Iqra' - Bacalah...

Betapa agungnya! Allah SWT menurunkan ayat pertama @ perkataan pertama melalui Al-Quran hanyalah dengan perkataan Iqra'. Anehnya, perkataan pertama itu bukan bermaksud, sembahyang, puasa, dsb. Ia bermaksud "bacalah..."

Berapa ramai di antara kita yang benar-benar membaca? Ramai yang membaca Al-Quran, alhamdulillah. Penuh dengan tertib, tajwid dan nada lagu yang tidak kurang lunak merdu. Tetapi berapa ramai pula yang memahami maksud setiap perkataan yang dibacakan. Ramai di antara ibu bapa yang menghantar anak mengaji, tetapi setelah khatam Quran, seolah-olah tiada susulan lagi.

Saya mengimpikan (mudah-mudahan Allah perkenankan) agar anak-anak saya nanti setelah khatam Quran, masih lagi boleh bertadarrus dan bermuzakarah membincangkan isi kandungan Al-Quran itu melalui tafsiran. Sama-sama duduk berdiskusi sekeluarga dan memberikan pendapat tentang kandungan kitab suci ini.

Subhanallah, tiada kitab yang lebih indah daripada Al-Quran itu sendiri.

Biarlah penafsiran itu nanti hanya sebaris ayat sehari dalam jangkamasa yang singkat, seperti selepas solat. Tetapi mampu membuatkan kami semua berfikir.

Ramai di antara kita yang membaca. Termasuklah buku-buku yang kian melambak di pasaran. Statistik pembaca memang meningkat. Tetapi, apa yang dibaca? Adakah ia satu latihan merangsang minda atau sekadar bacaan santai yang tidak memberi satu bentuk kudapan pun pada akal.

Pernah saya tulis kata-kata ini di dalam satu artikel. Bahan bacaan yang mudah-mudah @ popular @ santai ini ibarat pemanis mulut @ dessert. Semua orang sukakan dessert. Kalau biasa ke hotel-hotel, makanan yang sering mencuri tumpuan biasanya dessert.

Tetapi bahan bacaan yang bermutu, berisi, berilmu dan merangsang minda itu, ibarat makanan yang berkhasiat. Sukar dihadam tetapi kebaikannya sangat banyak untuk tubuh badan. Terlalu banyak manisan boleh mendatangkan mudarat.

Oleh itu, seimbangkan pemakanan untuk minda kita juga.

Tentu ada banyak rahsia yang perlu dirungkai mengapa Allah memerintahkan manusia supaya membaca terlebih dahulu sebelum melakukan ibadat yang lain.

Ulasan

Catatan Popular