Terkenang Leluhur

Entri asal bertarikh : 29 September 2007

Beberapa hari yang lalu, seorang blogger mohon supaya saya terjemahkan lirik lagu "Ayam Den Lapeh" ke dalam Bahasa Melayu standard. Terkejut juga dengan permintaan tersebut.

Ya, saya punya leluhur dari tanah Minang. Tetapi, setakat ini, saya masih belum diberi kesempatan menjejaki mereka. (Seperti E-Jay dalam Mencari Locus Standi yang sangat bahagia dengan keluarga Emir Johan, sehingga tidak berasa terpanggil untuk mencari leluhurnya). Abah saya memang orang Minang tetapi apabila berkahwin dengan ibu saya (keturunan Melaka), hilang telor minangnya.

Apatah lagi sebagai anak, saya tidak selalu mendengar abah saya bertutur dengan dialek minang. Jadi, saya tidak berapa menangkap loghat ini sepenuhnya. Sepatah dua tu, ya. Lantas, untuk menterjemah lagu tersebut, saya minta bantuan abah dan berikut adalah hasilnya. Jika ada pembaca yang fasih bercakap dalam dialek minang dan terjumpa sebarang kesilapan terjemahan, silalah betulkan, supaya dapat dimanfaatkan bersama-sama.

Kata orang banyak yang boleh hilang dalam terjemahan (lost in translation). Jadi, untuk memahami pemilihan perkataan dan kisah di sebalik lagu ini, perlu juga ambil tahu latar budaya masyarakat Minang itu sendiri. Ada iktibar yang cuba disampaikan oleh lagu ini. Bukan sekadar cerita seekor ayam yang terlepas terbang. :-)

Lirik Ayam Den Lapeh

Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan ka Andaleh
Dima ati indak karusuah
Ayam den lapeh

ai ai… ayam den lapeh

Mandaki jalan Pandaisikek
Basimpang jalan ka Palupuah
Di ma ati indak kamaupek
Awak takicuah

ai ai… ayam den lapeh

Siku capang siku capeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan karimbo
Oi lah malang juo

Pagaruyuang Batusangka
Tampek bajalan urang Baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo

ai ai… ayam den lapeh

Den sangko lamang nasi tuai

Kironyo tatumpah kuah gulai
Awak ka pasa alah usai
Oi lah malang denai

O hoi … ayam den lapeh

Lagu "Ayam Den Lapeh" dalam bahasa Melayu standard (perkataan dalam kurungan ialah penerangan saya, setakat pengetahuan saya yang agak terbatas ini) :

Luruslah jalan Payakumbuh (nama tempat)
Berliku jalan Andalas (nama lain bagi Sumatera)
Bagaimana hati tidak rusuh (susah hati, gundah gulana)
Ayamku terlepas. (secara tersirat bermaksud, hajat yang tidak kesampaian)

Mendaki jalan Pandaisikek (jalan ke tempat bernama Pandaisikek itu curam/mendaki)
Bersimpang siur jalan ke Palupuah (juga nama tempat)
Bagaimana hati tidak berkata
Aku tertipu *('awak' dalam bahasa Minang ialah aku)

Sikucapang sikucapeh *
Seekor terbang, seekor terlepas
Terbanglah ke hutan rimba
oh, malang sekali


Pagaruyung Batusangkar (kedua-duanya nama tempat)
Tempat berjalan orang Baso ** (nama tempat antara Bukittinggi ke Batusangkar)
Sekejap-sekejap duduk termenung
Oi terkenang juga ai ai… ayamku terlepas (buruk pulak bunyi terjemahan ini :-) )

Kusangka nasi tuai itu lemang
Rupanya kuah tertumpah kuah gulai
Saya ke pasar, tapi pasar dah tutup/habis ***
oh, malanglah saya.

O hoi … ayam den lapeh

Sekian, terima kasih.

Untuk lirik lagu-lagu minang yang lain seperti Mudiak Arau, Anak Salido, Buguih Lamo dan banyak lagi, silalah ke laman Lirik Lagu Minang Lamo.
Kalau mahu download lagu oleh penyanyi asalnya Oslan Hussein boleh ambil di sini :

Nota tambahan :

Selepas bincang-bincang lagi dengan abah saya, berikut ada sedikit penambahan yang boleh dikongsi bersama :

* Sikucapang sikucapeh = gambaran usaha yang dijalankan tetapi tidak berhasil.

** Baso = satu wilayah kecil di Minangkabau

*** Awak ka pasa alah usai = gambaran aku pergi ke pekan sari / tamu, tetapi aktiviti jual beli sudah berakhir.




Ulasan

Yang bernama Siti berkata…
Salam Nisah,

Saya juga mencuba menterjemahkan lagu itu waktu membacanya di blog tersebut. Membaca terjemahan Nisah, baru jelas kepada saya terjemahan 'tiok sabanta'. Saya meneliti beberapa artikel dalam bahasa Minang dan dari situ saya mendapat makna tiok ialah tiap. Namun tidak pula terlintas di kepala sebanta itu sebentar :-).

Saya bukanlah orang Minang mengikut spesifikasi Minang sekarang. Namun apabila bertanya dengan ayah dan ibu, ternyata keturunan kami memang berasal dari sana. Nenek moyang kami datang bersama kumpulan pertama meneroka Negeri Sembilan. Dan setakat yang mereka ingat, sehingga generasi mereka, belum ada lagi yang berkahwin dengan orang luar.
hani salwah yaakup berkata…
Salam Kak Nisah,

Memang saya sukakan liriknya yang beritma. Namun tak pernah faham lirik minangnya. Terima kasih atas terjemahan yang sekurang-kurangnya buat saya faham apa yang hendak dimaksudkan lirik ini. Indah ;)
Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nis,

Baguihlah dan terima kasih banyak-banyak di atas terjemahan lirik ini.

Selain versi Oslan Hussein, saya juga ada versi Kak Nitaaaa(sengaukan suara) dan Elly Kassim. Pernah dengar versi yang lebih klasik dari tu di Klasik FM tapi tak sempat dengar sape penyanyinya.

Yang versi Elly Kassim tu dia nyanyi:

Babelok jalan ke Andaleh...dan

Manurun jalan ke Palumpuang(?).

Mana-manalah...yang penting ini pun lagu favourite den.
Abang Long berkata…
Salam Ramadhan wahai Puan Nisah. Syukur Alhamdulillah. TERIMA KASIH kerana kesudian Puan Nisah untuk menterjemahkan lirik lagu tersebut kedalam Bahasa Melayu standard. Jasa Puan Nisah amat saya hargai dan sanjungi. Semoga segala usaha Puan Nisah dalam perjuangan untuk memartabatkan ketinggian budaya bangsa diredhai Allah hendaknya. AMIN.
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum kak,
wah..terima kasih! saya suka akan lagu ini dan selalu sangat dengan dalam Klasik Nasional F.M walaupun kurang jelas akan maksudnya (hanya beberapa patah perkataan sahaja yang saya faham). tapi saya tahu, liriknya memuji minangkabau. entah kenapa tak terfikir pula nak minta akak terjemahkan..apa2 pun terima kasih. buat saya lebih faham bila mendengar.

saya pun macam akak, pendengar klasik nasional.hehe :D
Unknown berkata…
Salam Ramadan!

Saya tak berapa gemar lagu ini sehinggalah saya menjejakkan kaki ke Padang dan ranah Minang.

Lagu ini menyebutkan tempat-tempat yang telah saya lawati. Terkenang kedamaian Batusangkar.

Terbayang kerajinan tangan di Pandaisikek, tempat suri saya membeli telekung tenun.

Saya jadi sedih bila terkenang Pagar Ruyung. Rumah Gadangnya iaitu Istana Minangkabau yang popular itu
hangus terbakar, tak sampai sebulan selepas kami ziarahi.

Hari ini, bila-bila berkumandang lagu ini, tiba-tiba jadi syahdu!
Nisah Haji Haron berkata…
Kak Siti,
Betul. 'tiok' bermakna setiap.

Hani Salwah,
Hendaknya begitulah...

Rai,
Memang ada beberapa versi lagu ni. Frasa "babelok jalan ke Andaleh" (berliku jalan ke Andalas) pula tujuannya supaya rima hujungnya jadi sama.

Luruihlah jalan Payokumbuah
Babelok jalan ke Andaleh
Dima ati indah karusuah
Ayam den lapeh.

Tapi, memang betul yang penting rentaknya sangat menarik. Ada satu dalam simpanan saya - versi entah siapa, tapi telah di'remix'kan. Jadi lagu cha-cha pun ada.

Abang Long,
Harap saya telah sempurnakan permintaan :-) Oleh sebab permintaan ini, saya telah buat search dan jumpa banyak lagi lagu minang. Oh, ayah saya yang paling seronok!

Nasriah,
Hidup Klasik Nasional!

Jiwa,
Hati saya sangat meruntun untuk ke Padang - mahu lihat sendiri tempat asal leluhur saya. Namun, belum sampai 'seru'nya lagi. Insya-Allah, niat di hati mahu bawa abah saya sekali. Dia sangat kepingin untuk ke ranah minang seperti saya.
Zulf berkata…
Lagu ini sebenarnya mengisahkan kekasih yang lepas ketangan orang (ini kiasan dalam bahasa Minang).
Sama halnya dengan lagu "Bugih Lamo", itu sebenarnya juga kiasan.
Bugih lamo, atau kain lama (bugih itu nama kain) dimaknakan sebagai Janda Lama (bekas istri).

Sikucapang sikucapeh itu artinya usaha yang dilakukan berantakan semuanya.
Dalam konteks lagu Ayam Den Lapeh ini, artinya, sang pemuda menghendaki/mengejar 2 orang gadis dengan harapan salahsatunya bisa di dapat, namun kiranya tak satupun dari mereka yang dia dapatkan.

Berikut saya coba terjemahkan lirik Ayam Den Lapeh tersebut:

Ayam Den Lapeh (Terjemahan Indonesia)

Luruslah jalan ke Payakumbuh
Berbelok jalan ke Kayu Jati
Bagaimana hatiku tak kan rusuh (merana)
Ayam ku (kekasihku) terlepas

Mendaki jalan ke Pandai Sikek
Bersimpang jalan ke Biaro
Bagaimana hatiku tak kan mengumpat/menyesali
Ayam ku (kekasihku) terlepas

Sikucapang Sikucapeh --> kacau berantakan
Seekor terbang seekor lagi terlepas
Terbanglah mereka ke rimba/hutan
Oh malangnya

Pagaruyung dan Batusangkar
Tempat berjalan/bertamasya/pesiar orang Baso
Duduk termenung tiap sebentar
Oh terkenang/teringat juga ayam ku yang lepas

Lemang ku sangka nasi tuai
Rupanya tersiram kuah gulai
Daku kepasar, pasar telah usai (*)
Oh malang nasibku ...

Ayamku terlepas


(*) kiasan dari usaha yang tak membuahkan hasil


Regards,

Fadli ZF
http://laguminanglamo.wordpress.com
Salak berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Mama berkata…
Salam Puan Nisah
Saya orang N.S. Keturunan sebelah mak dari Minang. Memang dah lama saya nak tau makna sebenar lagu ini. Tapi tak tau nak tanya siapa. Ini kali pertama saya 'terjumpa' blog Puan ini terus saya terbaca terjemahan lagu ini. Sukanya hati... terima kasih banyak Puan
alien berkata…
betul cakap d'Ranah tu,
pemandu pelancong kami masa di sana ada bercakap macm tu jugak
Mantap, walaupun kamu orang malaysia tapi masih bangga menjadi keturunang ranah minang, saya juga orang minang dan tempat tinggal di ranah minang sangat bangga dengan kamu....

Catatan Popular