Selamat Tinggal Jakarta

9 Ogos 2004

Entri sebelum ini ialah yang terakhir tentang Palembang. Tetapi itu tidak bermakna ia yang terakhir tentang lawatan saya ke Indonesia. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya dan Asmiaty tidak pulang ke Kuala Lumpur seperti mana yang dijadualkan pada 8 Ogos 2004.

Pertama, kerana Asmiaty telah meminta Pak Maman S. Mahayana supaya mendapatkan untuknya beberapa buku sastera Indonesia. Apabila idea itu diutarakan kepada saya, saya pun cepat-cepat bersetuju. Alasan yang kedua, kerana saya tidak ada kes mahkamah, janji temu ataupun apa-apa hal pada hari Isnin itu di Seremban. Ketiga, kebetulan saya ada seorang kenalan di Jakarta Selatan yang ingin saya singgah di rumahnya.

Atas alasan-alasan itu, kami memaklumkan permintaan kami untuk menukar tiket dan waktu pulang pada En. Zulkeply (DBP) selaku urus setia. Sebelum bergerak, saya telah menghubungi teman saya yang bernama Iqbal Manaf itu. Bapanya yang menjawab panggilan dan amat berbesar hati menerima kedatangan kami. Kebetulan, bapanya orang Padang dan barangkali Iqbal yang pernah datang ke rumah saya dan berkenalan dengan bapa saya (yang berketurunan Minang) kedengaran amat excited bila saya katakan saya hendak ke rumahnya.

Pemandu Pusat Bahasa menghantar kami ke tempat tersebut. Kami disambut oleh ibu Dewi Rukmini (isteri Iqbal) dan anak-anaknya. Sejenak berehat dan berbual-bual dengan bapak Manaf (bapa Iqbal). Beliau fasih berbahasa Inggeris, Belanda, Minangkabau, Arab dan Bahasa Indonesia tentunya. Pernah bertugas di Pusat Bahasa sebelum bersara. Banyak buku yang dikeluarkan daripada almari simpanannya. Apatah lagi Asmiaty pensyarah Sastera di UMS, seronok kami melihat beliau dengan buku-buku yang dikongsi bersama-sama kami. Hatta, kami dapat melihat Kamus Bahasa Melayu tulisan asal R.O. Windstead. Kebanyakan buku itu sudah tidak dicetak lagi. Kami pun mengambil kesempatan memfotokopi beberapa judul.

Usai solat Maghrib, ibu Dewi dan anak gadisnya, Azzahratul Azizah membawa kami ke Pondok Indah Mal - sebuah kompleks membeli belah. Rumah mereka memang tidak jauh daripada kawasan Pondok Indah. Pondok Indah merupakan kawasan elit - penyanyi dangdut Inul juga tinggal di sini. Masyarakatnya berbeza dengan masyarakat yang tinggal di kawasan Senen - tempat hotel kami dulu. Dapat lihat semacam high society di sini.

Di Pondok Indah Mal, tentu sahaja yang dicari ialah kedai buku. Gramedia - rangkaian buku yang terbesar di Indonesia menyediakan banyak pilihan kepada kami. Sedar tak sedar, kami beli dua beg buku setiap seorang. Hinggakan kata anak gadis Ibu Dewi, "Orang Malaysia ni kok beli buku sampai mau diborongnya sebuah toko, ya bu?"

Kami ketawa bila Ibu Dewi menyampaikannya pada kami. Tetapi memang iya, buku-buku di sini jauh lebih murah daripada di Malaysia. Baik buku-buku baru, mahupun buku-buku klasik. Lagipun buku-buku Indonesia tidak boleh didapati di Malaysia semudahnya.

Sebelum pulang ke rumah, kami dibawa singgah ke warung menjual Sate Padang. Itu pesan bapak Manaf sebelum kami keluar. Memang benar, sate ini berbeza dari Sate Kajang. Kalau Sate Kajang dicecah dengan sambal kacang, Sate Padang dicelup di dalam kuah kari tetapi pekat kerana bercampur tepung sagu. Sate Padang hanya sate daging dan organ-organnya. Tidak ada sate ayam. Saya memilih sate daging kerana tekak masih belum selesa dengan sate lidah, perut dan sebagainya. Yang lain-lain tu, rasanya saya masih lagi belum cukup adventurous untuk mencuba!

Esoknya kami dibawa ke Pusat Bahasa. Kami rasa bertuah kerana teman-teman kami semuanya tidak berkesempatan ke sini. Bertemu kembali dengan teman-teman dari Pusat Bahasa yang juga ke Palembang tempoh hari. Seperti yang dijanjikan, kami berjumpa dengan Pak Maman S. Mahayana. Beliau dengan bermurah hati membawa kami ke pejabat penerbitan Horison. Horison ialah majalah sastera Indonesia yang setaraf dengan Dewan Sastera. Sisipan Lembaran MASTERA dimasukkan di dalam Horison seperti mana juga Dewan Sastera. Kami dihadiahkan beberapa naskhah back issue dan kami beli beberapa naskhah majalah yang terkini.

Di sini, kami berpisah dengan Ibu Dewi kerana selepas ini, pemandu Pusat Bahasa akan membawa kami ke mana-mana sehinggalah ke lapangan terbang.

Destinasi seterusnya, kami ke Taman Ismail Marzuki. Tempat ini juga dikenali sebagai Dewan Kesenian Jakarta. Di sini tempat berhimpunnya para seniman dari segenap bidang seperti seni teater, puisi, seni lukis, arca dan banyak lagi. Kami juga dibawa ke Pusat Dokumentasi Sastera HB Yassin yang terletak di sebelahnya. Alangkah lengkapnya dokumentasi mereka. Bagi sesiapa yang mahu mengkaji tentang sastera Indonesia dari yang paling klasik hingga yang terkini, di sinilah tempatnya. Saya tidak tahu sama ada tempat ini setaraf atau tidak dengan Pusat Dokumentasi Melayu di DBP kerana saya sendiri belum pernah ke sana. (Percubaan beberapa kali - tempat itu tutup dan masih belum beroperasi). Malaysia juga perlukan tempat sebegini. Jika tidak generasi depan akan kehilangan khazanah kesusasteraan Melayu yang tidak ternilai ini.

Selepas itu kami dibawa ke Balai Pustaka. Di sini kami memborong buku lagi. Balai Pustaka ialah tempat penerbitan buku-buku sastera klasik Indonesia seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Layar Terkembang, Salah Asuhan, Atheis dan banyak lagi yang tersebut di sini. Sekali lagi dua beg kami borong setiap seorang.

Makan tengah hari. Sekali lagi di Restoran Nasi Padang. Di sini kami berpisah dengan Pak Maman yang mahu pulang ke Depok. Beliau bertugas di Universitas Indonesia. Sebelum dihantar pulang ke lapangan terbang, kami sempat ke Pasar Senen mencari sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Kali ini saya hanya membeli baju batik untuk Abah, Adik dan kain pelekat serta kain batik. Sebenarnya, untuk diri sendiri, saya tidak beli satu apa pun, kecuali buku-buku sahaja.

Sampai di bandara (lapangan terbang), kami sangat terharu dengan jasa baik pihak Pusat Bahasa yang melayan kami sebagai tetamu di bumi Jakarta. Kapal terbang kami terlewat 10 minit daripada jadual tetapi itu tidak jauh bezanya. Sebelum berlepas pada jam 6.30 petang WIB, sempat saya telefon Bapak Manaf dan memaklumkan kepada beliau yang kami akan terbang pulang. Terima kasih setinggi-tingginya buat beliau sekeluarga.

Ketika di KLIA, kami tiba pada jam 9.40 malam waktu tempatan. Asmiaty terpaksa menguruskan tiketnya ke Kota Kinabalu yang berlepas kira-kira jam 11.00 malam nanti. Kami berpisah di situ. Tiba-tiba kami rasa sangat akrab. Ada kemesraan yang sempat didakap.

Sehingga hari ini, kami sering berhubung melalui sms dan bertanyakan, "bila lagi kita hendak ke Jakarta?"

Sekian coretan perjalanan saya selama hampir 10 hari di tanah seberang. Semoga ada sesuatu yang bermanfaat dapat dikongsi bersama. Insya Allah, selepas ini saya akan kembali kepada catatan yang lain pula.

Kepada yang sering menyokong tulisan ini, terima kasih seluas lautan...

Ulasan

Catatan Popular