Musi Banyuasin

Sambungan catatan perjalanan di Palembang...

1 Ogos 2004

Flight ke Palembang dengan pesawat Garuda kira-kira jam 10.20 pagi (WIB). Berlaku sedikit kekeliruan pada tiket teman kami, Asmiaty Amat. Namanya tidak disenaraikan atas sebab-sebab teknikal. Menangis depan kaunter tu, baru dapat dia terbang. Malas saya nak panjangkan tentang hal ini. Sekali lagi kerenah birokrasi pihak di sana.

Mendarat di Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang. Disambut oleh panitia MASTERA dari Balai Bahasa Palembang. Balai Bahasa ini kedudukannya seperti DBP Wilayah di Malaysia. Pusat Bahasa sebagai badan induk dan Balai Bahasa diletakkan disetiap daerah. Bagi Sumatera Selatan, Balai Bahasanya di Palembang.

Sampai di sini baru kami tahu yang kami sebenarnya belum sampai sepenuhnya ke tempat tujuan. Kami akan menaiki bas ke sebuah pekan bernama Sekayu yang terletak di Kabupaten (daerah) Musi Banyuasin, kira-kira 2 jam lebih perjalanan. Terkejut juga. Ingatkan dekat saja di sekitar Palembang.

Kami menaiki bas dan bagasi kami diuruskan oleh pihak panitia. Basnya cantik, ada air-cond dan selesa. Saya memilih tempat duduk paling hadapan. Cuma belakang pemandu. (Kalau depan sekali, nanti saya pula jadi pemandunya). Saya mahu dapatkan pemandangan yang luas. Maklumlah pertama kali sampai di tempat orang, semuanya hendak dilihat.

Ternyata perjalanan ke Sekayu memang jauh. Lalu pula kawasan perkampungan dengan jalan yang sederhana baik. Tetapi yang paling terkesan ialah kami menyusur tebing Sg Musi yang menjadi nadi kehidupan penduduk sekitar kawasan ini. Sg. Musi sememangnya sungai utama di Palembang. Hatta, bandar Palembang sendiri dipisahkan oleh Sg. Musi dan dihubungi oleh Jambatan Ampera yang terkenal di bandar ini. Adakalanya perjalanan agak mendebarkan apabila jalan yang dilalui agak sempit dan benar-benar tekis dan kalau silap gaya boleh masuk sungai.

Sudahnya, saya tidak tidur kerana terlalu excited. (Sekali-sekala risau juga...). Rumah-rumah di kawasan sepanjang perjalanan ini terdiri daripada rumah panggung, iaitu rumah yang bertiang tinggi. Di sesetengah tempat, terutama yang berdekatan dengan sungai, hal ini dapat dimengertikan. Jika air naik, rumah mereka masih selamat. Tetapi bagi tempat yang agak jauh dari sungai, rumah mereka masih lagi dua tingkat dan di bahagian bawahnya ada kedai runcit. Rata-rata penduduk di sini berdagang. Hampir setiap rumah ada kedai sendiri.

Jika tidak lalu di kawasan kampung, kami lalu ladang getah (karet, kata orang Indonesia), kelapa sawit dan sawah padi. Melalui sawah padi, pemandangannya indah sekali. Waktu ini padi dalam proses hendak menguning. Saujana mata memandang...

Sepanjang perjalanan itu kami hanya melewati beberapa pekan kecil. Saya terus membayangkan bagaimanakah nanti rupanya pekan Sekayu yang bakal menerima kami sebagai tetamunya. Adakah ia kawasan kampung, resort, tepi sungai atau bagaimana? Banyak yang berlegar-legar di fikiran tetapi saya cuba terus bersangka baik dan memberikan harapan pada diri.

Kemudiannya kami lalu di kawasan pekan yang tidak saya pasti namanya. Sedang saya membaca sebuah hotel yang dinamakan Hotel Ranggonang, bas kami berhenti. Rupanya kami telah sampai. Agak mengejutkan. Sebuah hotel sederhana yang saya kira bertaraf 3 bintang di tengah-tengah kawasan pekan kecil. Pemandangan sekeliling menarik perhatian kerana ia lain daripada tempat sendiri. Masih ada beca berkeliaran di sana-sini. Van mini yang seperti sebuah jeepney kalau di Manila. (Di sini dipanggil angkutan desa ataupun angkutan kota).

Pekannya tidak sibuk kerana tidak ramai yang berkereta. Ramai yang masih selesa menggunakan beca atau berbasikal/motorsikal sahaja.

Kami telah sampai di pekan Sekayu yang menjadi pekan terbesar di Kabupaten Musi Banyuasin ini. Semakin kami menghampiri pekan ini, kelihatan sepanduk-sepanduk bertulis PON XVI. Kemudian baru saya tahu, ia ringkasan untuk Pekan Olahraga Negeri di mana Sumatera Selatan menjadi tuan rumah. PON seperti SUKMA di tempat kita.

Di hadapan hotel ada sebuah Wartel (warung telefon) dan sebuah restoran Nasi Padang. Kata orang di sini, rata-rata perniagaan dipegang oleh orang Minang yang merantau ke daerah ini.

Menyebut tentang Minang, ada yang membuatkan saya rasa dekat di daerah ini. Bapa saya sendiri keturunan Minang, boleh bercakap dialek Minangkabau. Hanya saya yang tahu sepatah dua kerana bapa saya tidak ada orang yang boleh diajak berbual dalam bahasa ini.

Tetapi saya masih terasa dekat di sini...


Ulasan

Catatan Popular