Isnin, Ogos 16, 2004

Seminar Pengajaran Sastera di Sekayu

2 Ogos 2004

Sambungan catatan saya...

Acara secara rasmi bermula pada hari ini. Seminar Pengajaran Sastera dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh wakil-wakil perutusan dari setiap negara. Malaysia diwakili oleh Dato' Baha Zain, Brunei (Prof. Madya Dr. Hj Awang Hashim) dan Indonesia oleh Prof. Dr. Budi Dharma. Masing-masing memperkatakan tentang pengalaman pengajaran sastera di negara masing-masing.

Majlis itu diadakan di sebuah dewan yang tidak berapa jauh dari Hotel Ranggonang. Tapi kami begitu dimanjakan. Disediakan juga bas untuk kami ke sana, walaupun kalau berjalan belum tentu berpeluh. Majlis ini turut dihadiri oleh guru, pelajar dan peminat sastera setempat.

Pada sebelah paginya seminar ini dimulakan sementara menunggu majlis perasmian pada jam 11.00 pagi WIB. MASTERA dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia dengan sekian ramai VIP dari pelbagai jabatan. Yang menarik perhatian saya, ialah tarian selamat datang yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari. Tarian yang lemah gemalai itu dimulakan dengan membawa tepak sirih sebagai tanda sambutan kepada tetamu. Setelah dipersembahkan, tetamu akan menyentuh tepak itu sebagai syarat menerima dan kemudian, penari tersebut mengambilnya semula dan terus keluar. Indah sekali tariannya.

Sambil itu, saya juga leka berbual dengan seorang kenalan. Leonard, kalau tak silap, namanya. Dia dari sebuah maktab perguruan di sekitar Palembang. Kami bercakap soal Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang sedang dipraktikkan di Malaysia. Ahli-ahli bahasa masih lagi cuba menentang hal ini tetapi kata saya, bagaimana mahu menahan curahan air terjun dengan tapak tangan sahaja.

Hal yang sama rupanya sedang berlaku di Indonesia kerana pemerintah di sana mahu mencontohi Malaysia di dalam hal ini. Namun adakah hal ini akan menyelesaikan masalah bahasa dalam pendidikan dan ilmu? Hanya masa yang dapat menentukan. Apa yang dapat saya lihat, Malaysia seolah-olah menunggu Indonesia dalam hal-hal kebahasaan ini, supaya dapat mengambil tindakan. Seperti mana yang kita maklum, sejarah sastera Indonesia lebih matang daripada Malaysia sendiri. Dalam banyak hal juga, kita masih lagi meletakkan Indonesia di tempat yang lebih atas daripada kita. Tetapi apabila Indonesia sendiri cuba mencontohi kita, saya kira hal ini tidak akan ada titik penyelesaiannya kerana masing-masing saling mengharap agar pihak yang satu lagi terlebih dahulu bertindak.

Akhirnya Bahasa Melayu juga yang rugi...

Sebelah petangnya, saya ingin bersendirian. Banyak perkara yang bermain di fikiran. Lalu saya melepaskan lelah fikir di tebing Sg. Musi di belakang Hotel Ranggonang. Dengan berjalan kaki saja, saya menyusur tebing sungai dengan kamera digital di dalam saku. Niat di hati untuk mengambil gambar-gambar pemandangan yang indah di sepanjang sungai ini.

Saya belum pernah ke Sarawak. Jadi sukar untuk saya katakan sama ada sungai ini lebih luas daripada Sg. Sarawak. Tapi saya lihat ia lebih luas dari Sg. Pahang. Barangkali ia lebih luas daripada Sg. Sawarak sendiri kerana ia ternyata lebih panjang. Saya berada di bahagian tengah kerana muaranya terletak di Palembang sendiri. Masih ada sampan kotak (kolek?) yang membawa muatan dari kampung seberang untuk didagangkan di pekan Sekayu. Ada wanita-wanita yang mencuci pakaian, anak-anak yang mandi di tepian. Ada yang sedang menjaring rezeki untuk petang ini untuk makan malam.

Sekali pandang, kehidupan mereka mudah. Hidup hanyalah untuk masa ini. Esok lusa, Tuhanlah penentu rezeki. Tetapi mereka tetap meneruskan kehidupan. Sg. Musi menjadi nadinya.

Petang itu juga, apabila ditanyakan pada salah seorang pegawai di pejabat pemerintah Kabupaten ini, bolehkah kita ke kota Palembang kalau menghilir Sg. Musi. Dengan spontan dia menjawab, "Boleh. Tiga hari nanti sampai!" Saya dan teman-teman tertawa mendengarnya.




Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails