Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Mungkin ramai yang dah tahu. Tapi saja nak beritahu lagi. Sekarang sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC hingga Ahad ini 30 Mei 2004. Sememangnya acara tahunan yang paling saya tunggu-tunggu. Bukan sahaja saya pastinya, ulat-ulat buku yang lain juga. Pesta tahun ini terasa lebih besar (dari segi fizikal) kerana booth melimpah hingga ke aras pintu masuk. Tahun sebelumnya, biasa di tingkat 3 dan 4 sahaja. Seperti biasa, saya akan pergi dua kali. (Mana cukup sekali).

Adakalanya saya terasa lucu memikirkan hal ini. Orang Cina biasanya bekerja bermati-matian sepanjang tahun supaya dapat dibelanjakan untuk Tahun Baru Cina - sama ada untuk dihabiskan di meja judi, angpow dsb. Tapi saya, kumpul duit sepanjang tahun, hanya untuk dibelanjakan masa pesta buku ini. Saya sanggup berhabis kerana buku. Seperti yang pernah saya kata dulu, buku dan ilmu adalah pelaburan hayat yang besar dan boleh diwariskan di anak cucu.

Namun yang paling tidak menyenangkan di Pesta Buku kali ini ialah agen-agen dari sebuah syarikat bahasa yang tak reti bahasa. Tak habis-habis menahan pengunjung di mana-mana sekalipun untuk mempromosi produk bahasanya. Saya tahulah mereka memang ditugaskan untuk menarik seberapa banyak pengunjung untuk membeli produk mereka. Tapi mereka juga patut menghormati hak pengunjung sama ada untuk membeli atau sebaliknya. Hampir di setiap sudut pesta buku, malah hampir di mana-mana ada sahaja yang menahan saya. Mula-mula tu memanglah tolak dengan baik. Tapi bila tangan dah sarat di kiri dan kanan, jari dah mula merah memijar, ditanya pulak dengan soalan-soalan 'bodoh'. Mulalah rasa nak naik angin.

Adakalanya mereka ini juga menghalang pengunjung yang mahu pergi ke gerai yang lain. Oleh kerana mengelak mereka, pusing ikut jalan lain. Langsung hilang kelibat gerai yang dituju. Kan tak bagus begitu? Tapi siapalah kita yang nak buat aduan dan pada siapa pula aduan boleh ditujukan. Sabar sajalah...

Esok ada satu majlis sastera di KL lagi. Harap dapat bertemu ramai penulis dan teman-teman lama.

Ulasan

Catatan Popular