Memahami Bahasa Adat


Semalam berkesempatan melihat satu lagi fenomena adat yang berlangsung di Negeri Sembilan. Biarpun saya sendiri anak negeri ini, namun saya kurang mendapat pendedahan tentang hal ehwal adat yang amat indah ini. Saya begitu kagum dengan Dato' Lembaga yang berbahasa sopan, lembut dan bahasa adat yang berirama itu cair di mulutnya.

"Kalau alim nak kan doanya,
Kalau kaya nak kan emasnya"

Majlis semalam ringkas tapi bagi saya penuh bererti. Majlis ini merupakan mukadimah kepada Bicara Kuasa untuk waris-waris. Kisahnya: Nenek suami saya telah meninggal dunia agak lama dahulu. Kemudian meninggalkan beberapa orang anak perempuan. Tanah pusaka di Negeri Sembilan hanyalah diwarisi (bukan dimiliki - ingat tu) oleh orang perempuan. Tujuannya, supaya orang perempuan tidak merempat.

"Pipit jantan tidak bersarang" - jadi biarlah orang perempuan yang punya rumah. Antara sebab lain juga kalau adik perempuan/kakak yang menjaga rumah pusaka, tidaklah abang/adik lelaki segan datang untuk tidur baring di rumah tersebut.

Sambil bercerita tentang adat bersendikan syarak, serta pembahagian yang telah dimuafakati oleh sekelian ahli waris, Dato' Lembaga juga menambah sedikit sebanyak tentang sejarah adat istiadat. Ah, saya yang tidak ada kena mengena dalam majlis semalam, tumpang gembira kerana mendapat peluang sebegini. Banyak ilmu yang saya perolehi. Kalau ada kesempatan, akan saya abadikan di dalam mana-mana karya kelak.

Anak cucu perlu tahu tentang adat serta memahaminya. Betapa indahnya susunan Adat Perpatih tetapi sayang, ramai yang salah faham dan terus membina prasangka...

Ulasan

Catatan Popular