Selasa, September 21, 2004

Dejavu Puteri Gunung Ledang

i

Seminggu dua ini masa benar-benar menghambat. Sejak pulang dari Johor Bharu, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Antara yang besar, 16 Sept lalu, konvoi Kembara Bahasa laluan selatan singgah di Port Dickson. PEN diberi satu slot - bersama karyawan PEN. Saya, Puan Mahaya Mohd Yassin dan Wagiman NS mewakili PEN. Dalam slot yang ringkas itu, Puan Mahaya bercakap tentang penubuhan PEN, keahlian dan hal-hal kebahasaan. Wagiman dengan teater di Negeri Sembilan, sementara saya bercakap tentang penulis, penulisan dan karya-karya penulis Negeri Sembilan. Saya ketengahkan buku-buku (tentunya saya akan menjual buku di mana-mana sahaja ada acara sastera dan bahasa) seperti buku-buku saya - Impian Tsu-Ryi dan Mencari Locus Standi, Ombak Sfera Lotus (Siti Jasmina - juga berketurunan NS dan ahli PEN), Pendatang Malam (Ida Munira - asal Kuala Pilah) dan juga Zakaria Ali (pemenang S.E.A. Write Award dari Rembau).

ii

Sabtu, seperti biasa saya ke kuliah DSLP. Makin banyak pula mid-test yang bakal melanda mulai bulan hadapan. Ada ura-ura peperiksaan akhir semester mahu dipercepatkan kepada sebelum hari Raya. Tak pasti pula usul siapa. Yang pasti keputusan Law Center itu dipertikaikan oleh kami sekelas kerana kami baru ini diberitahu tentangnya. Mereka harus mempertimbangkan bahawa kami bukan belajar percuma di Law Center. Jadi keputusan tentang apa-apa hal yang melibatkan DSLP harus dibawa berbincang dengan kami semua. Jika ada yang gagal tentu mahal harganya. RM350 satu kertas. Bukan semua orang mampu buat begitu. Harapnya, permintaan kami supaya peperiksaan dikembalikan ke tarikh asal iaitu selepas Hari Raya dipertimbangkan.

Petangnya, singgah di rumah seorang teman penulis. Bermain-main dengan anaknya. Berbual-bual tentang kehidupan, persahabatan dan masa depan.

Malamnya, dia menemani saya menonton teater Dejavu arahan Sitti Rohayah Attan di Istana Budaya. Memang telah lama kami impikan untuk menonton di Istana Budaya bersama-sama. Alhamdulillah, sampai juga hajat kami.

Dejavu tulisan Ismail Kassan. Skrip yang baik mudah sahaja untuk dipentaskan dalam pelbagai cara. Persembahan ini buat tangan Persatuan Penulis Wanita Malaysia. Di tangan Siti Rohayah Attan, teater ini menjadi benar-benar hidup. Penonton diberikan pelbagai rasa - sedih, marah dan juga tak kering gusi dengan kerenah pelakon-pelakonnya. Keras sekali sentuhannya tentang golongan pendatang. Sindirannya benar-benar tajam. Siapa lagi kalau bukan Ogy Ahmad Daud yang menjadi primadonanya. Loghat Indonesia yang begitu pekat benar-benar mencuit penonton dari mula hinggalah ke akhir teater.

Di luar, Aminah Mokhtar - juga ahli Persatuan Penulis Wanita Malaysia sibuk menjual buku-buku terbarunya Semakin Dekat 1 (novel bersiri di Utusan Malaysia yang telah dibukukan), Semoga Cepat Sembuh (kumpulan puisinya yang pertama) serta Rindu Yang Kaupinjamkan Itu, May (kumpulan Cerpen Siti Rohayah Attan). Turut dijual novel-novel karya penulis wanita termasuk buku-buku saya dan Samsiah Mohd Nor.

Sambutan untuk teater ini luar biasa sekali. Pada malam itu full house. Tahniah kepada Kak Roy!

iii

Akhirnya saya berpeluang menonton filem Puteri Gunung Ledang. Sebuah epik hebat. Sinematografi yang baik. Skrip juga baik - bahasanya puitis, berirama dan penuh santun. Memang ia kisah cinta. Tapi ia bukti ampuh bahasa cinta yang sebenar tidak memerlukan kata-kata. Perjalanan ceritanya banyak yang simbolik. Perlu difikirkan. Tetapi rata-rata filem ini berjaya mengadunkan emosi dan pemikiran dengan cara yang paling harmoni.

Walaupun ratingnya boleh diberi 4 1/2 bintang daripada 5, masih ada banyak kelemahan yang boleh diperbaiki. Plotnya agak huru-hara. Kurang kemas. Terutama sekali apabila Gusti Puteri (wrestling princess???) dari Majapahit mahu dikaitkan sebagai Puteri Gunung Ledang. Alasan Majapahit menawarkan Gusti Puteri kepada Sultan Mahmud juga tidak berapa kukuh dari segi plot. Perjalanan cerita juga adakalanya agak perlahan.

Tapi keseluruhannya, saya berpuas hati menontonnya. Bila VCDnya keluar nanti, saya akan dapat yang asli kerana gaya bahasanya menarik perhatian saya. Saya mahu hayati lagi. Sesekali seperti terasa pengaruh Lord of the Rings juga ada di sana sini. Di tangan pengarah Cina, sedikit sebanyak babak terbang-terbang sambil bergaduh dan meletup sana sini tetap ada. Tapi itu rencah dan bumbunya - bukan menu utama.

Promosi Puteri Gunung Ledang juga amat baik dan berjaya menarik penonton bukan Melayu juga. Sekurang-kurangnya penonton dihidangkan dengan sebuah magnun opus yang tidak menghina intelektual kita semua!


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails