Jumaat, Jun 18, 2004

Indahnya Adat; riuhnya mengejar bola yang satu

Selesai Pesta Adat, saya demam teruk. Barangkali kerana menyanggupi banyak perkara. Memang tumbang dua tiga hari. Pun, saya menggagahi memanjat tangga mahkamah pada hari Selasa. Apa nak dikata, itu sudah jadi tanggungjawab peguam. Sakit atau tidak, amanah pada anak guam dan mahkamah harus dijaga.

Alhamdullilah, Pesta Persukuan Adat Perpatih berlangsung meriah. Pelancaran antologi Puisi Bonda Kandung - Gema Serunai Hati 8 disempurnakan oleh DYMM Yam Tuan NS. Nampak seronok dia malam tu, dengar Pak Samad dan Dr. Siti Zainon berpuisi. Itu belum campur dengan penyair-penyair PEN sendiri seperti Mahaya Mohd Yassin, Rafeah Abd. Rahman, Rahimi NS, Wagiman NS, Mohd Zulkifli Mohd Noor dan suara lunak merdu Farah Nabila Noor Anuar mendendangkan lagu Kaparinyo.

Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini saya terasa bagai ditarik-tarik untuk mendalami pengetahuan tentang adat ini. Sesungguhnya, Adat Perpatih sangat indah tetapi seringkali disalah anggap oleh banyak pihak. Insya-Allah, andai diberi kesempatan waktu, mahu sahaja saya mengkaji budaya tanah leluhur sendiri. Adakalanya, saya terasa seperti E-Jay dalam novel saya Mencari Locus Standi yang begitu passionate terhadap Adat Perpatih walaupun dia baru sahaja mengenalinya.

Saya juga mendekati Adat ini secara langsung apabila menerima pakai adat sewaktu hendak bernikah dengan suami. Pada mulanya terasa canggung kerana saya tidak terlibat dengan adat secara langsung. Ibu saya bukan dari NS. Ayah saya dari sini tapi suku yang dimilikinya tidak boleh diturunkan kepada saya dan adik kerana suku hanya boleh diwariskan oleh ibu.

Pun bila memesrai ibu mertua dan keluarga sebelah suami, banyak yang sama pelajari tentang adat. Betapa indah susunan adat ini. Sayang sekali, orang-orang muda terus rajuk ke bandar. Tinggallah 'Bonda Kandung' mempertahankan rumah gadang sendirian...


II

Lucu ada, kasihan pun ada. Demam bola melanda serata dunia. Biarpun kali ini hanya peringkat Eropah. Hatta yang tinggal di Antartika pun terasa bahangnya. Yang paling terkesan di hati saya ialah golongan ilmuan, tak kiralah ustaz, imam, bilal, idealis agama yang selama ini pernah mengatakan supaya barangan Yahudi perlu diboikot dan sebagainya, alih-alih bila datang bola, semuanya menjadi penyokong setia.

Hilang sudah tentangannya terhadap Yahudi, Barat dan agenda yang sering ditentang habis-habisan. Tidakkah mereka sedar bahawa siapa yang menaja pertandingan bola sepak dunia supaya setiap orang dapat menonton. Kesal saya dengan sikap golongan yang kononnya vocal menghentam Yahudi dan Barat tetapi tewas di padang bola.

Masa berpolitik, tak kiralah orang UMNO, PAS dan entah apa-apa parti lagi saling mengutuk dengan mengatakan Islam dialah yang lebih baik. Tapi bila masa bola, lupa dah semua perkara. Seolah-olah kuasa bola anjuran Yahudi dan Barat ini boleh menyatukan siapa sahaja hatta orang Islam sendiri.

Saya bukan anti-sukan. Permainan ini tidak boleh disalahkan tetapi ia telah sampai satu peringkat yang melemahkan orang Islam sendiri. Dan masih ada yang tidak sedar ataupun sekadar cakap tak serupa bikin.

Fikirkanlah...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Anda jangan sebarangan mengatakan sebab bola semua diabaikan..perhati semula kenyataan anda!!

Related Posts with Thumbnails