seperti baris kedua tadi tetapi diakhiri dengan koma.

TIGA

Bagaimana dengan frasa yang molek itu budi. Mungkin ini satu bentuk variasi pantun, walaupun biasanya yang disebut ialah yang baik itu budi. Budi biasanya orang kaitkan dengan budi yang baik, bukannya budi yang molek. Tetapi ini tidaklah mencacatkan makna pantun. Namun, kalau ada yang mahu berkongsi pendapat silakan.

Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk mengajar itik berenang, tetapi sekadar berkongsi ilmu yang sedikit dan memanjang apa yang telah saya pelajari.

Ulasan

mfrstudio berkata…
assalamualaikum kak nisah,
pertama,saya rasa pantun di atas pasti ada penciptanya, adakah kak nisah tahu siapakah pencipta pantun di atas?
kedua, saya ingin bertanya akan hukum berkenaan 'centre justification' yang disanggah oleh kak nisah itu adakah berasas kepada hukum menulis pantun sejak dahulu yakni yang ditulis oleh orang melayu kita sejak tulisan jawi, ataupun hanya hukum yang ditetapkan oleh kumpulan sastera moden?
harap jika tak keberatan ingin mendapat jawapannya dari kak nisah andai kak nisah mempunyainya.

sekian, andai tulisan saya ini sendiri ada banyak kecacatan bahasa.

wasalam.
mardija.M.sofian berkata…
assalammualaikum, kak nisah.
Saya teringin sangat untuk tahu, adakah 'centre justification' juga tidak dibenarkan dalam sajak?

Harap kak nisah boleh beri jawapan.
:D
Terima kasih~

Mardhiah Mohd Sofian
Czech Republic

Catatan Popular